Thursday, September 7, 2023

Zahid lepas: Seolah-olah ada plot terancang yang perlu dikenalpasti

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 7, 2023 1:56 PM
Pemuda PKR (AMK) mempersoalkan tentang kemungkinan ada "komplot terancang" di sebalik keputusan Jabatan Peguam Negara yang menarik balik 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Ketua AMK, Tyra Hanim Razali berkata sepanjang tempoh sebelum keputusan melepas tanpa membebaskan presiden Umno itu dibuat juga berlaku perubahaan melibatkan beberapa pegawai penting dalam kes berkenaan.

“AMK juga mempersoalkan tindak - tanduk peguam negara lantikan Muhyiddin Yasin sejak 2020 di bawah pemerintahannya, iaitu Idrus Harun yang juga dilaporkan bercuti sementara menunggu persaraannya.

“Manakala tugasannya diambil oleh Peguam Cara Negara, Ahmad Terriruddin Mohd Salleh (kini peguam negara baru) di mana keputusan drastik untuk memohon pelepasan tanpa pembebasan kes oleh (timbalan pendakwa raya) Mohd Dusuki Mokhtar dibuat dalam tempoh tersebut.

“Sebelumnya, Raja Rozela Raja Toran, yang merupakan pendakwa raya yang telah berjaya membuktikan kes prima facie kes ini juga dilaporkan telah memohon persaraan awal sebelum bercuti pada hujung Ogos lalu sebelum memulakan persaraannya pada November akan datang,” katanya.
Raja Rozela Raja Toran
Justeru, Tyra Hanim berkata, “pihak yang tidak bertanggungjawab” di sebalik plot itu “perlu dikenalpasti.”

DNAA yang diberikan kepada Zahid - membuka kemungkinan bahawa presiden Umno didakwa semula pada masa hadapan jika pendakwa ingin mengkaji semula perkara tersebut - telah mencetuskan rasa tidak puas hati besar-besaran terhadap kerajaan, dengan beberapa pemimpin tertinggi pada mulanya bertindak balas dengan menjawap bahawa ini adalah "keputusan mahkamah".

DAP dan Amanah pula mendesak Idrus - yang hari terakhir perkhidmatannnya pada Selasa (5 September) - untuk menjelaskan keputusan di sebalik DNAA itu.
Ahmad Terriruddin Mohd Salleh
AGC kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang hanya mengatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah jelas, logik dan menyakinkan (cogent)."

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa lalu pula tampil dengan berkata, ia proses yang wajar di mahkamah - sama seperti bagaimana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin daripada pertuduhan salah guna kuasa pada 15 Ogos lalu.

Saifuddin mengulangi pendiriannya bahawa Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada peguam negara untuk mendakwa atau menarik balik sebarang pertuduhan.
Ahmad Zahid Hamidi
Pada hari yang sama, Anwar menegaskan dia tidak campur tangan berhubung keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan Zahid. Katanya, ia adalah keputusan AGC, dan perkara itu diputuskan oleh Idrus.

Sementara itu, Tyra Hanim turut mempersoalkan kredibiliti AGC yang didakwanya mempunyai motif politik untuk kes itu.

“Penjelasan mereka yang bertarikh 5 September lalu tentang keputusan memohon juga tidak tuntas dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya di kalangan masyarakat umum,” katanya.

Sambil mengambil maklum kenyataan perdana menteri, dan percaya bahawa Anwar tidak campur tangan terhadap kuasa pendakwaan peguam negara, Tyra Hanim menggesa kerajaan mengadakan sesi perlimen tergempar untuk membahaskan isu DNAA yang diberikan kepada Zahid.
“Satu tempoh masa (juga) harus diberikan untuk siasatan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara untuk pencarian bukti yang baharu dan pendakwaan semula perlulah dilakukan dalam kadar serta merta jika sekalian pimpinan kerajaan perpaduan tidak mahu kehilangan kredibiliti yang kelak akan menyukarkan lagi pentadbiran Malaysia Madani.

“Kita tidak dapat nafikan bahawa kejadian ini sekaligus melemahkan imej kerajaan perpaduan sebagai penongkah arus perubahan dan reformasi, serta mengurangkan keyaki nan rakyat terhadap Malaysia Madani utama di tengah ribut pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-