Diterbitkan: Aug 20, 2024
Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini memberi jaminan bahawa pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak akan hilang pekerjaan apabila kerajaan memperoleh 62 tren tambahan dari China melalui kaedah pajakan.
Bercakap pada sidang media hari ini, Loke berkata kerajaan tetap akan menggunakan khidmat pekerja tempatan untuk menyenggara dan membaiki tren baru itu.
"Ini sesuatu yang memang telah pun kita bincangkan sebelum membuat keputusan. Jadi tak ada apa yang perlu dibimbangi oleh pihak RUM (Kesatuan Pekerja-Pekerja Kereta Api Tanah Melayu).
"Tak ada sesiapa yang akan hilang kerja. Jadi mereka tak perlu bimbang. (Inisiatif) ini ialah untuk mempertingkatkan dan memperkasakan perkhidmatan KTM supaya perkhidmatan ini lebih diterima oleh rakyat," katanya pada sidang media selepas menghadiri satu majlis di ibu pejabat MRT Corp di Kuala Lumpur.
Loke mengulas kenyataan RUM Ahad lalu yang membangkitkan kebimbangannya terhadap keputusan kerajaan memperoleh tren tambahan dari China melalui kaedah pajakan dalam perjanjian bernilai RM10.7 bilion.
Kesatuan itu antara lain melahirkan kebimbangan bahawa langkah itu akan memberi kesan kepada pekerja sedia ada, terutama mereka yang bekerja di bahagian penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO).
Mengulas lanjut, Loke berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti keluhan orang ramai terhadap perkhidmatan KTM yang didakwa merosot dan kurang memuaskan.
"Itu sebabnya kita terpaksa mengambil tindakan yang lebih drastik untuk menambah bilangan tren supaya perkhidmatan itu dapat ditambah baik dan dapat diperbanyakkan lagi," katanya sambil menambah kos pajakan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Minggu lalu, Loke mengumumkan kabinet bersetuju melaksanakan strategi baru perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian kereta api KTMB dengan kaedah pajakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dan China.
Loke berkata, pada masa ini tren-tren penumpang terutamanya untuk perkhidmatan ETS dan KTM Komuter menghadapi cabaran daripada segi ketersediaan dan kebolehpercayaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.