B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jun 16, 2023
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar disebut sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara bagi menggantikan Rais Yatim yang tamat perkhidmatan secara rasmi semalam.
Beberapa sumber kerajaan mengesahkan kepada Malaysiakini, nama Wang Junaidi yang turut pernah dilantik menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat diangkat sebagai calon kerajaan..
"Kerajaan pilih nama Tan Sri (Wan Junaidi). Akan ada pengumuman pada Isnin ini," katanya kepaad Malaysiakini.
Sumber itu juga memaklumkan nama Wan Junaidi dipersetujui untuk dicalonkan kerana dia memiliki kepakaran dalam bidang undang-undang, selain pengalamannya selama ini.
Bekas ahli parlimen Santubong yang kini berusia 78 tahun tidak bertanding pada PRU ke-15 lalu selepas menjadi ahli parlimen selama tujuh penggal iaitu sejak 1990.
Sehingga laporan ini ditulis, Malaysiakini difahamkan, tiada sebarang nama lain dihantar untuk dicalonkan bagi mengisi jawatan Yang Dipertua Dewan Negara.
Sementara itu, beberapa sumber dari BN memberitahu kerajaan akan mencalonkan pemimpin Umno, Nur Jazlan Mohamed, untuk awatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.
DAP tak kemuka cadangan
Tempat itu kini kosong selepas penyandangnya Mohamad Ali Mohamad juga tamat tempoh sebagai senator.
Nur Jazlan merupakan ahli parlimen Pulai sejak 2004. Namun dia kalah di kerusi tersebut dalam dua PRU terakhir masing-masing pada 2018 dan 2022.
Kemunculan nama anak bekas setiausaha agung Umno itu dilihat agak mengejutkan.
Hal itu kerana, sebelum ini terdapat ura-ura bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedia memberikan jawatan itu kepada wakil MCA atau MIC yang merupakan komponen BN.
Untuk rekod ketika ini tiada seorang pun wakil dari parti itu diberikan jawatan dalam kabinet.
"Memang ada perbincangan di antara pucuk pimpinan parti dengan perdana menteri dan wakil MCA serta MIC dimaklumkan, Anwar bersedia mempertimbangkan tempat tersebut kepada parti komponen BN.
"Tapi dengan perkembangan terbaru ini nampaknya Umno menjadi semakin tamak dan tak bersedia berkongsi jawatan bersama-sama parti komponen BN yang lain," kata satu sumber dari MIC.
Razali Idris
Untuk rekod, ketika ini MCA mempunyai tiga ahli Dewan Negara iaitu Koh Nai Kwong, Lim Pay Hen dan Ti Lian Ker, manakala MIC ada diwakili empat orang iaitu Nelson Renganathan, Sivarraajh Chandran, Vell Paari Samyvellu dan Mohamed Haniffa Abdullah.Dalam perkembangan sama nama senator DAP Kesavadas A Achyuthan Nair turut berada dalam senarai calon timbalan speaker.
Walaupun begitu sumber DAP memberitahu parti terbabit tidak mengesyorkan nama senator terbabit.
"Nampaknya ada ahli Dewan Negara lain menjadi pencadang kepada Kesavadas," katanya.
Tambah sumber DAP itu, Kesavadas - yang berasal dari Negeri Sembilan - masih perlu memenuhi satu lagi syarat sebelum layak dipertimbangkan oleh senator lain iaitu disokong oleh senator lain.
Jika, terdapat lebih daripada satu nama dikemukakan, proses pengundian akan diadakan secara bertulis untuk memilih pemenangnya.
Sementara itu PN pula mengemukakan nama ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Razali Idris sebagai calon timbalan speaker.
"PN tidak mencalonkan sesiapa bagi jawatan speaker cuma untuk kekosongan jawatan timbalan, kami hantar nama Razali," kata satu sumber dari Bersatu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.