Wednesday, March 23, 2022

Apa tujuan Presiden UMNO berterusan desak PRU awal lagi?

agendaily.com
23/3/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih membangkitkan isu PRU-15 perlu disegerakan.

Selepas berakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 (2021) baru-baru ini, nampaknya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih tidak berhenti meneruskan desakan supaya pilihan raya umum (PRU-15) disegerakan, terbaharu menerusi kenyataan dalam hantaran Facebooknya.

Presiden UMNO seakan beria-ria mahu PRU-15 disegerakan walaupun Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi jaminan ia akan dibincangkan secara teliti dengan semua pihak berkepentingan terlebih dahulu, jadi mengapa perlu terus mendesak?

Semasa PAU lalu, Zahid sendiri memberi kelonggaran kepada Ismail Sabri untuk menentukan masa yang sesuai dan mengikut budi bicaranya berhubung pembubaran Parlimen, tetapi dalam kenyataan semalam Zahid sebaliknya dilihat cuba memberi tekanan berterusan kepada Naib Presiden UMNO tersebut.

Sekali lagi Zahid membangkitkan berhubung isu memorandum persefahaman (MoU) 2.0 dengan secara jelas menyatakan pendirian agar kerajaan menolak sebarang usaha untuk menyambungnya, adakah beliau cuba memberi tekanan kepada Ismail Sabri supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 dilaksanakan?

Untuk rekod, Ismail Sabri sudah diberikan peluang dan ruang untuk menentukan sendiri masa yang sesuai PRU-15 diadakan, malah Zahid dalam ucapannya juga berkata akan menghormati hak dan kuasa yang dimiliki PM untuk membuat sebarang keputusan berhubung isu PRU-15.

Kuasa Presiden tidak sama dengan kuasa dimiliki PM, Zahid mungkin boleh mendesak untuk PRU-15 diadakan segera tetapi keputusan adalah di tangan Ismail Sabri selaku PM, jadi lebih baik sebarang keputusan berhubung perkara tersebut diberikan kepada PM untuk menentukannya.

Jika sekalipun pembangkang mahu meneruskan MoU 2.0, ia juga terserah kepada Ismail Sabri sendiri sama ada menerima atau menolaknya dan PM berhak membuat keputusannya sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk sesiapapun.

Bahkan, sudah termaktub dalam Perlembagaan Ismail Sabri mempunyai hak untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong apabila tiba masa yang sesuai untuk mengadakan PRU-15 dan sudah pasti pelbagai aspek serta kepentingan negara perlu diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan tersebut dimuktamadkan.

Atau, adakah tekanan yang diberikan oleh Zahid ini mahu mengulangi episod yang berlaku pada tahun lepas semasa beberapa Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Senario yang berlaku di Melaka sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan tidak boleh dijadikan asas yang sama untuk Zahid mengulangi langkah menjatuhkan Muhyiddin sebelum ini, senario sekarang adalah Ismail Sabri juga mendapat sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

Satu-satunya alasan yang boleh Zahid gunakan adalah berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijanjikan Ismail Sabri dalam MoU yang dimerterai sebelum ini, ia memandangkan undang-undang tersebut tidak sempat dibentang pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Beberapa kenyataan pemimpin blok pembangkang sudah mempersoalkan berhubung RUU tersebut yang tidak dibawa ke Dewan Rakyat kali ini walaupun pada awalnya dijadualkan diluluskan pada sidang kali ini.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada kenyataan ugutan atau tekanan yang jelas diberikan oleh pembangkang terhadap Ismail Sabri berhubung RUU tersebut, beberapa kenyataan yang ada pun sekadar memberikan peringatan supaya kerajaan menghormati MoU sebelum ini supaya membentangkannya dengan segera.

Pembangkang sedar sekiranya berterusan memberi tekanan ia berkemungkinan akan mengakibatkan PRU-15 bakal disegerakan dan yang pastinya ia akan memberi kelebihan kepada UMNO, jadi tidak perlu untuk mereka mengambil risiko yang besar sehingga menyebabkan episod duka di Melaka dan Johor berulang.

Langkah untuk mewujudkan pakatan dikalangan parti pembangkang juga masih tidak berjalan apabila tiada persefahaman sesama mereka, ia pastinya akan menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika PRU-15 diadakan lebih awal.

Selain itu, Ismail Sabri juga tidak perlu bimbang atau berasa tergugat dengan kritikan kecil pemimpin pembangkang kerana itu adalah sifat semulajadi mereka yang cuba menunjukkan masih berbisa pada pandangan mata penyokong walhal realitinya kecut telor jika PRU-15 diadakan dengan segera.

Pertembungan banyak penjuru hanya akan menguntungkan UMNO-BN, dua kajian kes di Melaka dan Johor sudah cukup untuk membuktikan teori tersebut. Jika masih berdegil, hasil sama semasa PRN Melaka dan Johor juga akan berulang.

Dalam keadaan ini, kunci dipegang oleh Ismail Sabri dan sebagai PM tidak perlulah berasa bimbang dengan kritikan kecil pembangkang, mungkin yang patut dibimbangi adalah sekiranya Zahid kembali duduk satu meja dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi difahamkan, Anwar sudah tidak lagi menjawab telefon anak muridnya mungkin disebabkan sudah serik kena kencing beberapa kali sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-