31/03/2023
Dalam keadaan UMNO yang telah lemah sekarang, maka PRN adalah masa di mana Pakatan Harapan, khususnya DAP, memutuskan terus nyawa salah satu parti Melayu.
Mustahil DAP mahu membantu UMNO yang kini sesak nafas, sedang parti ‘keramat’ Melayu itulah yang sejak Malaysia merdeka menjadi musuh utama mereka dalam dunia politik, kata Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.
Malah, Roslan berpendapat dalam keadaan UMNO yang telah lemah sekarang, maka inilah masa Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, memutuskan terus nyawa parti Melayu itu.
Beliau memberi contoh kelemahan UMNO sekarang ini dapat dilihat hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu di negeri majoriti Melayu – Kelantan, Terengganu dan Kedah – di mana undi yang diperoleh calon Perikatan Nasional (PN), termasuk PAS, mengatasi undi calon Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Katanya rata-rata undi yang diperoleh PAS dan PN mengatasi undi BN dan PH jika kedua-duanya dicampur di semua Parlimen kecuali di dua kerusi iaitu Kulim Bandar Baru di mana PN memperoleh 34,469 undi; PKR (21,408); dan BN (13,872), serta Gua Musang (PN 21,862; BN 21,663; dan PH 4,517).
“Demikian juga di Selangor, BN dan UMNO seakan dilayan bagai penumpang kelas dua oleh PH. Kerana PH menganggap mereka cukup kuat tanpa BN yang mereka tahu telah teruk ditolak rakyat Selangor dalam PRU-15 baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan sambil mengingatkan UMNO bahawa PN menang enam kerusi Parlimen di Selangor.
Roslan berkata UMNO pula kalah kerusi disandang mereka di Sabak Bernam dan Tanjong Karang, manakala PKR tewas di Hulu Selangor, Kapar serta Kuala Langat, sementara PN menerusi Bersatu pula berjaya pertahankan kerusi Sungai Besar.
Sehubungan itu, beliau bertanya mampukah UMNO bertahan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor milik mereka sedangkan empat daripadanya iaitu Sungai Air Tawar; Sungai Panjang; Hulu Bernam; dan Sungai Burong terletak di empat kerusi Parlimen yang dikuasai PN baru-baru ini.
Selain itu, Roslan juga berkata dalam Konvensyen DAP Selangor baru-baru ini, parti itu menegaskan yang mereka mahu tanding lebih daripada 16 kerusi di Selangor.
“DAP menang 16 kerusi DUN dalam PRU-14 lalu dan kini mereka mahu meluaskan kuasa dengan bertanding di kerusi baharu. Jika ini berlaku, bagaimana nasib BN di Selangor?
“Semua kerusi DUN majoriti bukan Melayu di Selangor dikuasai sama ada PKR ataupun DAP. Mustahil mereka mahu korbankan kerusi mereka buat MCA dan MIC? Ini bermakna MCA dan MIC pasti tiada masa depan di Selangor, cukup menjadi tukang sorak.
“Dan UMNO juga dijangka akan dianaktirikan di Selangor lantaran rekod mereka yang ditolak rakyat. Zahid mungkin berpura-pura tidak bimbang namun PH khasnya DAP sedar akan kekuatan gelombang rakyat dalam PRU-15 baru-baru ini,” katanya.
Sebab itu, katanya ramai yang senyum sinis apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan PN hanya bermimpi di siang hari untuk menawan Pulau Pinang pada PRN akan datang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.