Hidir Reduan Abdu Rashid
Diterbitkan: Sep 27, 2024 1:00 PM
Boleh kita bincang kemudian? Itu jawapan Najib Razak ketika perbicaraan kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International terhadap bekas perdana menteri.
Jawapan itu terpacul apabila Najib disoal balas oleh peguam plaintif, Lim Chee Wee mengenai RM27 juta yang masuk ke dalam akaun AmBank miliknya yang berakhir dengan nombor 880.
Peguam itu merujuk kepada penyata bank yang menunjukkan kemasukan dana pada 26 Disember 2014, yang berasal dari Ihsan Perdana Sdn Bhd dengan tujuan yang dinyatakan sebagai 'program CSR'.
Lim: RM27 juta yang dikreditkan ke dalam akaun 880 anda, anda tiada bukti dokumentasi untuk menunjukkan RM27 juta ini bukan wang SRC atau KWAP (Kumpulan Wang Persaraan)?
Najib: Can we deal with that later? (Boleh kita bincang kemudian?)
Difahamkan bekas menteri kewangan itu ingin merujuk perkara berkenaan dengan pasukan peguamnya daripada firma guaman Shafee & Co terlebih dahulu.
Saman sivil SRC di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini mengenai dakwaan penyelewengan pinjaman AS$1.18 bilion yang diterima SRC daripada KWAP antara tahun 2011 dan 2012.
Kebetulan, Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 berhubung kes jenayah berasingan yang melibatkan dana RM42 juta dari SRC, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Dalam kes mahkamah jenayah tersebut, dia disabitkan atas tuduhan menerima RM42 juta sebagai ganjaran kerana memastikan dua jaminan kerajaan untuk dua pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC.
KWAP berada di bawah Kementerian Kewangan manakala Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus kepada SRC.
Perbicaraan di hadapan hakim mahkamah sivil, Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan bersambung pada 9 Oktober.
Sepanjang perbicaraan saman ini, antara lain Najib menyatakan rasa hairan mengapa ahli lembaga pengarah SRC tidak mengesahkan kepadanya mengenai transaksi tersebut dan salah satu akaun banknya untuk "tanggungjawab sosial korporat" (CSR).
Di bawah pengurusan baru, SRC memfailkan saman ini pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, mendapat manfaat peribadi daripada dana syarikat dan menyelewengkan berbilion ringgit.
SRC juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa defendan bertanggungjawab terhadap kerugiannya kerana didakwa melanggar tugas dan amanah, serta untuk Najib membayar balik RM42 juta.
Plaintif juga memohon perintah mahkamah agar Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 bilion yang dialami oleh syarikat itu dan membayar balik AS$120 juta yang didakwa mengalir ke akaun banknya.
Tindakan sivil terhadap Najib ini berkaitan dakwaan penyelewengan sebahagian daripada RM4 bilion - RM3.6 bilion atau AS$1.18 bilion mengikut kadar tukaran asing antara 2011 dan 2012 - dalam bentuk pinjaman yang diterima oleh syarikat itu dari KWAP antara 2011 dan 2012.
[Baca berita asal]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.