Sunday, August 14, 2022

PM akan dengar cakap kita PRU-15 diadakan tahun ini juga, kata Zahid

agendaily.com
14/08/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini masih membangkitkan isu PRU-15 perlu disegerakan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mematuhi permintaan Barisan Nasional (BN) untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini juga, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata hasil perbincangan antara ‘top 5’ dalam UMNO, dijangkakan Perdana Menteri akan mendengar permintaan untuk tidak menunggu lama bagi mengadakan PRU-15 memandangkan beliau orang parti dan pasti akan mendengar cakap parti.

“Kita sudah bincang dengan ‘Top 5’ termasuk Perdana Menteri (PM) yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ini bacaan saya, pilihan raya pada tahun ini juga… bacaan PM, saya percaya beliau akan mendengar nasihat dan pandangan kita,

“Beliau (PM) orang parti dan sebagai pemimpin sudah pasti tahu masa sesuai kerana isu akan terus timbul dan direka yang mana pembangkang menjadikan budaya kebencian ditanamkan kepada parti kita,” katanya dipetik laporan BH.

Zahid terdahulu menyampaikan ucapan semasa penutup Konvensyen Wanita BN, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri tidak menghadiri konvensyen hari ini, bagaimanapun ia turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran serta wakil parti komponen dan Friends of BN.

Untuk rekod, ‘top five’ merupakan lima pemimpin tertinggi dalam UMNO yang terdiri daripada Zahid, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presidennya iaitu, Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Spekulasi mengatakan berkemungkinan bajet akan dibentang lebih awal pada September dan Parlimen dibubarkan selepas selesai dibentang.

Persediaan awal juga sudah dimulakan Kementerian Kewangan untuk menyiapkan kertas pembentangan Bajet 2023, sekaligus memberi isyarat ia boleh dibentangkan pada bila-bila masa selepas berakhir sidang Dewan Rakyat pada bulan ini.

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga difahamkan sudah menghantar memo dan memanggil sukarelawan untuk bertugas semasa PRU-15 depan, beberapa sukarelawan SPR yang bertugas semasa PRU-14 sebelum ini memberitahu sudah menerima makluman meminta mereka untuk bersedia dipanggil bertugas.

Senario satu lagi adalah sekiranya PRU-15 diadakan tahun depan, berkemungkinan masa yang sesuai adalah selepas sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari.

Mengikut kalendar kebangsaan, sambutan Tahun Baharu Cina adalah pada 22 Januari 2023 dan berkemungkinan diadakan selepas tarikh tersebut, sama ada pada Februari atau Mac depan.

Namun, berdasarkan situasi semasa, kecenderungan PRU-15 diadakan lebih awal pada tahun ini semakin kuat, malah UMNO difahamkan sudah mengadakan perbincangan antara ‘top 5’ bagi memilih tarikh pembubaran Parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-