Thursday, February 2, 2023

Menu Rahmah dapat sambutan, namun rakyat tetap harap harga barang turun

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Feb 2, 2023 8:52 AM
Berbaloi dan menjimatkan. Itu antara maklum balas yang diberikan pelanggan serta pembeli Menu Rahmah yang ditawarkan di kedai makan dan restoran di seluruh negara dengan harga RM5 bermula 31 Jan.

Tinjauan Malaysiakini di Mydin, Subang Jaya, Selangor juga mendapati pengunjung berpuas hati dengan harga dan jenis menu yang ditawarkan.

Antara menu yang ditawarkan ialah nasi ayam, nasi paprik, kuetiau, rojak, mee rebus, mee sup ayam dan roti john pada harga yang tidak melebihi RM5.

Bagaimanapun, rata-rata pelanggan yang ditemui tetap berharap kerajaan berusaha untuk menurunkan harga barangan dan perkhidmatan sedia ada.

Menurut pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Fendi, 37, juadah yang ditawarkan dalam Menu Rahmah itu lebih baik berbanding yang mampu diperolehinya ketika zaman bergelar pelajar sebelum ini, iaitu nasi bujang.

"Untuk harga RM5 dengan portion yang diberi so far so good (setakat ini memuaskan), jika nak dibandingkan dengan sebelum ini, zaman-zaman belajar dulu makan nasi bujang, nasi dengan telur dan kuah sup saja.

"Tapi, (Menu Rahmah) ini kira okey sangat. Orang kata berbaloilah dengan harga yang ditawarkan," katanya

Nasi bujang adalah makanan yang terdiri daripada nasi putih, telur dadar, sup kosong dan sambal, yang lazim di kalangan pelajar atau baru bekerja.

Menurut Fendi meskipun Menu Rahmah ini dikatakan dapat mengurangkan beban rakyat namun baginya ia tetap memakan kos yang besar jika melibatkan seisi rumah.
Fendi
"Nak kata kurangkan beban tak juga, sebab RM5 ini untuk sekali makan saja. Kita makan sehari paling kurang dua ke tiga kali, kemudian dengan anak lagi.

"Katalah, satu rumah ada empat kepala, dah RM20. RM20 jika kita beli beras dan lauk pauk lain kita dah boleh buat makan dua ke tiga hari punya makan.

"Menu Rahmah ini memang membantu rakyat, tapi bagi saya adalah lebih baik untuk kerajaan kurangkan kos harga barang," katanya.

Membantu pelajar

Bagaimanapun, dia faham usaha kerajaan untuk menurunkan harga barang dalam jangka masa terdekat adalah sukar.

"Bukan setiap hari orang boleh makan dekat kedai, kan? Jadi, selagi ekonomi tidak menentu ini wajarlah ia (Menu Rahmah) diteruskan dan kalau kata kerajaan boleh kurangkan kos harga barang mentah sangat baik.

"Cumanya, kalau kata nak turunkan harga barang secara mendadak pun tak boleh juga, sebab kerajaan pun baru memerintah. Jadi, bagilah mereka peluang," tambahnya.
Azmishah Saiful Bahri
Bagi Azmishah Saiful Bahri, 21, yang merupakan seorang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di Subang Jaya, Menu Rahmah yang ditawarkan sangat bermakna buat mereka yang masih belajar.

Azmishah berkata dengan keadaan ekonomi hari ini dan yuran pengajian yang agak tinggi memaksa mereka berjimat-cermat.

"Macam kami yang pelajar ini, harga makanan memang murahlah pada kita orang dan sangat membantu untuk pelajar macam kami.

"Biasanya kami memperuntukkan RM15 ke RM20 untuk belanja makan tengah hari tapi dengan Menu Rahmah ini kami dapat berjimat banyak jugalah.

"Dia murah dan sangat membantu kami, kuantiti makanan juga cukuplah untuk buat kita kenyang. Sedap pun sedap dan tak ada banyak beza dari segi rasa (hidangan) dia dengan harga yang ditawarkan sebelum ini," katanya.

Azmishah juga berharap Menu Rahmah diteruskan terutamanya kepada pelajar di bandar seperti mereka.
Ruzitah Hamid
Pekerja sektor perindustrian, Ruzitah Hamid, 29, yang ditemui juga menyambut baik pelaksanaan Menu Rahmah khusunya buat mereka yang perlu bekerja lebih 12 jam.

"Selalunya untuk kami yang bekerja sepenuh masa, kita akan ada dua kali waktu rehat iaitu pagi dengan petang.

"Jadi, dengan adanya Menu Rahmah ini dia lagi menjimatkanlah. Dengan bajet RM5 ini kita boleh dapat banyak pilihan makanan.

"Sebab selalunya sekali makan kita orang punya kos dalam RM15 untuk makanan dan minuman, jadi kalau dua kali waktu rehat tak lari dalam RM30 kita orang punya makan. Jadi dengan Menu Rahmah ini memang jimatlah dan sangat membantu untuk semua pekerja," katanya.
Suriander
Perkara yang sama turut dikongsikan rakan sekerja Ruzitah, iaitu Suriander, 21.

Suriander yang sebelum ini membelanjakan lebih RM10 untuk setiap hidangan kini boleh menikmati pilihan sajian makanannya dengan hanya RM5.

"Untuk saya baguslah sebab selalunya harga makanan disini mahal sikit dan biasanya kita akan belanja dalam RM10 tapi sekarang bolehlah dapat dengan harga RM5.

"Ia membantu sangat dan kita dapat jimat juga, ia juga patut diteruskan sebab ramai pelanggan memilih Menu Rahmah ini,” katanya.

Puas hati rasa makanan

Rakan karib, Raziah Derani, 52 dan Zabinah Kudang , 59 turut tidak ketinggalan untuk mendapatkan menu berkenaan.

Raziah yang bertugas di Sri Petaling berkata, inisiatif itu menjimatkan dan memudahkan orang ramai.
Raziah Derani.
"Untuk hidangan seperti ini (Menu Rahmah), alhamdulillah bolehlah.

"Menu dengan harga yang ditawarkan juga berbaloi. Harga mampu milik kata orang dan rasanya pun tak jauh beza, puas hatilah," katanya.

"Rasa makanan tu samalah, tak ada beza pun dengan yang sebelum ini. Sama saja dan berbaloilah. Ia juga membantu juga dan boleh diteruskanlah," kata Zabinah.
Zabinah Kudang
Manakala peniaga yang ditemui juga menyambut baik inisiatif kerajaan.

Meskipun maklum harga kos barangan semakin hari semakin meningkat namun mereka berpendapat apa yang diusahakan kerajaan itu sedikit sebanyak dapat merancakkan hasil jualan mereka.

Malah, peniaga, Zabedah Shaikh Othman, 43 yang ditemui juga berkata dia juga berpuas hati apabila hasil jualannya mendapat sambutan ramai.
Zabedah Shaikh Othman
"Sebagai peniaga saya berpandangan Menu Rahmah ini memang menggalakkan dan dapat sambutan sebab yang mana kurang berkemampuan pun sama-sama dapat membeli.

"Kita sebagai peniaga pun seronok sebab ia menjadi tarikan kepada pelanggan.

"Macam saya, menu yang saya tawarkan adalah mee rebus dan mee sup ayam, setakat sekarang memang dapat sambutan.

"Walaupun semua sedia maklum semua harga barang melambung tinggi, telur susah nak dapat namun ia sedikit sebanyak dapat membantu kami para peniaga," katanya.

Menyentuh soal keuntungan pula Zabedah yakin sedikit sebanyak ia pasti menguntungkan dan selebihnya ia menganggap sebagai sedekah amal jariahnya.

"Harga asal menu yang saya sediakan adalah RM8.90 tapi sekarang saya jual RM5, portion tetap sama, rasa semua sama...(soal untung rugi) saya anggap ia sebagai sedekah juga.

"Yang pasti jualan juga meningkat. Walaupun sebelum ini saya jual RM8.90 tapi bila saya jual dengan harga baru ini lebih ramai lagi pelanggan yang datang membeli," katanya.

Zabedah juga berharap inisiatif ini dapat diteruskan.

"Saya harap Menu Rahmah ini berkekalan bagi membolehkan semua orang dapat dan mampu membelinya.

"Saya rasa saya sebagai peniaga kita juga turut sama membantu golongan yang kurang berkemampuan dan saya juga anggap ia sebagai promosi bagi jualan makanan saya dan dengan harga RM5 ini juga saya masih mampu buat keuntungan," tambahnya.
Rosmiah Ramin
Bagi Rosmiah Ramin, 55 dan Yahya, 18 Menu Rahmah yang ditawarkan mereka masih mampu mendapatkan keuntungan daripada hasil jualannya.

"Menu Rahmah ini ok, sebab selalu harga makanan biasa RM10 dan dengan menu ini kita tawarkan RM5. Cumanya kita tawarkan dalam saiz yang kecil dari saiz biasa.

"Itu yang buat orang ramai nak beli, harganya tidak terlalu mahal dan tak berat sangat kepada pelanggan untuk berbelanja

"Ramai juga yang beli menu Rahmah ini, sebab boleh kata semua mampu untuk beli dan makan menu yang kami jual. Pelanggan juga ada lebih banyak pilihan," katanya.
Yahya
"Menu Rahmah ini masih boleh dapat untung dan pelanggan juga ada lebih pilihan untuk beli portion yang lebih kecil dengan harga yang lebih murah dan ramai pelanggan yang datang mendapatkan Menu Rahmah," tambah Yahya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salahuddin Ayub sebelum ini berkata, inisiatif yang dilancarkan oleh kementeriannya itu membabitkan 15,000 premis menjual makanan.

Katanya, inisiatif itu bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup.

Pelanggan yang memasuki kedai makan atau restoran yang menyertai program berkenaan boleh memesan Menu Rahmah ketika buat pesanan, dengan setiap menu berharga maksimum RM5.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-