Saturday, August 14, 2021

Jangan hipokrit, UMNO juga jalin kerjasama dengan pembangkang di Perak: Nazri

agendadaily.com

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jangan jadi hipokrit.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibidas supaya tidak menjadi hipokrit walhal tertubuhnya kerajaan Perak yang diterajui UMNO kini adalah hasil persefahaman yang beliau juga terlibat dalam rundingan dengan parti pembangkang termasuk DAP, kata seorang pemimpin senior parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz berkata cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah langkah sama yang berlaku di Perak sebelum ini apabila calon Menteri Besar UMNO juga mendapat sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti pembangkang yang lain, cuma kali ini senarionya melibatkan kerjasama di peringkat kerajaan pusat.

“Saya ingin mengulas berdasarkan pengalaman dalam pembentukan kerajaan negeri Perak dimana MB Perak, Saarani (Datuk Saarani Mohamad) telah mendapat sokongan penuh dari DAP dalam undi percaya kepada MB. Maknanya semasa pengundian, Saarani mendapat sokongan ADUN pembangkang sepenuhnya untuk menjadi MB,” kata Nazri kepada Agenda Daily.

Malah, Nazri berkata ADUN pembangkang juga diberikan peruntukan yang sama banyak dan cadangan Muhyiddin juga sama dengan pendekatan yang berlaku di Perak.

“Kita tahu MB Perak telah memberikan peruntukan yang sama banyak kepada DUN pembangkang di negeri, sama dengan DUN Perikatan Nasional (PN),” katanya lagi.

Jelasnya, meskipun persefahaman bipartisan tersebut berjaya dilaksanakan, tiada jawatan diberikan dalam kerajaan negeri diberikan kepada ADUN pembangkang sebagai contoh tiada Exco Kerajaan Negeri Perak dilantik daripada kalangan ADUN pembangkang.

“Tapi kita tidak bersama dengan DAP dalam kerajaan negeri Perak, tidak ada Exco daripada pembangkang melainkan semua Exco daripada ADUN kerajaan sahaja,” katanya.

Nazri berkata tidak ada perbezaan dengan pendekatan yang diumumkan Muhyiddin semalam dengan perkara yang berlaku di Perak.

“Tidak ada perbezaan apa yang nak dilakukan di peringkat pusat,” ujarnya lagi.

Nazri juga membidas Zahid dan pemimpin UMNO lain yang mengkritik pengumuman kerajaan PN semalam supaya tidak menjadi hipokrit kerana mereka terlebih dahulu menjalinkan kerjasama dengan blok pembangkang khususnya DAP di Perak bagi memberi laluan kepada Saarani untuk dilantik sebagai MB baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Jadi saya tidak mahu jadi hipokrit, bila UMNO buat boleh pula di Perak tapi bila Perdana Menteri cuba buat kita cakap tidak boleh pula. Tidak boleh macam itu kerana UMNO sudah buat di Perak tapi sekarang jika berlaku di pusat kata tidak boleh pula.

“Bagaimanapun, asasnya DAP tidak duduk dalam kerajaan pusat… Sama seperti keadaan di Perak sebelum ini,” tegas belia.

Beliau turut mengingatkan persetujuan bagi membentuk kerjasama dengan parti pembangkang di Perak, Zahid turut terlibat dalam perancangan tersebut dan jangan buat-buat lupa berhubung mesyuarat yang berlangsung untuk memuktamadkan persetujuan bekerjasama dengan parti pembangkang ketika itu.

“Zahid juga hadir dalam mesyuarat ketua-ketua bahagian dalam mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri yang bersetuju dengan langkah itu… saya sendiri turut terlibat dalam mesyuarat tersebut dan boleh sahkan Zahid juga terlibat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut berhubung pengumuman Muhyiddin semalam, Nazri menyifatkan ia adalah cadangan yang dibuat secara terbuka dan berbeza dengan rundingan yang berlangsung secara senyap-senyap antara UMNO dengan parti pembangkang di Perak.

“Banyak orang tidak tahu apa yang kita lakukan di Perak kerana kita menawarkan secara senyap-senyap, namun kalau ada tahu pun mereka sudah lupa kerana kerajaan sudah berjalan dengan baik di Perak ketika ini,” katanya lagi.

Semalam, Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan yang menurut beliau boleh mencetuskan risiko kekosongan kuasa ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Antara lain, beliau berjanji untuk menyalurkan peruntukan dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen, menggubal undang-undang anti lompat parti, menghadkan penggal jawatan perdana menteri, dan memastikan perwakilan Ahli Parlimen yang seimbang sama ada daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Muhyiddin juga turut berjanji untuk melaksanakan Undi 18 bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya akan datang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-