Wednesday, July 13, 2022

Siti Nuramira didakwa cetus permusuhan, kebencian

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jul 13, 2022
Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menimbulkan menyebabkan permusuhan dan kebencian atas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Justeru Siti Nuramira Abdullah kemudian meminta agar dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Siti Nuramira didakwa melakukan kesalahan berkenaan semasa membuat persembahan komediri dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi membabitkan Islam di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada minggu lalu.

Dia yang mengenakan jaket hitam dan baju oren kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan hakim.

Siti Nuramra didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Jika nanti didapati bersalah dia boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya dua tahun tetapi tidak lebih lima tahun.

Sebelum ini, orang ramai dikejutkan dengan satu klip video pendek memaparkan seorang wanita berbaju kurung dan mengaku menghafaz 15 juzuk al-Quran yang kemudian menukar pakaiannya menjadi seksi.

Insiden itu berlaku dalam satu sesi persembahan di atas pentas Crackhouse Comedy Club di TTDI, Kuala Lumpur.

Semasa prosiding di hadapan hakim Siti Aminah Ghazali, timbalan pendakwa raya Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah tidak memberikan jaminan ke atas tertuduh.

Mohon ikat jamin RM50,000

Peguam bela Siti Nuramira, R Selvaraj, kemudiannya berhujah, wanita terbabit patut dibenarkan diikat jamin RM4,000 kerana telah bekerjasama dengan polis sepanjang siasatan dijalankan.

Peguam itu menegaskan, apabila Siti Nuramira, 26, dihubungi polis berhubung video tular itu, dia telah berada di kediaman terbabit dan menunggu sehingga pihak berkuasa datang untuk menahannya pada Sabtu lalu.

“Kerjasamanya dengan polis semasa siasatan perlu diambil kira kerana tiada risiko dia tidak hadir ke mahkamah atau melarikan diri.

“Apabila polis menghubunginya berhubung kejadian video tular, enam jam sebelum polis tiba di rumahnya, dia tidak melarikan diri dan menunggu polis datang.

"Walaupun ditahan, dia memberikan kerjasama semasa dalam reman," katanya.

Tambah Selvaraj, tertuduh kehilangan pekerjaan di sebuah firma pemasaran dan perhubungan awam kerana kesan Covid-19 dan kini hanya memperoleh pendapatan RM3,000 sebagai kakitangan sebuah syarikat teknologi maklumat.

Najihah memberitahu mahkamah, jika ia cenderung memberi jaminan kepada tertuduh, maka mereka memohon jaminan ditetapkan RM50,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Najihah juga memohon mahkamah mengenakan syarat jaminan tambahan iaitu menyita pasport tertuduh dan mewajibkan dia melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

“Kes hari ini telah mendapat perhatian orang ramai. Jaminan yang rendah akan menjejaskan persepsi orang ramai terhadap badan kehakiman dan sistem perundangan,” katanya.

Seorang lagi peguam bela tertuduh, Shaharudin Ali, kemudian melahirkan rasa terkejut dengan jaminan RM50,000 yang dicadangkan dan menganggap ia sebagai "tidak masuk akal".

“Isu mengenai persepsi orang ramai terhadap mahkamah yang dikatakan terancam bukanlah faktor relevan yang disebut oleh mahkamah kita. Mahkamah akan mempunyai sentimen neutral,” kata peguam itu.

Siti Aminah kemudian Siti Nuramirah diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, selain memerintahkan dia melaporkan diri di balai Brickfields setiap bulan.

Hakim turut memerintahkan Siti Nuramira menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan tidak membuat ulasan berhubung kes itu.

Siti Aminah juga menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan kes tersebut.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-