FMT Reporters
-August 20, 2022 9:45 PM
Majlis presiden PH yang terdiri daripada pemimpin PKR, Amanah, DAP dan Upko menggesa pemimpin Umno menghentikan serangan mereka.
PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan menyokong tindakan polis untuk menyiasat dan menangkap mereka yang membuat ugutan terhadap Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Tengku Maimun mengetuai panel hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan bekas perdana menteri Najib Razak terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International.
Majlis presiden PH berkata, mereka terkejut dan dukacita dengan kenyataan dibuat pemimpin tertinggi Umno baru-baru ini yang boleh ditafsirkan sebagai serangan terhadap badan kehakiman.
“Malah serangan-serangan ini khususnya dari kalangan penyokong Umno dan ‘cybertroopers’ semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap ketua hakim negara.
“Ugutan mencedera atau membunuh ini adalah kesalahan-kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.
“Oleh itu, Pakatan Harapan menyokong kenyataan ketua polis negara bahawa mereka yang mengugut untuk mencedera atau membunuh ketua hakim negara akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan,” kata mereka dalam kenyataan.
Kenyataan itu di dikeluarkan bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lok Siew Fook, dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.
Mereka berkata serangan terhadap ketua hakim negara semakin menjadi-jadi terutamanya apabila proses rayuan Najib hampir tamat.
Tegas mereka lagi, kebebasan institusi kehakiman mesti dipertahan sepanjang masa, dan institusi tersebut wajib kekal konsisten sebagai salah satu tunggak utama dan tiang seri negara.
“Kami turut memberi peringatan tegas bahawa pimpinan parti-parti politik terutama Umno perlu menghentikan serangan-serangan ke atas institusi kehakiman dan membenarkan proses perbicaraan berjalan hingga ke penghujungnya.
Awal hari ini polis mengumumkan penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun susulan ugutan yang dibuat terhadap Tengku Maimun. Suspek disiasat mengikut Akta Hasutan.
Sebelum ini juga dilaporkan bahawa Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat ugutan yang dibuat terhadap ketua hakim negara.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.