Thursday, July 7, 2022

Protes kembalikan subsidi di jalan raya cemarkan imej negara

bharian.com.my
Oleh Baharom BakarBaharom Bakar 
- Julai 7, 2022 @ 2:31pm
'Flash mob' protes kenaikan harga barang di Johor Bahru, semalam. 
NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Kuala Terengganu: Desakan menuntut kerajaan supaya mengembalikan subsidi barangan makanan anjuran parti politik di tengah jalan atau di kawasan awam bukannya penyelesaian terbaik.

Sebaliknya, UMNO negeri menganggap tindakan dilakukan pemimpin politik itu boleh mencemarkan imej negara dan kerajaan di mata dunia.

Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata kerajaan membelanjakan sebanyak RM77.3 bilion untuk memberi subsidi pelbagai barangan keperluan asas bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Katanya, jumlah subsidi disediakan kerajaan tahun ini adalah yang tertinggi dan belum pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan di dunia.

"Tindakan beberapa pemimpin parti politik mengheret golongan belia menyertai perhimpunan mendesak kerajaan mengembalikan subsidi, terutama barangan makanan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan memalukan.

"Kerajaan sudah menanggung subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion, RM200 juta untuk ayam, petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG)(RM37.3 bilion) dan elektrik berjumlah RM5.8 bilion," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Telemong berkata demikian ketika mengulas langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mengadakan 'flash mob' kenaikan harga barang dan subsidi di beberapa lokasi di negeri itu, semalam.

Mengulas lanjut, Rozi yang juga Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu, berkata walaupun perhimpunan itu mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Seksyen 9, Akta Perhimpunan Aman, tindakan itu boleh memberi kesan buruk kepada imej negara dan kerajaan.

"Kita dimaklumkan, perhimpunan tidak berfaedah dan boleh mencemarkan imej negara serta kerajaan itu turut akan dilakukan di negeri ini.

"Pemimpin parti politik pembangkang diminta mengkaji kadar inflasi negara yang masih berada pada tahap rendah iaitu 2.8 peratus berbanding di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 8.5 peratus," katanya.

Rozi berkata, pemimpin parti politik disaran supaya turut bersama membantu kerajaan yang sedang berusaha mengurangkan kos sara hidup rakyat dan bukannya mengadakan perhimpunan di tepi jalan atau di kawasan tumpuan awam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-