B Nantha Kumar
Diterbitkan: Mar 1, 2024 4:59 PM
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution menafikan desas-desus bahawa kementerian itu menentang penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC).
Katanya, Majlis Media berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan KDN tidak mempunyai halangan terhadap penubuhannya.
"Sejak semalam seharian saya ditanya betulkah KDN menentang penubuhan (Majlis Media) ini? Saya pun terkejut. Perkara ini dibincang dalam mesyuarat kabinet yang lepas.
"Saya pun lihat dan semak dengan KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) kat mana kita tak setuju.
"Tak ada pun pendirian kita tak setuju. Ia tak betul," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
Menurut Saifuddin sebelum perkara itu dibincangkan, kertas cadangan dibentangkan kepada beberapa kementerian yang terlibat.
"Ulasan KDN pada prinsipnya, kami tak ada apa-apa halangan.
"(Namun), apabila Majlis Media ditubuhkan kami hanya tengok perkara-perkara bertindih dari sudut peranan penguatkuasaan. Sebab kami pun ada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan.
"Majlis Media juga ada bahagian penguatkuasaan sendiri di mana kita nak harmonikan. Itu sahaja," katanya.
Pada 20 Feb lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan kini dalam fasa terakhir untuk membawa Draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media ke kabinet.
Katanya, penubuhan majlis media itu mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan proses dengan Jabatan Peguam Negara, dan perlu dipertimbang serta diputuskan oleh Jemaah Menteri.
Tak kawal portal dalam talian
Sementara itu, Saifuddin turut menafikan khabar angin bahawa KDN akan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) (PPPA) untuk mengawal portal-portal berita dalam talian.
"Saya juga ditanya apakah KDN akan meminda PPPA, katanya KDN nak buat pindaan bagi mengawal media atas talian.
"Ini juga tak betul. Kita pun tak ada cadangan buat pindaan mengawal portal atas talian.
"Cuma kami baru terfikir nak buat pindaan ke atas kompaun ke atas beberapa pelanggaran, itu sahaja.
“Tapi pindaan berkaitan nak mengawal portal atas talian tak ada dalam radar kami," katanya.
Saifuddin berkata kementerian itu juga tidak bercadang untuk memansuhkan PPPA.
Dia berkata demikian ketika ditanya apakah penubuhan majlis media akan menjadi badan kawal selia organisasi media di Malaysia.
"Apakah sekarang KDN ke arah mansuh PPPA? Tidak ada dalam radar kami buat masa ini," katanya ringkas.
Undang-undang yang menghendaki penerbitan media cetak memiliki permit yang dikeluarkan kerajaan telah dijadikan sebagai penghalang kepada kebebasan media di Malaysia kerana ia memaksa penerbit untuk mengikut garis panduan ditetapkan untuk memastikan permit mereka tidak dibatalkan.
Ketika ini, undang-undang itu, yang telah digunakan untuk menutup syarikat akhbar pada masa lalu, tidak mengawal media dalam talian, sekali gus membolehkan penerbitan dalam talian seperti Malaysiakini lebih bebas untuk membuat laporan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kini merupakan pengawal selia kandungan media dalam talian.
SKMM diberi kuasa oleh Akta Komunikasi dan Multimedia untuk mengawal semua kandungan dalam talian yang diterbitkan di Malaysia, termasuk kewartawanan dalam talian.
Media dalam talian dikecualikan sebagai sebahagian daripada ikrar kerajaan untuk tidak menapis internet di bawah Rang Undang-Undang Jaminan MSC Malaysia 1998.
Bbagaimanapun, terdapat pelbagai undang-undang lain yang mengawal media dalam talian, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan menghina mahkamah.
Bekas ketua pengarang Malaysiakini Steven Gan dan bekas ketua pegawai eksekutif Premesh Chandran pernah didakwa di bawah AKM kerana memuat naik video menyinggung bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Tuduhan itu kemudiannya digugurkan.
Ini bukan kali pertama kerajaan mempertimbangkan untuk meminda akta itu bagi memasukkan media dalam talian.
Pada 2006, di bawah kerajaan BN, timbalan menteri keselamatan dalam negeri ketika itu Fu Ah Kiow berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memperluaskan AMCP kepada media dalam talian untuk "meratakan padang permainan".
Pada 2011, di bawah perdana menteri Najib Abdul Razak, kerajaan meminda AMCP untuk menghapuskan keperluan permit penerbitan tahunan.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia berkata ia masih membenarkan kawalan ketara oleh kerajaan kerana menteri masih mempunyai budi bicara mutlak untuk membatalkan permit percetakan, memutuskan siapa yang akan diberikan permit dan siapa yang dibenarkan lesen mesin cetak.
Selain itu, undang-undang itu masih digunakan untuk mengharamkan penerbitan yang dianggap "tidak diingini", dan tahun lepas digunakan untuk mengharamkan jam tangan Swatch yang didakwa mengandungi unsur-unsur yang menyokong komuniti LGBT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.