Oleh KOSMO
27 Mac 2023
27 Mac 2023
Penduduk menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Agung Islamic Center,
Lhokseumawe, Aceh. - ANTARA/Rahmad
BANDA ACEH – Pihak berkuasa wilayah Aceh, Indonesia mengeluarkan beberapa peraturan sempena memasuki bulan Ramadan tahun 1444 Hijrah, yang menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia kelmarin.
Antara peraturan yang diteruskan dari tahun-tahun sebelum ini termasuk larangan ke atas restoran dan gerai daripada menjual pada waktu siang serta larangan operasi permainan snuker, karaoke dan kafe internet.
Selain itu, penduduk Aceh juga dilarang bermain permainan video online pada bulan Ramadan dan mereka digalakkan untuk memeriahkan aktiviti belia Islam seperti di sekolah-sekolah pondok.
Peraturan yang paling mendapat perhatian adalah pergaulan antara lelaki dan perempuan di mana pemerintah Aceh Barat melarang individu bukan mahram daripada membonceng motosikal bersama semasa bulan Ramadan.
Forum Komunikasi Kepimpinan Wilayah (Forkopimda) tempatan mendakwa peraturan itu dikeluarkan bagi mengelak orang ramai daripada melakukan maksiat yang boleh membatalkan puasa.
Sementara itu, menerusi pekeliling yang dikeluarkan oleh pemerintah wilayah Aceh Utara, individu bukan mahram juga dilarang duduk semeja ketika berbuka puasa.
Pemangku Ketua Pejabat Syariah Islamiah Aceh Utara, Hadaini berkata, larangan itu dipersetujui oleh Forkopimda tempatan justeru, pemilik kedai makan dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pengunjung mengenai perkara tersebut.
“Pemilik kedai kopi, restoran dan kafe dilarang menempatkan pengunjung bukan mahram untuk berbuka puasa bersama di satu meja dan perlu menghentikan operasi 15 minit sebelum solat Isyak,” kata Hadaini.
– Agensi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.