Wednesday, July 6, 2022

Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri & Nadia Azam
Diterbitkan: Jul 6, 2022 3:11 PM
Penyanyi yang sedang berdepan pertuduhan berkaitan dadah, Yasin Sulaiman, kini terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas dia dikenakan pertuduhan baru hari ini.

Peguam Yasin, Yusmadi Yusoff, yang bercakap kepada Malaysiakini memberitahu pihak pendakwaan menetapkan penyanyi terbabit didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya pertuduhan berkenaan dipinda selepas laporan kimia menunjukkan berat ganja yang dirampas daripada Yasin adalah kurang daripada 200 gram.

“Apabila dadah hanya seberat 193.7 gram, maka pertuduhan sebelum ni mengikut Seksyen 39B (1)(a) yang membawa hukuman mati mandatori ditarik balik,” katanya ketika dihubungi selepas selesai prosiding di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebentar tadi.

Mengikut pertuduhan baru itu, Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Jika disabitkan bersalah Yasin boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 kali.
Yusmadi Yusoff
Sebelum ini, Yasin didakwa mengedar dadah berbahaya jenis sama seberat kira-kira 214 gram di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagi satu lagi pertuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu berisi tanah pada tempat, waktu dan tarikh sama, pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Menurut Yusmadi, Yasin turut mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan lain yang turut dibacakan hari ini iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam pada tarikh sama.

“Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kata Yusmadi, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 22 Ogos bagi sebutan semula ketiga-tiga kes, selain serahan dokumen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-