Friday, May 12, 2023

'Mana mungkin UMNO dilihat bersih, positif jika kekotoran belum dibersihkan' - Penganalisis

bharian.com.my
Oleh Ahmad Suhael Adnan 
ahmad.suhael@bh.com.my
Mei 12, 2023 @ 4:37pm
UMNO tidak boleh menuding jari menyalahkan musuh politik berikutan persepsi negatif yang terbentuk dalam kalangan rakyat terhadap parti.

KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh menuding jari menyalahkan musuh politik berikutan persepsi negatif yang terbentuk dalam kalangan rakyat yang masih menyelubungi parti itu.

Sebaliknya, UMNO perlu muhasabah diri dan menilai sama ada pendirian dibuat parti itu sejak kebelakangan ini selaras identiti serta perjuangan sebenar parti berkenaan.

Penganalisis politik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam, berpandangan UMNO perlu menerima hakikat bahawa persepsi negatif kebanyakan rakyat terhadap parti itu timbul kerana tindak-tanduk segelintir pemimpin parti itu sendiri.

Malah, beliau melihat tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggambarkan parti itu sebagai mangsa politik kebencian, seolah-olah menunjukkan UMNO belum sedar dan mendapat pengajaran selepas hampir terkorban dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Apabila Ahmad Zahid menyalahkan parti lawan, ia menunjukkan UMNO belum sedar bahawa persepsi negatif ini timbul kerana memang ada kekotoran pada parti itu.

"Mana mungkin UMNO boleh mengharapkan orang ramai melihat parti itu bersih dan positif jika kekotoran itu belum dibersihkan.

"Untuk memulihkan UMNO, parti itu perlu mengakui realiti serta berani membuat keputusan besar dan tidak melindungi mana-mana pemimpin dalam UMNO atas dasar kepentingan individu...jika ini berlaku, persepsi negatif tidak akan wujud," katanya kepada BH.

Semalam, Ahmad Zahid melalui kenyataan sempena Ulang Tahun UMNO ke-77 mendakwa parti itu menjadi mangsa politik kebencian dan prejudis melampau disebar musuh politiknya, sehingga membentuk persepsi negatif, sekali gus mengenepikan politik nilai dan khidmat yang sepatutnya menjadi pegangan semua pihak.

Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa, permainan persepsi diasak sepanjang masa oleh musuh UMNO kini sudah membentuk satu realiti yang berbahaya dalam pemikiran dan kehidupan rakyat.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz melihat kenyataan itu secara tidak langsung menjadi pengakuan Ahmad Zahid bahawa UMNO di bawah pimpinannya berada dalam keadaan bermasalah dan imej parti itu tercemar.

Zahid sedang gagal kemudian UMNO

"Ahmad Zahid secara tidak langsung bersetuju bahawa persepsi awam terhadap UMNO adalah negatif, namun cuba mengalihkan kesalahan pada parti lawan.

"Jika beliau (Ahmad Zahid) maklum dengan masalah ini, sepatutnya beliau perlu sedar bahawa beliau sedang gagal dalam mengemudi UMNO dan perlu memberi laluan kepada pemimpin lain mengambil kedudukannya," katanya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Penganalisis politik di Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, pula menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai cubaan meraih simpati daripada akar umbi dan penyokong UMNO menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran UM itu berpandangan, strategi itu digerakkan kerana Ahmad Zahid sedar ramai akar umbi yang masih dalam dilema selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

"Ramai ahli dan penyokong UMNO masih tertanya-tanya sama ada kerjasama UMNO dengan PH selari dengan perjuangan asalnya, jadi Ahmad Zahid cuba meraih simpati supaya kemarahan akar umbi dialihkan kepada parti lawan.

"Strategi ini penting untuk meningkatkan sokongan kepada Ahmad Zahid dan UMNO menjelang PRN, kerana masih ramai akar umbi yang setia pada bekas pemimpin UMNO yang dipecat seperti Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar.

"Kedua-dua pemimpin ini misalnya, masih memiliki pengaruh besar dan berisiko mempengaruhi penyokong serta ahli UMNO untuk membuat undi protes dalam PRN nanti," katanya.

Mohammad Tawfik menjangkakan, Ahmad Zahid mampu mengatasi situasi berkenaan kerana percaya Presiden UMNO itu mendapat nasihat daripada Perdana Menteri yang juga mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemudi UMNO.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-