Tuesday, August 30, 2022

12 laporan polis, Zahid disiasat bawah akta hasutan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 30, 2022 4:32 PM
Polis mengesahkan menyiasat ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam taklimat khas kepada akar umbi Umno di Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Menurut kenyataan polis, Zahid disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berkaitan kesalahan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (salah guna rangkaian perkhidmatan).

Siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) atau D5 itu dibuat susulan 12 laporan polis yang diterima.

Zahid dilapor memberi amaran bahawa perbicaraan kes rasuah SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak bakal dirujuk sebagai contoh perbicaraan tidak adil oleh negara Komanwel.
Najib ketika dibawa ke Penjara Kajang sebelum ini
Katanya, ia antaranya kerana tidak menampilkan saksi utama, iaitu bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

“Apabila watak-watak utama tidak ditampilkan, bukti baharu tidak diterima, dan penangguhan tidak dibenarkan ekoran pertukaran peguam baru, maka wujudlah pelbagai persepsi yang menjurus kepada tanggapan wujudnya perbicaraan yang tidak adil,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis sedang menjalankan siasatan terhadap Ahmad Zahid, berhubung ucapannya pada majlis Taklimat Khas Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, ACP A Skandaguru, berkata siasatan dijalankan susulan 12 laporan polis diterima terhadap ucapan presiden Umno itu.

“Siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Biro Mobilisasi parti Amanah, Mohd Sany Hamzan, membuat laporan polis terhadap kenyataan Ahmad Zahid ketika beliau berucap semasa taklimat khas itu.

Mohd Sany mendakwa ucapan Ahmad Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Klip video dan teks ucapan Ahmad Zahid dalam taklimat itu tersebar di media sosial.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-