Tuesday, July 27, 2021

'Darurat batal atau tidak, tunggu Isnin'

bharian.com
Oleh Luqman Arif Abdul Karim
luqman.arif@bh.com.my
 - Julai 27, 2021 @ 12:14pm

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penjelasan mengenai polemik pembatalan Ordinan Darurat hanya akan dibuat pada Isnin ini, seperti diperuntukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

Demikian keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, meskipun berulang kali dihujani desakan dalam kalangan Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan pembangkang.

Beliau menegaskan bahawa keputusan sedemikian dibuat bagi memastikan setiap pembahas dan prosedur AUM dilaksanakan mengikut perancangan serta masa tertentu.

"Semalam kita bercakap mengenai Majlis Pemulihan Negara, tapi sebab lama kita tak jumpa, jadi kucar-kacir sikit, maka kita campur rojak semua perkara dalam satu sesi.

"Sesi ini ada lima hari, justeru seperti diterbitkan AUM, semalam kita patut bercakap mengenai Majlis Pemulihan Negara, hari ini penjelasan oleh Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba), esok Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, kemudian Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) manakala Isnin ialah perkara bersangkut paut mengenai darurat.

"Saya nak lancarkan prosiding ini supaya cukup masa perbahasan. Semalam saya sudah maklumkan, Menteri (di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan) kena jawab semua persoalan dibangkitkan, termasuk pembangkang, mengenai apa diperkatakan beliau semalam.

"Ini bagi mengesahkan sama ada kerajaan sudah putuskan untuk batalkan atau menarik balik, berkuat kuasa 21 Julai lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Penegasan Azhar itu bagaimanapun dilihat tidak memuaskan hati apabila wakil pembangkang dan kerajaan, masih bangun meminta supaya Takiyuddin segera dipanggil masuk ke dewan bagi menjawab soalan yang disifatkan sebagai amat mudah.

Antara wakil pembangkang yang bangkit mengutarakan desakan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Ramkarpa Singh (PH-Bukit Gelugor), Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya), Lim Guan Eng (PH-Bagan), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jerlun) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna).

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang mewakili kerajaan turut membangkitkan bahawa kerajaan dan menteri bertanggungjawab perlu berkata benar serta memberikan penjelasan tepat berhubung polemik Ordinan Darurat.

"Kalau betul, cakap betul. Kalau betul darurat ini sudah dibatalkan, maka tak perlu kita bincang lagi di sini (Dewan Rakyat) sebab tiada asas nak berbuat demikian.

"Saya antara ahli jawatankuasa bebas mengenai darurat dan dilantik oleh Seri Paduka, maka tak gunalah saya dilantik kalau tidak diberi ruang untuk pertimbang keputusan tamatkan darurat," katanya disahut sokongan Ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang pula memberi amaran supaya Speaker tidak mencemarkan kesucian jawatan yang disandangnya, dengan bertindak untuk bersekongkol dengan menteri.

Dakwanya, menteri bertanggungjawab terhadap perihal undang-undang sudah mengelirukan Dewan Rakyat apabila memberikan gambaran tidak tepat berhubung status Ordinan Darurat yang bakal mencetuskan 'kesan domino' terhadap proses pendakwaan di mahkamah ketika ini.

"Lepas kita tilik, sudah pasti bahawa dia (Takiyuddin) tak boleh jawab sebab itu dia tak mahu jawab. Kalau ada standard decency (asas kesopanan), jawab saja bahawa Kabinet sudah putuskan tetapi masih dalam proses untuk dibawa ke perhatian Seri Paduka.

"Orang boleh terima begitu, bukan berselindung di sebalik Speaker, dengan menggunakan alasan Speaker tak bagi jawab, suruh jawab Isnin nanti," katanya.

Selepas diasak bertali arus, Azhar Azizan menjelaskan bahawa perincian mengenai status darurat dan ordinan berkaitan tidak akan 'lari' ke mana, justeru semua pihak wajar sabar menanti hingga Isnin.

Menerusi pendekatan itu, katanya, perjalanan mesyuarat khas yang diadakan rentetan pandemik COVID-19 tidak akan terganggu dan mampu diadakan mengikut jadual asal, iaitu hingga 2 Ogos ini.

"Perkara itu (pembatalan ordinan) tidak akan ke mana. Kena ikut AUM, soalan sudah dibangkitkan, Menteri Undang-Undang (Takiyuddin) kena jawab. Saya perintah jawab Isnin ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-