Al-Abror Mohd Yusuf & Hariz Mohd
Diterbitkan: Aug 21, 2022
Dapat difahami situasi yang melatari Ismail Sabri Yaakob ketika ini. Di satu sisi pemimpin tertinggi parti secara jelas mahukan parlimen dibubar segera.
Namun pada sisi berbeza, ada pertimbangan yang lain yang perlu dibuat dan keadaan semasa seakan-akan tidak memihak kepada parti.
Ketika perdana menteri mengakui rakyat perlu diberikan hak untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya, faktor masa yang sesuai nampaknya menjadi isu paling mendasar.
"Kalau saya kata lama lagi, marah parti saya. Parti saya nak cepat.
"Cuma saya dah sebut beberapa kali, banyak pertimbangan (perlu diambil kira) sebelum kita buat keputusan," katanya ketika ditanya mengenai tarikh pilihan raya umum (PRU) akan diadakan.
Memang sekarang tumpuan politik banyak terarah kepada kedatangan PRU ke-15. Bayangan dan petanda untuk menunjukkan ia sudah dekat memang banyak.
Misalnya desakan terbuka pemimpin kanan Umno yang mahu ia diadakan segera. Bahkan desakan itu sebenarnya bukanlah baru. Ia sudah disuarakan ketika pergerakan negara ini masih dikekang oleh wabak Covid-19 lagi.
Desakan Umno bolehlah dikatakan 'wahyu' buat kerajaan kerana ketika ini ia diketuai salah seorang pemimpin kanan parti itu. Ismail Sabri merupakan naib presiden Umno, manakala suara yang mahukan PRU segera datangnya daripada presiden sendiri, Ahmad Zahid Hamidi.
Untuk rekod tidak seperti kebanyakan negara demokrasi, pembubaran parlimen untuk membuka jalan kepada pelaksanaan PRU di negara ini kekal menjadi rahsia sehinggalah ke saat-saat akhir.
Media bantu kerajaan
Keadaan itu - suka atau tidak - memberikan kelebihan kepada parti pemerintah berbanding pembangkang.
Menurut Ismail Sabri sejak PRU ke-14 sudah beberapa kali kerajaan bertukar, malah perdana menteri sendiri berubah sebanyak tiga kali.
"Betul, rakyat perlu diberikan ruang untuk memilih kerajaan yang baru, sebab dah tiga kali kerajaan berubah.
"Ada yang iktiraf, ada yang tak iktiraf, justeru lebih baik pulangkan mandat kepada rakyat.
"Tapi isu yang dihadapi kerajaan juga banyak dan perlu diselesaikan," katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diwawancara media sempena setahun dia menjadi perdana menteri. Ahli parlimen Bera itu dilantik menjadi perdana menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 bagi menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang terpaksa berundur selepas kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Menurut Ismail Sabri ketika ini isu terbaru yang muncul ialah skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) yang kesannya kepada parti dan kerajaan belum dapat dipastikan.
Pada masa sama, bekas ketua pembangkang itu menjangkakan isu tersebut akan terus dijadikan 'peluru' untuk menyerang kerajaan.
Malah kata Ismail Sabri dia percaya pembangkang akan menggunakan isu LCS seperti skandal 1MDB sebelum PRU ke-14.
Walaupun sudah ada individu didakwa di mahkamah - dan mungkin akan ada lagi turut diambil tindakan sama - Ismail Sabri berkata isu tersebut akan terus dimainkan.
Katanya dia juga tidak tahu bila isu tersebut akan reda.
"Yang penting bagi saya, apa yang penting ialah penjelasan kepada rakyat mengenai isu ini.
"Kegagalan kerajaan (BN) dulu apabila timbul isu 1MDB ialah gagal untuk menjelaskan perkara sebenar pada rakyat," katanya lagi.
Menurut Ismail Sabri lagi, dia sudah memberi arahan kepada Kementerian Pertahanan untuk melibatkan semua media bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku mengenai skandal LCS.
Dengan cara itu, katanya, media boleh membantu kerajaan memberikan penjelasan kepada orang ramai.
Pun begitu Ismail Sabri mengakui tugas tersebut tidaklah mudah, terutama apabila isu tersebut dikaitkan dengan integriti serta keyakinan orang ramai kepada tindakan kerajaan menangani sesuatu skandal.
"Sebab itu saya terus membuat keputusan agar laporan audit forensik itu mesti di-declassified-kan (dinyah rahsia) kerana kita mesti telus," katanya.
Di sebalik 'dilema' itu, Ismail Sabri juga mengakui suasana ekonomi pada 2023 mungkin tidak menentu dan hal itu sudah diberi amaran oleh pelbagai pihak termasuk Bank Dunia.
Menunggu lebih lewat untuk PRU, katanya, mungkin akan turut menyukarkan Umno dan kerajaan kerana suasana ekonomi yang lembap bukanlah masa yang baik untuk rakyat mengundi.
"Kesimpulannya, PRU akan diadakan sama ada pada tahun ini atau tahun depan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.