Friday, October 25, 2024

'Cukup-cukuplah minta maaf '- Akmal kecam insiden kibar bendera China

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 25, 2024
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa kerajaan mengambil tindakan keras terhadap penganjur sambutan Guan Gong Sedunia berikutan insiden mengibarkan bendera China pada malam perarakan di Teluk Intan, semalam.

Dalam satu rakaman video, Akmal berkata pihaknya menolak permohonan maaf daripada penganjur terbabit.

"Apa kejadahnya, nak buat perarakan di tempat awam. Dahlah tak ada permit, angkat lagi bendera China. Tak ada satu langsung pun bendera Malaysia di situ.

"Cukup-cukuplah. Hari tu dah berlaku dalam sekolah. Hari ni nak bawa bendera China berarak di luar pula," katanya merujuk insiden di sebuah sekolah di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Cukup-cukuplah untuk minta maaf," katanya.

Justeru, menurut Akmal, dia telah mengarahkan Pemuda Umno Perak untuk membuat laporan polis berhubung insiden itu.

"Saya nak minta juga pihak kerajaan untuk kenakan tindakan undang-undang yang keras terhadap mereka ini supaya boleh menjaga sensitiviti antara orang Malaysia.

"Tolonglah, jangan buat, dah buat nak minta maaf. Dah muak, dah bosan. Kita kenakan tindakan, kita minta polis ambil siasatan dan kita kenakan tindakan yang seberat-beratnya kepada mereka.

"Dahlah, cukuplah, asyik kita je yang kena bersabar," katanya.
Terdahulu, Persatuan Kebudayaan Guan Gong, yang menganjurkan acara itu, memohon maaf dan menjelaskan bahawa individu yang dirakam mengibarkan bendera terbabit adalah warga China dan bukan warga Malaysia.

Presiden persatuan itu, Soon Boon Hua berkata, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

Sementara itu, polis mengesahkan perarakan itu melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris berkata perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam semalam, dan disertai kira-kira 400 penonton.

"Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azizi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

'Utamakan patriotisme'

Sementara itu, Pemuda MCA menyifatkan insiden itu sebagai tindakan memalukan dan tidak patriotik terhadap Malaysia, kata ketua penerangan sayap itu Neow Choo Seong.
Dia menggesa semua pihak khususnya NGO supaya mendahulukan semangatkan cintakan negara dan patriotisme dalam setiap penganjuran acara atau apa jua majlis yang hendak diadaakn.

"'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' wajar dijadikan pegangan kepada kita semua, bahawa semangat patriotik dan cintakan kepada Malaysia perlu sentiasa diutamakan.

"Insiden di Menara Condong di Perak, dan sebelum itu, di sebuah sekolah di Pulau Pinang, tidak sepatutnya berlaku dan berulang lagi," katanya.

Dia berkata agensi kerajaan perlu lebih peka dan sensitif dalam memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan apa jua acara.

“Seharusnya setiap pengisian program diselit dengan elemen-elemen cintakan Malaysia.

“Dalam masa sama, pihak berkuasa juga perlu memberi pemantauan yang lebih terhadap penganjuran acara-acara sedemikian, lebih-lebih lagi acara yang diadakan di tempat awam, sekolah, dan destinasi pelancongan Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-