Diterbitkan: Feb 17, 2023 6:32 PM
Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan tidak memberi kesan menyeluruh kepada peniaga dan rakyat, kata bekas exco Pemuda Umno Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
“Ya, ada kebaikannya, tetapi impaknya kepada peniaga dan juga rakyat tidak menyeluruh,” katanya yang meletakkan jawatan tiga minggu lalu kerana tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada.
Muqharabbin berkata Menu Rahmah hanyalah pendekatan retorik bagi mengalih isu rakyat yang menurutnya mahu kenaikan gaji dan mahu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Inisiatif itu juga, kata Muqharabbin, bukan idea baru kerana sudah dilaksanakan oleh mantan perdana menteri Najib Razak dengan nama Menu 1Malaysia.
Malah, katanya, usaha itu telah diketepikan selepas pilihan raya umum ke-14.
Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan oleh kerajaan bulan lepas dalam usaha mengurangkan kos sara hidup.
Melalui inisiatif itu, pelanggan boleh membeli makanan pada harga RM5 dan ke bawah, terdiri daripada nasi, ayam, atau ikan, dan sayur-sayuran dengan air kosong.
Ia tidak melibatkan sebarang dana kerajaan kerana diuruskan oleh pihak swasta, antaranya Pasar Raya Mydin dan restoran makanan segera Burger King.
Sementara itu, dalam kenyataannya petang ini, Muqharabbin berharap kerajaan dapat memberikan berita gembira berkaitan kenaikan gaji, sekurang-kuranya dalam dalam tempoh setahun.
Dia juga menyeru kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP sekurang-kurangnya antara 10 hingga 15 peratus.
“Kita semua tahu tahun ini, keadaan ekonomi negara agak meruncing dan membimbangkan.
“Bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan. Bagilah sedikit nafas untuk rakyat untuk kesekian kali ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.