Oleh KOSMO!
13 Oktober 2024, 2:50 pm
Gambar hiasan.
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memerlukan masa beberapa tahun untuk direalisasikan.
Anwar turut mengakui, GST adalah sistem percukaian paling telus, efisien dan mampu menyumbang kepada pendapatan negara, namun ia hanya boleh dilaksanakan semula selepas nilai ambang pendapatan berjaya ditingkatkan.
“Kalau laksanakan GST sekarang, semua kena bayar termasuk orang kaya dan yang miskin. Berikan kita masa beberapa tahun lagi.
“Saya faham dan mengkaji sejak sedekad lalu bahawa GST adalah sistem cukai paling efisien dan memberi kelebihan kepada kerajaan untuk mengutip pendapatan.
“Namun, berikan kita masa untuk meningkatkan ekonomi terlebih dahulu dan nilai ambang pendapatan kepada RM3,000 atau RM4,000 minimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-78, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustri Cina Malaysia (ACCIM), hari ini.
Tambahnya lagi, kerajaan hanya akan melaksanakan GST sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000-RM4,000 yang mana ketika ini, gaji bulanan minimum di Malaysia adalah pada RM1,500.
Jelasnya GST juga akan membantu mengembangkan dana kerajaan dengan kutipan hasil yang lebih tinggi.
Namun begitu, beliau percaya golongan miskin tidak seharusnya dibebani dengan sistem cukai sedemikian.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan GST telah menjadi isu berterusan selama beberapa dekad, malahan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.
Beliau tidak bersetuju ketika itu kerana merasakan gejala rasuah yang membabitkan berbilion ringgit, antara lainnya, perlu ditangani terlebih dahulu.
– KOSMO! ONLINE.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.