Monday, October 14, 2024

Anak Ashaari nafi GISBH amal kepercayaan Al-Arqam, Aurad Muhammadiah

bharian.com.my
Oleh Norzamira Che Noh 
bhnews@bh.com.my
- Oktober 14, 2024 
Khaulah Asaari pada sidang media mengenai kontroversi GISBH di Shah Alam. - NSTP/ FAIZ ANUAR

SHAH ALAM: Salah seorang pengarah anak syarikat GISB Holdings (GISBH) memaklumkan kumpulan itu tidak lagi mengamalkan ajaran serta kepercayaan Al-Arqam yang difatwakan sebagai sesat sebelum ini.

Khaulah Ashaari, 38 yang juga anak kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, berkata kumpulan itu konsisten tidak mengamalkan kepercayaan Aurad Muhammadiah selepas mengikuti kursus dan proses istitabah anjuran Jabatan Agama Islam Negeri.

"GISBH sendiri konsisten tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang dikatakan sesat atau salah.

"Rasa ada yang mengetahui kita (bekas pengikut Al-Arqam) mengikuti kursus daripada pihak berkuasa termasuk jabatan agama sendiri dan kita sendiri menjalani proses istitabah (taubat).

"Kita setelah itu berkomitmen untuk tidak lagi mengamalkan apa-apa yang telah dilakukan sebelum ini daripada zaman Al-Arqam dan selepas itu," katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, selepas proses istitabah pada 2013, mereka sentiasa dipantau pihak agama sendiri dalam memastikan tidak berlaku pengulangan amalan tersebut.

Katanya, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali juga sering mengingatkan bahawa semua ahli dan pengikut GISBH perlu mengikut fatwa yang sudah ditetapkan jabatan agama.

Ditanya jika masih terdapat kumpulan kecil yang masih mengamalkan ajaran terdahulu, Khaulah berkata, beliau tidak pasti mengenainya tetapi menegaskan secara dasar GISBH tidak mengamalkannya.

"Kita sebelum ini sudah mengikuti kursus di bawah kendalian jabatan agama Islam selama 500 jam.

"(Bagaimanapun untuk kumpulan kecil) yang itu saya tidak tahu, namun secara dasarnya kita tidak amalkan dengan sentiasa dipantau jabatan agama sendiri. Kita hendak fokus betul-betul kepada perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, wanita itu menjelaskan klip video yang mengagungkan Ashaari atau Abuya yang tular sebelum ini adalah klip video lama pada 2011.

"Itu adalah video lama sebelum kami menyertai proses kursus, istitabah dan sebagainya," katanya.

Ketika ditanya mengenai silibus pendidikan di sekolah kendalian GISBH, Khaulah memaklumkan mereka mengikut apa yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Dalam pengetahuan saya, sekolah yang ada lesen memang mengikut silibus dan pihak JAIS sentiasa datang memantau apa silibusnya," katanya.

Dalam pada itu, wanita itu berkata, dia sebelum ini direman selama 18 hari selepas ditangkap bersama 24 individu pengurusan tertinggi GISBH di kondominium di Jalan Imbi Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 19 September lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-