Friday, May 12, 2023

DAP menentang Islam secara terbuka, punca PAS tolak kerjasama

agendaily.com
12/05/2023
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

DAP secara terbuka mencabar Islam, merendahkan dan mempertikai hak istimewa Bumiputera dengan meminggirkan bahasa kebangsaan.

Demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menjelaskan punca partinya meninggalkan kerjasama dengan DAP sebelum ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata DAP juga menjaja Islamofobia dan menjadikan gelombang hijau sebagai ancaman kepada masyarakat bukan Islam.

“Banyak yang mempertikaikan kerjasama PAS dengan pihak lain, mengapa ia boleh berubah? Malah, PAS dianggap mengkhianati kerjasama kerana sepatutnya tetap tidak boleh diubah khususnya kerjasama bersama DAP yang telah dibatalkan.

“DAP secara terbuka menentang negara Islam dan mendesak supaya menetapkan sekularisme dalam Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini sekali gus menyalahtafsirkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan kerana ia ditafsirkan mengikut bahasa penjajah.

“Kemudian, mereka berlagak kononnya mereka ditindas oleh sifat perkauman Melayu. Laksana mendapat betis mahukan paha, setelah mereka diberikan hak kebebasan beragama, berbahasa dan berbudaya yang tidak diberikan oleh negara lain selain daripada Malaysia.

“Mereka menjaja Islamofobia dan menjadikan kemajuan PAS dalam PRU-15 dengan jenama Gelombang Hijau yang menjadi ancaman kepada masyarakat bukan Islam. Tanpa mereka mempedulikan kejayaan PAS memerintah beberapa negeri dalam keadaan majoriti besar Melayu Islam hidup aman dan harmoni dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Menurutnya, al-Quran tidak mengizinkan kerjasama hingga berwala’ (kesetiaan) yang meninggalkan prinsip dan konsep asas perjuangan Islam.

Malah katanya pemimpin DAP terus menerus menentang pelaksanaan Islam di negara ini meskipun ia hanya untuk penganut Islam.

“Banyak kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin utamanya yang menentang pelaksanaan Islam, walaupun pelaksanaan Islam itu hanyalah bagi penganut Islam sahaja sebagaimana mengikut Perlembagaan Persekutuan, tanpa memaksa golongan bukan Islam.

“DAP terlebih dahulu bersikap proaktif apabila bertindak keluar daripada Barisan Aternatif kerana sifat anti-Islamnya yang ditunjukkan kepada PAS dan DAP juga terlebih dahulu bertindak mengeluarkan PAS daripada PR dengan alasan yang sama.

“DAP juga merancang untuk mendapatkan kuasa politik negara setelah kaumnya menguasai ekonomi supaya mereka dapat memerintah negara melalui pilihan raya dengan meletakkan calon-calon di kawasan Melayu dengan calon-calon Melayu yang berfahaman liberal, sekular, oportunis dan jahil agama. Bahkan, ada kalangan Melayu yang diumpan menjadi ketua kerajaan bonekanya,” katanya.

Menyentuh soal PKR dan Amanah, Abdul Hadi berkata dua parti itu lebih mengutamakan hubungan dengan DAP kerana menganggap strategi boleh membatalkan prinsip aqidah perjuangan, berpandukan kaedah matlamat menghalalkan cara sehingga bersedia menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata serta menjadi jurucakap DAP terhadap orang Melayu Islam secara percuma.

Tambahnya, “PAS menolak PKR dan parti-parti liberal yang bekerjasama dengan DAP termasuk UMNO yang meninggalkan asas perjuangannya untuk membela agama, bangsa dan tanah air semata-mata kerana ingin mengejar jawatan, harta serta kepentingan diri.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-