Friday, July 22, 2022

Hari Peradaban Melayu bukan mahu lawan Bon Odori - penganjur

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Jul 22, 2022 
Penganjuran Hari Peradaban Melayu pada 30 Julai bukanlah dibuat kerana sambutan luar biasa yang diberi terhadap festival Bon Odori baru-baru ini.

Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya menegaskan acara itu telah lama dirancang bagi mengingati dan menaikkan semula budaya orang Melayu yang kian dilupakan.

“Cuma, kebetulan penganjuran Bon Odori lebih awal daripada kita. Itu saja.

"Hari Peradaban Melayu ini juga sebenarnya bukanlah perhimpunan tetapi lebih kepada festival dan kita boleh katakan macam festival Jom Heboh lebih kurang.

"Macam Bon Odori juga dan dia bukan himpunan, bukan nak tunjuk perasaan. Tetapi ini untuk kita kata mengingati dan menaikkan semula budaya-budaya orang Melayu, seperti seni silat, budaya main gasing, budaya puisi, sajak.

"Itu saja dan dalam masa yang sama kita membantu juga ekonomi mereka yang jual busana, tanjak dan keris," katanya kepada Malaysiakini.

Pembela kelmarin mengumumkan acara itu dan Aminuddin sendiri mengaku terkedu dengan sambutan puluhan ribu orang terhadap Bon Odori, walaupun terdapat bantahan golongan agama.

PAS, mufti Perlis Asri Zainul Abidin dan menteri undang-undang Idris Ahmad antara pihak yang tidak senang dengan acara itu.

Bagaimanapun Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah bersikap positif dan melibatnaya sebagai program sosial saja.

Sementara itu, Aminuddin berkata Hari Perabadan Melayu itu adalah gabungan antara program budaya daan agama.

Tarikan utamanya, kata Aminuddin adalah pameran sejarah Islam yang akan mengetengahkan artifak yang tidak pernah dilihat, gambar-gambar istana dahulu dan tinggalan sejarah lama.

"Sebagai contoh, kita orang Melayu adalah pelayar yang hebat dan kapal layar orang Melayu lebih besar dan lebih canggih daripada kapal layar Barat.

“Itu orang tak tahu, bagaimana pelombong-pelombong bijih Melayu yang merupakan pelombong terkemuka sebelum datangnya pelombong dari China," katanya.

Bawa pelakon Mat Kilau

Aminuddin berkata persembahan seni persilatan juga akan menjadi tarikan pada festival berkenaan dan turut akan melibatkan penerbit serta barisan pelakon filem Mat Kilau.

"Kita juga ada persembahan tarian tetapi bukanlah persembahan tarian tak tentu pasal ini, tetapi tarian Melayu,” katanya.

Menurut Aminuddin lagi, penganjur juga akan menjemput barisan ulama pada hari tersebut.

"Mungkin ada alunan zikir dan sebagainya, sebagai kombinasi kepada pertunjukkan silat, acara sajak dan rerurai jualan," katanya.

Aminuddin berpandangan festival tersebut akan dapat menarik pelancong.

Aminuddin tidak mahu meletakkan anggaran kehadiran tepat tetapi menjemput seramai mungkin dan sesiapa sahaja untuk turut serta.

Setakat ini, katanya, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur secara umumnya bersetuju, cuma beberapa masalah teknikal saja yang sedang dibincangkan.

Bukan rasis

Bagaimanapun, Aminuddin menegaskan apa pun masalah yang dihadapi penganjur, festival terbabit tetap akan dijayakan.

"Sekarang ini, untuk makluman kita dapat pelbagai panggilan yang mahu bersama kita daripada seluruh negara, baik persatuan silat, NGO.

“Dan kami mendapat sokongan banyak pihak, nak pula masing-masing dah tengok filem Mat Kilau, jadi semangat dia berkobar-kobar.

"Tapi kita bukan rasis cumanya sekarang ini mana ada satu perayaan orang Melayu untuk mengangkat orang Melayu, kalau ada pun berpecah-pecah.

“Jadi, janganlah nampak ia satu yang negatif,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-