Wednesday, July 13, 2022

Pelan B UMNO didedah Mat Maslan boleh cetus krisis politik baharu

agendaily.com
13/07/2022
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beberapa sumber dalaman parti mendedahkan kenyataan perancangan Pelan B yang didedahkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini berkemungkinan boleh mencetuskan satu lagi krisis politik.

Setiausaha Agung UMNO itu berterusan memberi tekanan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya membuat keputusan segera berhubung permohonan pindaan perlembagaan yang dikemukakan UMNO dan sekiranya tidak diluluskan Pelan B pula akan dilaksanakan.

Jadi, apakah Pelan B yang dimaksudkan oleh Ahmad atau Mat Maslan yang hendak dilaksanakan UMNO itu?

Sumber memberitahu, Pelan B yang dimaksudknya sangat berisiko besar dan boleh menyebabkan situasi politik negara bergolak semula kerana ia melibatkan sokongan parti itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad tidak memperincikan Pelan B tersebut kepada umum kerana menyifatkan ia sebagai strategi parti yang perlu dirahsiakan, bagaimanapun pemimpin utama parti khususnya yang pro kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melihat langkah menarik sokongan hanya satu-satunya jalan untuk memaksa RoS mengikut telunjuk UMNO.

“Pelan B itu adalah menarik sokongan terhadap Ismail Sabri lah, apa lagi… Sebab itu Mat Maslan tidak mahu mendedahkan kerana rancangan itu sangat ekstrem dan boleh menyebabkan perpecahan dalaman parti lebih teruk,” kata sumber.

Menurut sumber, senario sama sebelum ini pernah berlaku di Melaka sehingga menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan dan disebabkan itu UMNO berani untuk mengambil langkah sama semasa seperti yang berlaku di Melaka.

“Di Melaka kerajaan negeri dijatuhkan sendiri oleh UMNO, tapi akhirnya bila diadakan PRN nampaknya UMNO semakin kuat.

“Langkah sama boleh berlaku di pusat dengan harapan UMNO akan menang besar seperti di Melaka nanti,” kata sumber.

Untuk rekod, Ahmad sebelum ini berkata UMNO bersedia untuk menjalankan perancangan lain sekiranya tidak mahu mengikut arahan RoS supaya menjalankan pemilihan parti.

“UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini.

“Bagaimanapun, kita laksanakan Pelan B jika ROS tak lulus permohonan pindaan perlembagaan berbanding membuat pemilihan,” katanya dipetik laporan media.

Ahmad berkata UMNO sebenarnya tidak mempunyai pilihan jika RoS tidak mahu memberikan kelulusan kepada mereka tetapi jika keadaan memaksa Pelan B tersebut akan dilaksanakan.

“UMNO sebenarnya tak mahu buat Pelan B tu. Kita harap RoS luluskan permohonan kerana tak ada sebab ia tidak dilulus kerana ia sama dengan apa yang dilakukan MCA sebelum ini,” katanya.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

Tinggal beberapa hari menjelang tarikh akhir 16 Julai untuk RoS memuktamadkan keputusannya terhadap permohonan dibuat UMNO sebelum ini.

Perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung Khas 15 Mei lalu sebulat suara meluluskan beberapa resolusi untuk membuat pindaan perlembagaannya, termasuk membenarkan pemilihan dalaman selepas pilihan raya umum (PRU).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-