Tuesday, August 23, 2022

'Keputusan mahkamah bukti Muhyiddin berkata benar'

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh 
farid_noh@bh.com.my
- Ogos 23, 2022 @ 8:37pm
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, membuktikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berada di pihak yang benar.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata perjuangan dilakukan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bagi menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, penghargaan diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu atas prinsip 'berkata benar' dan 'tiada yang disembunyikan' dalam perjuangan sehingga beliau dipecat daripada UMNO pada 2016.

"Sejak dipecat daripada UMNO, Muhyiddin menempuh pelbagai liku dan cabaran dalam perjalanan karier politiknya hanya kerana menegur skandal moral dan kewangan membabitkan Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

"Sebuah perjuangan yang penuh dengan kesabaran dibuktikan kebenarannya dan ahli BERSATU wajar bangga dengan sosok pemimpin yang ikhlas berjuang demi agama, bangsa serta tanah airnya.

"BERSATU Johor merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin kerana mengambil langkah berani tanpa lelah membongkar skandal terburuk dalam sejarah negara selama ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Sementara itu, Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata, BERSATU menyanjung tinggi keputusan dibuat panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun yang mencerminkan keadilan dan kebebasan Badan Kehakiman di negara ini.

Katanya, keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan hari ini akan menjadi sejarah dan terus terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia.

"Semua yang berlaku ini juga ketentuan Allah SWT dan kita perlu reda serta mengambil ibrah daripadanya.

"Perjuangan nilai moral dan integriti akan terus BERSATU perjuangkan, kerana tiada siapa yang rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin rakus yang menyalahgunakan kuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-