Friday, September 27, 2024

Menjunjung penghargaan titah ampun Sultan Selangor

harakahdaily.net
September 27, 2024
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor menzahirkan ucapan penghargaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj atas perkenan Baginda memberikan ampun terhadap permohonan maaf Menteri Besar Kedah.

Menurut Timbalan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Nazrul Nazir, perkenan ampun itu sungguh melegakan semua pihak yang mahu perkara itu tidak berlarutan lagi.

Katanya, keperibadian mulia Tuanku mengutamakan ukhwah umat Islam agar tidak saling bermusuhan wajar dijadikan ikutan seluruh rakyat jelata.
Nazrul Nadzir
“Kasih Baginda Sultan yang sangat mementingkan keharmonian hidup rakyat jelata ini sungguh memberi kesan bermakna buat semua pihak.

“Titah perkenan ampun ini juga secara tidak langsung menutup mulut pihak-pihak yang tidak berpuas hati dan cuba melaga-lagakan rakyat dan istana,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook Pemuda PAS Selangor.

Tambah beliau lagi, sesungguhnya kebijaksanaan Baginda Sultan Selangor menyelesaikan isu itu membuktikan tindakan mengapi-apikan situasi itu merupakan usaha yang tidak menguntungkan masyarakat.

Katanya, biarpun permohonan maaf telah diperkenankan, nasihat dan pedoman Baginda Tuanku perlu diambil berat oleh semua pihak.

Justeru, Nazrul turut berkata Tuanku memberi ingatan agar sentiasa menjaga tutur kata kerana ia akan memberikan kesan kepada orang sekeliling.

“Sifat pemaaf Baginda Tuanku sungguh bermakna dan menjadi iktibar kepada semua.

“Demi menjaga keharmonian dan perpaduan kaum yang sudah terpelihara sejak sekian lama, kejadian sebegini perlu dipastikan tidak berlaku lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-