Showing posts with label Ketua Hakim Negara. Show all posts
Showing posts with label Ketua Hakim Negara. Show all posts

Monday, March 17, 2025

Campur tangan dalam kehakiman: Bangkai gajah…. ...yang sedang ditutup kerajaan

harakahdaily.net
March 17, 2025
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah campur tangan dalam badan kehakiman ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam sekali lagi mengundang pertikaian. Kenyataan ini bukan sahaja bercanggah dengan realiti semasa tetapi juga terang-terang cuba menyembunyikan fakta yang jelas dan terang di mata rakyat.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam beberapa kenyataan sebelum ini telah mengingatkan tentang risiko campur tangan politik dalam pelantikan hakim dan memberi amaran mengenai sebarang usaha untuk mempengaruhi badan kehakiman. Adakah kenyataan Ketua Hakim Negara ini dilontarkan tanpa sebarang asas? Sudah tentu ada ‘elephant in the room’ yang sedang cuba disembunyikan kerajaan.

Malah, sembilan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia telah menyuarakan kebimbangan mereka bahawa pentadbiran kerajaan hari ini lebih teruk dalam menghormati kebebasan badan kehakiman berbanding tiga Perdana Menteri sebelumnya. Pada 10 Januari 2024, Majlis Peguam dalam satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa “campur tangan kerajaan dalam institusi kehakiman semakin ketara dan membimbangkan,” berikutan beberapa keputusan mahkamah yang mencetuskan kontroversi.

Pelantikan bekas Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Salleh, sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana badan kehakiman boleh berfungsi dengan bebas tanpa pengaruh eksekutif. Di banyak negara, terdapat tempoh bertenang (cooling-off period) sebelum seseorang yang memegang jawatan eksekutif boleh dilantik ke badan kehakiman. Ini bertujuan memastikan kebebasan institusi kehakiman dan mengelakkan sebarang pengaruh yang tidak wajar. Namun, di Malaysia, peralihan ini berlaku dengan pantas, menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap kebebasan kehakiman.

Lebih membimbangkan, keputusan kerajaan untuk tidak merayu pembebasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 pertuduhan rasuah berkaitan Visa Luar Negara (VLN) menimbulkan persepsi bahawa sistem kehakiman sedang diperalatkan untuk kepentingan politik.

Sejak awal pentadbiran kerajaan ini, beberapa tindakan telah menimbulkan kebimbangan bahawa badan kehakiman tidak diberikan kebebasan sepenuhnya. Antaranya:Penyelewengan dalam pelantikan kehakiman – Proses pelantikan hakim yang dikritik kerana tidak mematuhi prinsip ketelusan dan meritokrasi, termasuk pelantikan individu yang berkait rapat dengan pentadbiran kerajaan.
Penangguhan atau pengguguran kes berprofil tinggi – Beberapa kes yang melibatkan ahli politik yang bersekutu dengan kerajaan telah ditangguhkan atau digugurkan dengan alasan teknikal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilan dalam proses perundangan.

Jelas sekali kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam urusan kehakiman adalah retorik kosong yang tidak selari dengan tindakan sebenar. Rakyat berhak mengetahui bahawa kebebasan badan kehakiman tidak boleh hanya sekadar slogan, tetapi mesti dibuktikan dengan tindakan yang benar-benar menghormati doktrin pemisahan kuasa (separation of powers) seperti yang termaktub dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang bentuk campur tangan eksekutif (executive interference) dalam badan kehakiman bukan sahaja melanggar prinsip demokrasi, malah boleh membawa kepada krisis keyakinan terhadap sistem keadilan negara.

Justeru, kerajaan dituntut agar:Menghentikan sebarang bentuk campur tangan dalam badan kehakiman dan menjamin kebebasan institusi ini sepenuhnya.
Mewujudkan mekanisme bebas bagi memantau pelantikan dan perjalanan sistem kehakiman agar tidak berada di bawah pengaruh politik.
Kajian semula dibuat terhadap keputusan-keputusan kontroversi yang mencetuskan kebimbangan tentang keadilan dan ketelusan dalam sistem perundangan negara.

Malaysia perlu dipastikan mempunyai badan kehakiman yang benar-benar bebas dan tidak diperalatkan untuk kepentingan politik pihak tertentu. Ini bukan sahaja penting bagi memastikan keadilan ditegakkan (justice is upheld) tetapi juga bagi menjamin kestabilan perlembagaan (constitutional stability) dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Mac 2025

Friday, February 24, 2023

'Siasatan SPRM terhadap hakim kes SRC tak ikut protokol'

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Feb 24, 2023 10:37 AM
Mahkamah Persekutuan memutuskan siasatan SPRM terhadap seorang hakim yang memutuskan sabitan dan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dibuat tanpa mengikut protokol.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan SPRM menjalankan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.

Panel hakim dibarisi Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah serta empat hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Vernon Ong Lam Kiat, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.

Ketika membacakan pemerhatian panel hakim, Tengku Maimun membangkitkan persoalan masa siasatan tersebut diuar-uarkan, iaitu, sebelum rayuan Najib dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

Keputusan hari ini berhubung rujukan persoalan undang-undang berkaitan saman terhadap SPRM berhubung siasatannya ke atas Nazlan.

[Berita lanjut menyusul]

Monday, January 9, 2023

Saya pernah terima ancaman bunuh, kata ketua hakim negara

freemalaysiatoday.com
Bernama
-January 9, 2023 7:00 PM
Tengku Maimun Tuan Mat berkata, dalam kes melibatkan tokoh tertentu, komen yang ditujukan kepada badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah dan berbaur politik. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan beliau pernah mendapat ancaman bunuh semasa mengendalikan kes membabitkan tokoh dan personaliti tertentu.

Beliau berkata, kebiasaannya dalam setiap kes mahkamah yang diputuskan, akan ada pihak yang berpuas hati dan sebaliknya.

“Itu lazim…yang menjadi luar biasa dalam kes-kes melibatkan tokoh atau personaliti tertentu, sokongan atau kecaman agak luar biasa kerana umum mengetahui saya sendiri pun pernah mendapat ancaman bunuh.

“Serius atau tidak, itu soal lain, tapi ia mencapai tahap begitu sekali,” katanya pada majlis pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, apabila sesuatu kes melibatkan tokoh tertentu, komen yang ditujukan kepada badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah dan berbaur politik, bukannya komen membina.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata, setiap kes yang diputuskan mahkamah tidak mempunyai sebarang agenda, sebaliknya ia berdasarkan undang-udang dan selaras peruntukan sedia ada.

“Saya mengharapkan masyarakat di luar sana memahami struktur proses undang-undang di negara ini sebelum mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan ketidakfahaman.

“Jadi, fahami dulu, kemudian jika masih tidak faham, bertanyalah kepada orang-orang yang faham dan jangan membuat kenyataan keterlaluan.”

Tahun lalu, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun di media sosial dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan.

Saturday, January 7, 2023

PM: Beri ruang pada ketua hakim, badan kehakiman jalankan tugas dengan bebas

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Jan 7, 2023
Ketua Hakim Negara dan badan kehakiman perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka dengan bebas dan profesional berlandaskan fakta dan hukum, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini penting bagi memberi isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa terdapat pengasingan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan badan kehakiman dalam menjalankan tugas mengikut kapasiti masing-masing.

“Saya rasa tidak harus perdana menteri itu mencalonkan hakim yang senang dengan dia, walaupun ada satu dua yang saya rasa patut teliti semula, tapi saya fikir lebih baiklah saya beri signal yang jelas beri ruang kepada Ketua Hakim Negara dan badan kehakiman untuk menjalankan tugas mereka dengan bebas dan profesional berlandaskan fakta dan hukum, bukan kerana nafsu, kemarahan ataupun puak,” katanya dalam temu bual Naratif Khas Bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Beliau berkata badan kehakiman yang dulunya tidak diragui dan tidak mungkin disangkal, dianggap berkompromi di bawah penguasaan eksekutif, selain pandangan Majlis Peguam Malaysia dan Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) yang menganggap ada kepincangan dan kelemahan dalam badan kehakiman.

“Tapi kita lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ada perubahan dan pelantikan badan kehakiman umpamanya, saya belum pernah campur satu pelantikan pun sekali. Saya ikut proses Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan kemudian Ketua Hakim Negara mengemukakan (nama) dan saya terima,” katanya.
Mengenai isu rasuah dan integriti, Anwar berkata beliau telah memberikan kelonggaran kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak menyiasat sepenuhnya, bermula dari peringkat atasan.

“Saya beritahu kepada pihak penguatkuasaan harus tegas tidak kira ...(sesiapa pun) dan kepada rakan-rakan jemaah menteri pun, saya setiap minggu pesan bahawa saya tidak pertahankan andai kata ada kesilapan ataupun bukti tentang amalan memunggah kekayaan negara,” katanya.

Beliau juga berkata berdasarkan kes di negara ini, terdapat ‘ikan bilis’ dan ‘jerung’ yang telah ditangkap dan dipenjarakan kerana isu terbabit dan percaya ada banyak lagi kes seperti itu berlaku.

“...yang agak memualkan saya ialah kita ada pengalaman di mana ‘orang besar’ pun sudah ditangkap tetapi belum ada pengajaran. Kalau lihat umpamanya fail-fail (isu) tebatan banjir, Menara Kuala Lumpur dan Jana Wibawa, setiap kes itu ada sahaja percubaan pemunggahan kekayaan oleh tokoh-tokoh itu.

“Jadi dalam kesempatan sedia ada, insya-Allah saya akan pastikan ada tindakan supaya dijadikan pengajaran kepada mereka yang lalu dan yang sekarang,” katanya.

Menjawab kritikan sesetengah pihak kononnya pendekatan sedemikian berunsur politik dendam, Anwar berkata ia hanya dianggap begitu jika ada ‘orang takut disiasat.’

Katanya beliau tidak pernah masuk campur malah telah memberi arahan yang jelas kepada SPRM bahawa kerajaan pimpinannya tidak mahu bersikap menutup kes atau memilih dalam soal siasatan.

“...tetapi sepertimana yang kita lihat, umpamanya yang berlaku sekarang ialah beberapa langkah untuk terus menyiasat tapi terus ada tuduhan seolah-olah ini balas dendam.

“(Hakikatnya) kalau kita tidak buat apa-apa, mereka kata ini bukan tadbir urus yang baik, mahu menutup kes rasuah yang besar, tapi bila kita ambil tindakan, mereka kata ini politik untuk menekan pihak tertentu,” katanya.

- Bernama

Tuesday, August 23, 2022

Tindakan Najib mohon tukar hakim di saat akhir, taktik berniat jahat - Sithambaram

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
ajohari@bh.com.my
- Ogos 23, 2022 @ 2:25pm
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, hadir pada rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Seri Najib Razak, yang memohon supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya, adalah satu lagi taktik berniat jahat untuk mengganggu prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, turut mempersoalkan mengapa pihak pembelaan tidak memfailkan permohonan awal lagi berhubung perkara itu sedangkan sudah mengetahui mengenai hantaran di laman Faceebook oleh Zamani Ibrahim, yang didakwa Najib sebagai suami Tengku Maimun, pada 17 Ogos lalu.

Malah, katanya, hantaran itu diterbitkan pada 11 Mei 2018, justeru, pihak pembelaan sudah tentu sudah mengetahui mengenainya lebih awal dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, pembelaan boleh mengemukakan bantahan ketika prosiding rayuan akhir bermula, namun memilih untuk tidak berbuat demikian, sebaliknya menunggu perkembangan prosiding sebelum bertindak di saat-saat akhir.

"Peguam jenayah memang cemerlang menggunakan taktik sedemikian untuk melengahkan prosiding mahkamah.

"Pembelaan melakukan helah demi helah yang diumpamakan sebagai taktik ahli silap mata melalui permohonan untuk menggugurkan Tengku Maimun apabila permohonan sebelum ini tidak memihak kepadanya.

"Adalah tidak masuk akal bahawa seseorang yang boleh mengetahui mengenai hantaran di Facebook itu empat tahun lalu, hanya memasukkan perkara itu dalam afidavitnya beberapa hari lalu. Ini jelas menyalahgunakan proses mahkamah.

"Dengan itu, saya memohon permohonan ini, secara langsung tidak layak dipertimbangkan dan perlu ditolak mentah-mentah," katanya.

Sithambaram berkata, jika pembelaan bertindak lebih awal dan memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya tidak perlu berhujah mengenai rayuan akhir terlebih dahulu yang tidak mengikut kebiasaan.

Peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik, bagaimanapun berkata, bukannya pembelaan yang enggan berhujah tetapi tidak diberikan tempoh yang sewajarnya untuk bersedia dengan hujahan itu

"Saya katakan banyak kali, tempoh masa yang wajar patut diberikan kepada kami. Saya tidak pernah kendalikan kes itu sebelum ini. Saya rasa sedih kerana situasi ini berlaku," katanya.

‘Saya bukan tewas, tapi tak dapat keadilan,’ kata Najib

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 23, 2022 3:28 PM
PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau tidak mendapat keadilan daripada Mahkamah Persekutuan, tetapi bertekad untuk ‘meneruskan perjuangan’.

“Saya telah berusaha sedaya upaya, tapi nampaknya setiap apa yang saya pohon kepada mahkamah ditolak,” katanya kepada penyokong yang berkumpul di mahkamah hari ini.

“Saya tidak tewas dalam kes ini. Saya tak dapat keadilan.”

Najib berkata beliau sekarang sekadar menunggu keputusan barisan lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

“Kalau keputusan buruk pun, saya minta maaf lah,” katanya.

“Yang penting, perjuangan diteruskan.”

BERITA LANJUT MENYUSUL

Jika semua selesai hari ini, tiada siapa perlu datang esok - Tengku Maimun

hmetro.com.my
Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Putrajaya: "Jika semua selesai hari ini, tiada siapa perlu datang esok," tegas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan pendengaran akhir kes itu ke pagi esok.

Muhammad Shafee membuat kemunculan di dalam prosiding rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd sebentar tadi.

Beliau hadir bagi membantu peguam Hisyam Teh Poh Teik bagi permohonan Najib bagi meminta Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan bagi rayuan itu.

Muhammad Shafee berkata dia dimaklumkan berhubung perkara itu pagi ini dan belum bersedia untuk berhujah.

Tengku Maimun : Bukankah khidmat Muhammad Shafee sudah ditamatkan?

Hisyam : Ya Yang Amat Arif, saya yakinkan beliau untuk hadir pagi pagi ini bagi membantu saya. Bagaimanapun beliau masih dalam perjalanan dan akan tiba dalam 10 minit lagi. Saya mohon ditangguhkan sebentar prosiding ini.

Tengku Maimun : Saya sudah katakan kita tidak akan tangguh lagi prosiding ini. Tidak, tidak, teruskan dengan hujahan Tuan Haji (Hisyam).

Hisyam meneruskan hujahannya bagi permohonan notis usul meminta Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar dan memutuskan rayuan akhir kes anak guamnya.

Muhammad Shafee kemudian tiba dan memberitahu mahkamah bahawa beliau belum bersedia untuk membuat hujahan mengenai permohonan itu.

Muhammad Shafee : Saya hanya akan bercakap dua atau tiga minit sahaja Yang Amat Arif, saya mohon prosiding hujahan ini ditangguhkan sehingga esok. Tidak ada sebarang konspirasi untuk menangguhkan kes, saya hanya mohon ditangguhkan sehingga esok.

Tengku Maimun : Saya dah buat keputusan tiada penangguhan. Tuan Haji (Hisyam) sudah memulakan hujahan. Awak boleh sambung kemudian.

Muhammad Shafee : Saya cuma minta sehingga esok pagi. Tidak sampai 24 jam. Saya akan hadir esok pagi dan memulakan hujahan.

Tengku Maimun : Awak boleh datang esok atau bila-bila masa tetapi kalau semua selesai hari ini, tiada apa perlu dihujahkan esok.

Hisyam : Yang Amat Arif, saya akan meneruskan hujah hari ini tetapi dengan hujahan tambahan oleh Muhammad Shafee disambung esok pagi.

Muhammad Shafee : Penangguhan ini tidak sampai 24 jam, tinggal 12 jam lagi. Saya hanya dimaklumkan pagi ini ketika berada di parlimen. Saya akan hadir esok pagi kerana perlu kembali ke Parlimen kerana terdapat simposium yang dipengerusikan oleh saya sendiri pada jam 2 petang ini.

Tengku Maimun : Jika semua selesai hari ini, tiada sebab Muhammad Shafee datang esok. Tiada siapa akan datang esok.

Saturday, August 20, 2022

Ugut ketua hakim negara: Pemimpin PH sokong siasatan polis

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 20, 2022 9:45 PM
Majlis presiden PH yang terdiri daripada pemimpin PKR, Amanah, DAP dan Upko menggesa pemimpin Umno menghentikan serangan mereka.

PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan menyokong tindakan polis untuk menyiasat dan menangkap mereka yang membuat ugutan terhadap Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Tengku Maimun mengetuai panel hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan bekas perdana menteri Najib Razak terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International.

Majlis presiden PH berkata, mereka terkejut dan dukacita dengan kenyataan dibuat pemimpin tertinggi Umno baru-baru ini yang boleh ditafsirkan sebagai serangan terhadap badan kehakiman.

“Malah serangan-serangan ini khususnya dari kalangan penyokong Umno dan ‘cybertroopers’ semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap ketua hakim negara.

“Ugutan mencedera atau membunuh ini adalah kesalahan-kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, Pakatan Harapan menyokong kenyataan ketua polis negara bahawa mereka yang mengugut untuk mencedera atau membunuh ketua hakim negara akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan,” kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan itu di dikeluarkan bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lok Siew Fook, dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Mereka berkata serangan terhadap ketua hakim negara semakin menjadi-jadi terutamanya apabila proses rayuan Najib hampir tamat.

Tegas mereka lagi, kebebasan institusi kehakiman mesti dipertahan sepanjang masa, dan institusi tersebut wajib kekal konsisten sebagai salah satu tunggak utama dan tiang seri negara.

“Kami turut memberi peringatan tegas bahawa pimpinan parti-parti politik terutama Umno perlu menghentikan serangan-serangan ke atas institusi kehakiman dan membenarkan proses perbicaraan berjalan hingga ke penghujungnya.

Awal hari ini polis mengumumkan penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun susulan ugutan yang dibuat terhadap Tengku Maimun. Suspek disiasat mengikut Akta Hasutan.

Sebelum ini juga dilaporkan bahawa Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat ugutan yang dibuat terhadap ketua hakim negara.

Lelaki disyaki ugut ketua hakim negara direman 4 hari

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 20, 2022 6:47 PM
Pihak polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun malam tadi bagi membantu siasatan berhubung ugutan dan ancaman terhadap Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Skandaguru Anandan berkata, lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Puchong, Selangor sekitar jam 11.45 malam.

Katanya, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan di laman Facebook.

"Suspek dibenarkan untuk ditahan reman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Ogos untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan jenayah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan.

Semalam Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihak polis akan melakukan siasatan segera berhubung ugutan yang dibuat terhadap Tengku Maimun di media sosial.

Tengku Maimun kini mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Ia adalah usaha terakhir Najib untuk mengelak daripada dipenjarakan berikutan sabitan bersalah dalam kes tersebut.

Keputusan mahkamah tertinggi menolak permohonan pihak pembelaan bagi mengemukakan bukti baru dan menangguhkan perbicaraan mendapat kritikan daripada penyokong Najib dan pemimpin tertentu dalam Umno.

Malaysiakini semalam melaporkan suami kepada ketua hakim negara itu, Zamani Ibrahim turut diserang di media sosial.

Satu catatan media sosial memberi amaran mengenai "pertumpahan darah" dan menggesa Maimun untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu.

Friday, August 19, 2022

KPN arah siasat segera ugutan terhadap Ketua Hakim Negara

ismaweb.net
Ainul Illia

KUALA LUMPUR, 21 Muharam 1444H, Jumaat Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat sebarang ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan di pelbagai platform media sosial termasuk Twitter dan Facebook sejak malam Khamis (18 Ogos).

Acryl Sani berkata, ia adalah satu perkara yang serius dan siasatan berhubung ugutan sedemikian sedang dijalankan walaupun tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.


“Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” katanya, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Tengku Maimun merupakan pengerusi bagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan akhir yang sedang berlangsung membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan sabitannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau diugut dan digesa menarik diri daripadanya kerana didakwa wujud konflik kepentingan.

Antara ancaman yang dikesan di laman Twitter yang disiarkan oleh akaun Buletin RMS memaparkan seorang individu memaparkan komen berbaur ugutan dalam laman Facebook ‘Umno Online Post’.

“Hakim Maimun janganlah jatuhkan hukuman pada orang yang tak bersalah, silap-silap pembunuh upahan cari kamu dan bunuh kamu… yang salah patut dihukum yang tak bersalah harus dibebaskan dengan keadilan. Peguam Najib nak beri analisis dokumen itu supaya kamu dapat bezakan mana yang salah dan mana yang tidak salah, badan kehakiman dan AGC (Pejabat Peguam Negara) perlu dibersihkan segera… ini adalah konspirasi politik dan keadilan… bebaskan Najib segera daripada semua pertuduhan palsu yang dibuat oleh (PH), hentikanlah kezaliman,” katanya.

Bimbang dengan kolen itu, ramai netizen menyeru pihak polis untuk menyiasat ugutan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Pemimpin UMNO semakin tak waras, serang Ketua Hakim dalam kes Najib

agendaily.com
19/08/2022
UMNO mempertikai keputusan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Hakim dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd menjadi sasaran pemimpin UMNO dan penyokongnya yang semakin hilang pertimbangan dan tidak waras dalam mengeluarkan kenyataan secara terbuka.

Dalam media sosial, laskar siber upahan UMNO semakin menggila dengan menjadikan isu peribadi sebagai modal untuk mencemarkan kredibiliti dan imej Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sedang mempengerusikan perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak.

Pelbagai tuduhan dan tohmahan bertaburan dalam platform media sosial yang dipercayai didalangi oleh UMNO, sama ada berbayar atau terlalu fanatik dengan Najib sehingga sanggup menghina institusi kehakiman negara.

Lebih malang lagi, pengikut dan penyokong Najib dilihat bebas dan bertindak sesuka hati dalam menabur fitnah dan memburukkan nama Tengku Maimun.

Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan membidas kempen yang dijalankan dalam media sosial, terutamanya daripada pemilik akaun yang dikaitkan dengan UMNO-Barisan Nasional dengan menjadikan Tengku Maimun sebagai sasaran.

“Lihatlah betapa terdesaknya mereka?

“Serang keluarga ketua hakim dan buat ancaman jelas tentang pertumpahan darah,” tulis Syahredzan dalam akaun Facebooknya.

Syahredzan turut berkongsi tulisan pengguna maya berkaitan ancaman itu serta yang mengaitkan keputusannya dengan suaminya.

Pemimpin Parti Muda turut tampil mempertahankan Tengku Maimun yang menjadi mangsa serangan susulan tulisan yang dikatakan dibuat suaminya Zamani Ibrahim.

“Kegilaan apakah ini,” tulis Lim Wei Jiet, pengasas Muda yang kini menjadi pemimpin anggota jawatankuasa eksekutif parti itu.

Terdahulu, seorang peguam bela dan peguam cara berpendapat tindakan dan kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO berhubung rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan sekarang ini, adalah serangan dan penghinaan terhadap badan kehakiman.

Muhammad Rafique Rashid Ali seorang peguam Mahkamah Tinggi berkata propaganda UMNO bermula setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib memasukkan bukti baharu dan menangguhkan perbicaraan rayuan akhirnya.

“Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu pada Selasa lepas, tiada sebarang komen diberikan oleh UMNO. Malah ada juga desas-desus menyatakan UMNO terpaku kerana ‘raja media sosial/FB’ mereka gagal dalam langkah terakhirnya.

“Namun, semalam propaganda UMNO telah bermula. Kepimpinan tertinggi UMNO melalui Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda telah membuat kenyataan-kenyataan yang boleh dianggap mempersoal keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut,” katanya semalam.

Perbicaraan Najib menjadi tumpuan selepas permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan ditolak.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta semalam.

Kenyataan Asyraf itu boleh dituduh sebagai satu penghinaan terhadap institusi mahkamah kerana cuba mempertikaikan keputusan Hakim, malah kenyataannya itu boleh mengakibatkan satu kes menghina mahkamah dibuka susulan kenyataannya tersebut.

Asyraf berkata Mahkamah Persekutuan sepatutnya membenarkan permohonan bukti baharu dikemukakan Najib dalam perbicaraan kes SRC International.

“Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu? Tidakkah kita semua juga mahu tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku?

“Dan pada akhirnya jika bukti-bukti ini mahu ditolak juga, maka tolaklah atas sebab kelemahan bukti ini sendiri. Bukannya atas sebab teknikal yang sebenarnya boleh ditimbang atas budi bicara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Susulan itu, UMNO juga secara terbuka mengeluarkan kenyataan kecewa dan mempertikai keputusan dalam perbicaraan SRC International yang tidak menyebelahi Najib.

Thursday, August 18, 2022

Mahkamah Persekutuan arah Hisyam terus wakili Najib dalam rayuan SRC

freemalaysiatoday.com
Ho Kit Yen
-August 18, 2022 12:06 PM

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Hisyam Teh Poh Teik gagal memberi alasan kukuh untuk menyokong permohonannya menarik diri.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakili Najib Razak dalam rayuan terakhir SRC International bekas perdana menteri itu.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, mahkamah sebulat suara berpendapat Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonannya menarik diri.

Hakim lain yang bersidang bersamanya ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim serta Zabidin Mohamad Diah.

“Oleh itu, permohonan untuk menarik diri ditolak dan peguam (Hisyam) kekal demi kepentingan keadilan,” kata Tengku Maimun.

Terdahulu, Hisyam memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan bagi kes itu, dalam usaha untuk mendapatkan penangguhan sekali lagi.

Selasa lalu, Hisyam meminta rayuan itu ditangguhkan “tiga hingga empat bulan” untuk memberi mereka masa membuat persediaan kerana pasukan pembelaannya baru dilantik akhir bulan lalu.

Tetapi, mahkamah menolak permohonan untuk penangguhan itu dan mengarahkan rayuan diteruskan.

Mahkamah menetapkan 15 hingga 26 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib dalam usaha membatalkan sabitan atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Sabitan ke atasnya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021, begitu juga hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Tengku Maimun kemudian bertanya Hisyam jika pasukan pembelaan bergantung kepada hujahan bertulis – yang difailkan bekas peguam (Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh) di mahkamah rendah – untuk tujuan perbicaraan hari ini.

Hisyam menjawab “ya”.

Mahkamah kemudian meminta Pendakwa Raya ad-hoc, V Sithambaram memulakan hujahnya.

“Kami meminta pihak pendakwaan mengemukakan hujah terlebih dahulu dengan tujuan memberi lebih banyak masa kepada perayu (Najib) untuk membuat persediaan bagi kesnya,” kata Tengku Maimun.

Monday, August 15, 2022

Permohonan bukti baru Najib: Ketua hakim negara ketuai panel lima hakim

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 15, 2022 9:49 AM
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim mahkamah persekutuan yang akan mendengar permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rasuah SRC International.

Anggota panel lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar terlebih dahulu permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan bukti baru bagi membatalkan sabitan terhadap satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC .

Sekiranya mahkamah menolak permohonan bukti baru itu, rayuan utama bekas menteri kewangan itu untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta akan diteruskan.

Tidak diketahui pada masa ini sama ada panel hakim yang sama bersedia untuk mendengar rayuan utama SRC.

SRC merupakan bekas anak syarikat 1MDB dan kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Mahkamah Persekutuan menetapkan sembilan hari mulai hari ini untuk mendengar rayuan bekas perdana menteri itu supaya dia dibebaskan dan mengetepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes berkenaan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan perbicaraan bermula dari 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

Setelah menjatuhkan hukuman itu, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan. Nazlan telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dan menolak rayuan Najib.

Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Permohonan bukti baru yang dikemukakan Najib adalah berasaskan bahawa hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan kerana pernah menjadi peguam am di Maybank sebelum ini.

Dakwaan percanggahan kepentingan itu tertumpu kepada peranan bank komersial itu dalam pembentukan SRC serta pinjaman kepada 1MDB.

Walaupun Najib telah menarik balik dakwaan rasuah terhadap Nazlan, bekas perdana menteri itu tetap berpendirian bahawa Nazlan memiliki konflik kepentingan.

Thursday, June 6, 2019

Reformasi institusi: PH ulangi pemerintahan BN

KAZMAN NOORDIN
06 JUNE 2019


TANGGAL 9 Mei 2018 adalah permulaan siri episod malang buat rakyat Malaysia. Apa yang didampakan rakyat hanyalah retorik serta pembohongan nyata, ia menjadi mimpi ngeri buat keseluruhan rakyat.

Rule Of Law yang dilaung-laungkan selama ini pun kian terhakis. Kini perjuangan membebaskan badan-badan utama dalam kerajaan dari campur tangan politik hanyalah sebuah 'skrip drama samarinda' yang dilakonkan oleh pewatak politikus dalam arena politik muktahir ini.

Slogan "suara rakyat, suara keramat" terus dikhianati. Sokongan rakyat kepada mereka terus dimanipulasi untuk melakukan apa sahaja perkara, meskipun bertentangan dengan dasar dan polisi perjuangan mereka sebelum ini.

Bermula pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang mencabuli aturan Parlimen, dituruti lantikan Ketua Hakim Negara yang membelakangi Majlis Raja-Raja Melayu serta disusuli penerimaan Peguam Negara yang membutakan semangat 'Separation of Powers' membuktikan PH jauh lebih teruk dari rejim BN.

Setahun PH mengambil alih kuasa kerajaan telah menyaksikan siri pendustaan serta penipuan terhadap Manifesto PH yang menjadi sumber rujuk rakyat menumbangkan rejim sebelum ini.

Langkah terkebelakang rejim PH dizahirkan lagi, apabila satu surat siaran yang menyatakan pemberhentian segera Dato' Seri Mohd Shukri Abdull dengan diganti Ahli Majlis Tertinggi PKR ke dalam badan penguat kuasa kerajaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merosakkan semangat tidak campurtangan politik dan mengelak atau menghindari bahaya 'kezaliman' (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance)antara kuasa tersebut.

Justeru, DPPNS mendesak penjelasan segera dari pejabat POM dalam isu ini. Dalam masa yang sama mengajak semua parti politik, badan-badan NGO dan rakyat keseluruhan membantah agar pelantikan ini di tarik balik dan diberi kepada tokoh yang disegani dan berkaliber atau penjawat awam yang jelas bebas dari pengaruh serta penguasaan politik, supaya badan dan agensi kerajaan difungsikan tanpa menimbulkan 'conflict of interest'.

KAZMAN NOORDIN

Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak

Thursday, May 2, 2019

Tengku Maimun wanita pertama dilantik ketua hakim

News | Diterbitkan Hari ini 6:20 petang


Hakim Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru bagi menggantikan Richard Malanjum yang bersara pada 12 April lalu.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan Tengku Maimon sebagai wanita pertama di Malaysia memegang jawatan tersebut, berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Terdahulu, tempoh perkhidmatan Richard sebagai Ketua Hakim Negara berakhir pada 12 April lalu, setelah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

Dalam kenyataannya Pejabat Perdana Menteri turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Richard di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan tersebut.

Untuk rekod, Tengku Maimun berkhidmat sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 sebelum dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada Nov lalu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Majlis tersebut akan diadakan setelah mendapat perkenan baginda.

Friday, April 19, 2019

Dr M: Calon CJ tunggu perkenan Majlis Raja-Raja

News | Diterbitkan Hari ini 5:50 petang


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata nama calon untuk menggantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara perlu diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan bukan sahaja kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kelihatannya terdapat peruntukan untuk pelantikan tersebut diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan bukan sahaja Agong.

"Kami telah memaklumkan kepada Agong. Terdapat keperluan untuk (baginda) memaklumkan kepada raja-raja yang sedang dilakukan sekarang dan kami sedang menunggu Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberi perkenan," kata Mahathir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas soalan mengenai dakwaan Agong dikatakan menangguhkan perkenan terhadap calon menggantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara.

Saturday, January 19, 2019

Aibkan kehakiman, hilang wibawa perundangan negara

NASRUDIN HASSAN 
19 JANUARY 2019


PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mencela sikap Ketua Hakim Negara (Tan Sri Richard Malanjum), Peguam Negara (Tommy Thomas) dan Menteri (YB VK Liew) di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) yang berdansa dalam satu majlis makan malam sepertimana yang tular dalam media sosial mutakhir ini.

Tarian mereka di khayalak awam telah mengaibkan institusi kehakiman dan menjatuhkan wibawa perundangan negara. Sangat memalukan.

Sikap tidak profesional dan mengaibkan mereka bersama beberapa orang aktivis guaman kontroversi telah mengundang pelbagai kritikan negatif dalam kalangan rakyat.

Bukankah ia boleh menjatuhkan penghormatan rakyat ke atas mereka?

Tidakkah ia boleh mencetuskan konflik kepentingan dengan pihak-pihak yang berkepentingan?

Selayaknya Perdana Menteri dan kabinet menilai semula kedudukan mereka di posisi penting dalam sistem kehakiman dan perundangan malah wajar digugurkan jawatan mereka supaya wibawa institusi ini dapat terus diperteguhkan dan dihormati oleh rakyat.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat

13 Jamadil Awwal 1440 | 19 Januari 2019

 – HARAKAHDAILY
    19/1/2019

Wednesday, June 13, 2018

Ketua hakim negara letak jawatan


Tun Raus Sharif meletakan jawatan sebagai ketua hakim negara manakala Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula berundur sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia menyebut kedua-dua mereka mengutus surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun lalu.

Peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 31 Julai, menurut kenyataan itu lagi.

“Peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun 2018 dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Urusan Diraja, Istana Negara bertarikh 11 Jun 2018,” kata pejabat itu.

Dalam kenyataan hari ini, pejabat Ketua Pendaftar juga berkata ada 15 Mei lalu Raus dan Zulkefli bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahthir Mohamada dan menyampaikan hasrat berundur.

“Bagaimanapun, Yang Amat Arif-Yang Amat Arif telah memaklumkan kepada YAB perdana menteri bahawa peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman diselesaikan,” menurut kenyataan itu.

Tuesday, May 15, 2018

PM jumpa ketua hakim negara, Gani Patail


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mengadakan perbincangan dengan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail di bangunan Yayasan Perdana di Putrajaya.

Abdul Gani mengetuai pasukan petugas khas mengenai isu dana RM2.6 bilion dan SRC International. Ketika siasatan dijalankan, beliau digantikan dengan alasan kesihatan dan digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sepanjang tempoh ini, terdapat desas desus kononnya wujud draf pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Datuk Najib Razak.

Raus dan Gani tiba sekitar jam 2.40 petang dengan kereta berasingan.

Semalam, ahli parlimen Pakatan Harapan Mohamed Hanipa Maidin menyeru Raus untuk meletak jawatan sebelum dipecat atau berdepan dengan tribunal atas dakwaan pelantikannya sebagai ketua hakim negara bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

Mahathir sejak memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu membidas pengganti Abdul Gani, iaitu Apandi dengan menuduhnya menyembunyikan bukti berkaitan dengan 1MDB.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Apandi diarahkan ber cuti manakala semakan oleh Malaysiakini mendedahkan bahawa juga dikenakan sekatan perjalanan.

[Baca berita penuh]

Wednesday, October 12, 2016

Penyokong Saiful sorak 'Mati Anwar' di luar mahkamah

Tarrence Tan
October 12, 2016

Kira-kira 50 orang berkumpul di luar mahkamah pada jam 10 pagi ini untuk menunjukkan solidariti kepada Saiful Bukhari.

VIDEO INSIDE
PUTRAJAYA: Penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan bagi menunjukkan solidariti kepada mangsa liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Kumpulan kira-kira 50 orang itu yang memperjuangkan “Keadilan untuk Saiful” berhimpun di luar Istana Kehakiman, sekitar 10 pagi ini.

Salleh Ismail yang mengetuai kumpulan itu, melaungkan slogan “mati Anwar” dan “mati PKR” bersama penyokong lain, dengan ada di kalangan mereka yang memegang sepanduk dan kain rentang memperjuangkan “Keadilan untuk Saiful”.

Beliau berkata, mereka menentang perbicaraan Anwar yang sering ditangguhkan dan menyifatkan tindakan merujuk bekas ketua pembangkang itu sebagai tahanan politik, tidak munasabah.

“Kami berada di sini hari ini kerana Anwar masih tidak boleh menjelaskan bagaimana sperma dia ditemui di badan Saiful.

“Malah, peguamnya juga tidak boleh menjelaskannya dan mereka menangguhkan perbicaraan sebanyak 69 kali. Sebaliknya, mereka asyik kata Anwar adalah tahanan politik,” katanya.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, memohon untuk mengetepikan keputusan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mendapati dia bersalah meliwat Saiful Bukhari, pada 2008.
Pautan video:

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-