-March 23, 2022
MOHAMAD Hasan melambaikan tangan kepada perwakilan ketika hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agong Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam Rabu. - Foto BERNAMA
Rencana
Kolumnis
Pemilihan parti … patutnya UMNO ‘lebih jantan’ daripada parti lain
KENAPA UMNO dilihat begitu takut dengan pemilihan parti? Kenapa perlu Perhimpunan Agung UMNO 2021 meluluskan usul supaya pemilihan parti ditangguh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)? Pemilihan mana dimaksudkan adakah pemilihan yang ditangguh sejak tahun lalu kerana pandemik Covid-19?
Terlalu banyak persoalan apabila perkara itu diumumkan oleh Timbalan Prsesiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu lalu.
Turut menarik perhatian, beliau juga berhujah bahawa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah diminta segera memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung perkara itu dan ia diiringi dengan pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob;
‘’ Saya juga minta Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tolong perhatikan hal ini, kalau kita tulis pada RoS jangan ada orang yang halang keputusan parti kita.’’ kata Tok Mat Hasan.
Persoalannya apa istimewanya UMNO sehingga mereka boleh menangguh pemilihan selama enam bulan selepas PRU-15. Kalaupun nak tangguh buatlah dahulu pemilihan yang tertangguh sebelum ini. Kalau sebelum ini alasan diberikan adalah penularan Covid-19, sekarang wabak itu sudah semakin terkawal.
Dan orang tertanya-tanya kenapa UMNO tidak laksanakan sahaja pemilihan seperti mana dilakukan oleh parti-parti lain? Kalaulah tidak mahu perpecahan dalam parti, cuba fikirkan adakah parti-parti lain yang membuat pemilihan termasuk pembangkang tidak ada masalah dalaman atau dilihat ada perpecahan.
Di dalam DAP didakwa ada dua kelompok, dalam Pas ada kelompok menyokong Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, dalam PKR ada kelompok tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim…tetapi mereka tetap mengadakan pemilihan.
Justeru tak kanlah pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang sebelum ini pemimpin mereka ‘mendabik dada’ menjadi pilihan rakyat takut untuk melaksanakan pemilihan.
Sebelum ini pandai pula pemimpin-pemimpin kanan UMNO berdegar-degar bercakap bahawa PRU-15 perlu diadakan segera bagi mengembalikan mandat kepada rakyat dalam usaha mewujudkan sebuah kerajaan stabil, tetapi anehnya kenapa UMNO tidak berani memberi mandat kepada ahli-ahlinya untuk menentukan barisan kepemimpinan?
Kalau mahu bercakap soal kem-kem atau risiko perpecahan semua parti berhadapan dengan masalah dalaman tetapi nampaknya mereka jauh ‘lebih jantan’ berbanding UMNO?
Adakah kebimbangan perpecahan yang dinyatakan oleh pemimpin kanan UMNO membuktikan perangai pemimpin dan ahli-ahli parti itu jauh lebih buruk daripada parti-parti lain?
Kasihan ahli-ahli UMNO apabila diberikan gambaran secara terbuka oleh pemimpin mereka berhubung ‘perangai buruk’ yang akan berlaku jika pemilihan diadakan. Sepatutnya, pemimpin UMNO mempunyai keyakinan dan kepercayaan bahawa parti itu tidak akan berpecah belah kerana pemilihan.
Berikutan pandangan seperti itulah ia memburukkan imej UMNO yang mungkin akan ditafsirkan sebagai parti yang suka berebut kuasa sehingga pemilihan yang dilaksanakan secara demokrasipun mereka boleh berpecah belah.
Kalaulah pemilihan dianggap boleh membawa perpecahan, tak kanlah pemimpin-pemimpin hebat seperti Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh mengendalikan keadaan dan menyelesaikannya sebelum pilihan raya berlangsung? Jika masalah perpecahan dalam parti pun tidak boleh diuruskan macam mana mahu menguruskan negara?
Sebenarnya apabila kepemimpinan UMNO menangguh dari semasa ke semasa pemilihan atau dilihat takut mengadakan pemilihan, ia hanya akan mewujudkan cakap-cakap termasuklah dakwaan bahawa kalau pemilihan diadakan Ahmad Zahid belum tentu dapat mempertahankan kedudukannya.
Tambahan pula ketika ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri. Kalau mengikut tradisi Presiden UMNO adalah Perdana Menteri, jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum. Apa salahnya kalau ahli-ahli parti memilih Ismail Sabri sebagai Presiden UMNO? Apakah beliau tidak layak berada di kedudukan itu?
Mungkin cakap-cakap begitu tidak menyenangkan Ahmad Zahid dan penyokong-penyokong tetapi inilah politik. Orang akan membuat pelbagai andaian, kalau mereka melihat agak aneh bila parti lain buat pemilihan, UMNO pula mahu menangguhkannya.
Seperkara lagi, kenapa perlu memberitahu Ismail Sabri supaya perhatikan permohonan UMNO kepada RoS? Apa maksudnya? Adakah kepemimpinan UMNO bimbang memandangkan Menteri Dalam Negeri bukan daripada UMNO?
RoS menjalankan tugas dan tanggungjawab secara profesional.Kalaulah permohonan UMNO itu mematuhi apa yang diperuntukkan undang-undang sudah pasti, RoS tidak ada masalah untuk meluluskannya, tetapi kalau ia tidak bertepatan undang-undang sudah pastilah akan tolak. Ia sama sekali tidak ada kaitan dengan keputusan politik.
Bagaimana kalau selepas ini parti-parti lain juga akan membuat permohonan sepertimana dilakukan oleh UMNO? Bagaimana RoS mahu menanganinya?
Oleh itu kalau UMNO mahu membuat permohonan kepada RoS, buat sahaja tidak perlu minta Perdana Menteri ‘perhatikan’, Perdana Menteri pun pasti akan mengikut apa yang ditentukan oleh undang-undang, jika tidak beliau akan menjadi ‘mangsa serangan dan kecaman’.
Kesimpulannya, semua pandangan atau persepsi itu wujud hanya kerana UMNO ‘tidak berani’ melaksanakan pemilihan. Jika UMNO mencontohi parti-parti lain sudah pasti tidak ada masalah apa-apa tetapi rupa-rupanya apabila salah satu sayap parti itu bercakap ‘lebih jantan’, UMNO sendiri nampaknya ‘kurang kejantanannya’.
Justeru UMNO tidak harus ‘bersilat lidah’ atau melakukan apa-apa manuver dalam soal pemilihan parti itu, bila sampai tempohnya buat sahaja pemilihan, siapa yang layak biarlah ahli-ahli UMNO tentukan, beranilah sikit hadapi kenyataan biar apapun keputusannya … tak kan nak seronok menang PRN sahaja.
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.
Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, satuberita.my@gmail.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.