Tuesday, March 28, 2023

Pengunjung ramai tetapi peniaga bazar Ramadan mengeluh kerugian

satuberita.my
By SatuBerita
-March 28, 2023
Beberapa pelanggan membeli pulut mangga sebagai juadah berbuka puasa semasa berkunjung di Bazar Ramadan Bandar Baru Ampang, 27 Mac .Gambar Malaysianow.

AZMI dan ibu mertuanya, Makcik Maimon teruja untuk berniaga di bazar Ramadan sempena sebulan berpuasa sejak Januari tahun ini.

Mereka berdua duduk berbincang tentang menu-menu yang ingin dijual, membuat kiraan tentang modal jualan dan mencari pembantu di gerai yang akan dibuka.

Selain itu, isteri Azmi akan memfokuskan kepada urusan rumah tangga sepanjang proses persediaan sebelum dan semasa jual beli.

Tahun ini, Azmi berjaya mendapatkan tapak niaga di bazar Presint 14, Putrajaya bagi kali keempat dengan kali terakhir meniaga pada tahun 2021.

Dia dan ibu mertuanya sudah menjual nasi tomato, nasi beriani Johor dan soto sejak lebih 20 tahun lalu di pasar-pasar malam.

Menurutnya, bazar Ramadan memang menjadi acara paling ditunggu-tunggu oleh mereka pada setiap tahun kerana jual beli makanan dalam tempoh satu bulan penuh.

“Tapi tahun ni, masuk hari kedua puasa saya dah tawarkan kepada sesiapa yang mahu sewa bersama tapak bazar saya.

“Saya rugi banyak dan tak mampu nak tampung rugi lagi. Lebih baik kongsi rezeki dengan sesiapa yang nak berjual tapi tak ada kekosongan tapak (jualan),” katanya kepada MalaysiaNow sewaktu tinjauan ke bazar tersebut pada Isnin.

Menurut Azmi, dia dan ibu mertuanya menanggung kerugian kira-kira RM300 sehari kerana makanan yang tidak habis dijual.

Lebih menyedihkan, makanan yang dihasilkan tidak boleh dijual semula pada keesokan harinya.

Mereka akhirnya menyumbang makanan-makanan yang tidak habis dijual kepada golongan yang memerlukan ataupun diserahkan kepada kumpulan sukarelawan di bazar yang akan menghantar makanan itu ke lokasi tertentu.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa tapak bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang mendapati kunjungan pembeli tidak putus seawal pukul 4 petang.

Di Presint 14, keadaan pengunjung menjadi amat sesak selepas tamat waktu pejabat-pejabat kementerian sekitar 4.30 petang.

Sebuah tapak bazar di Seri Kembangan dan Subang Jaya, Selangor juga meriah sehingga sukar untuk mendapatkan ruang parkir kenderaan.

Bagaimanapun, para peniaga yang ditemui MalaysiaNow berkata, bilangan pengunjung yang berpusu-pusu ke tapak bazar tidak membantu dalam hasil jualan mereka.

Bercakap kepada MalaysiaNow, peniaga air buah, Rahimi berkata mereka yang datang sudah mempunyai senarai makanan yang ingin dibeli terutamanya kuih-muih atau lauk pauk yang sudah siap dimasak.

Atas sebab itu, katanya, tidak menghairankan apabila kedai yang menjual aneka kuih boleh menghabiskan jualan seawal jam 5 petang.

“Lepas tu, kedai makanan macam martabak, roti john dan makanan bergoreng dapat sambutan.

“Sebab murah dan boleh makan ramai.”

Pemerhatiannya sejak beberapa tahun lalu selepas pandemik mendapati tidak ramai pengunjung yang datang ke bazar untuk memperuntukkan wang yang banyak.

“Paling maksimum dalam RM10 hingga RM20 bagi mereka yang berkeluarga.

“Bajet sebanyak tu memang boleh dapat roti john atau martabak dan kuih-muih.”

Berbeza dengan pelanggan bujang, mereka kebiasaannya datang membeli menu yang sama seperti set nasi, air dan kuih.

“Jarang la nampak orang bujang belanja sakan di bazar. Kalau banyak pun mungkin dibungkus untuk makan sahur sekali,” katanya.

Mana ‘Menu Rahmah’?

Berbalik kepada Azmi dan ibu mertuanya, disebabkan amaran pihak kerajaan dan berkuasa supaya peniaga tidak meletakkan harga yang tinggi pada jualan menyebabkan keadaannya tersepit.

Oleh itu, bermula pada Isnin mereka hanya menjual nasi tomato yang disifatkan sebagai rendah modal dan mudah dimasak.

Menu jualan tradisi mereka sejak dua dekad lalu iaitu nasi beriani dan soto.

Katanya, modal untuk menyediakan kedua-dua menu itu amat tinggi dan apabila tidak habis dijual ianya akan mengganggu aliran kewangan perniagaan mereka yang perlu bertahan untuk tempoh tiga minggu lagi.

“Pelanggan datang beli lauk kambing sahaja dah cecah RM20. Kalau nak tambah ayam dalam RM8 hingga RM10 ikut saiz.

“Mahal. Mereka rasa lebih baik masak sendiri. Saya tak salahkan mereka, mereka betul.

“Tapi modal saya tinggi, takkan saya nak jual harga murah? Lebih baik saya buat kenduri ajak orang makan,” katanya.

Peniaga makanan bergoreng di sebelah tapak Azmi setuju dengan kenyataan itu.

Memperkenalkan diri sebagai Nur Syamila, dia berkata pelanggan yang rajin memasak di rumah tidak akan mencari “menu Rahmah” di bazar Ramadan kerana maklum tentang harga barangan yang serba serbi mahal.

“Mereka tak tanya, mana Menu Rahmah kepada peniaga sebab mereka tahu sukar nak dapatkan set nasi dengan harga yang rendah.

“Cubalah juga tanya, mana tahu ada gerai jual makanan ringan yang buat menu serendah RM5 tapi bukan makanan berat seperti nasi.”

Menurut Syamila lagi, disebabkan modal yang tinggi dan harga tapak sewaan meningkat tidak pelik mengapa ramai peniaga mula menjauhkan diri daripada bazar Ramadan.

“Sama ada mereka buka sendiri tapak di kawasan tertentu atau ambil pesanan secara dalam talian.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-