B Nantha Kumar
Diterbitkan: Feb 14, 2025
Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mahu Padiberas Nasional Bhd (Bernas) selaku syarikat tunggal memiliki perjanjian konsesi dalam pengurusan industri padi dan beras negara segera menurunkan harga beras putih import.
Dia yang juga adalah ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (Naccol) berkata adalah menjadi tanggungjawab Bernas untuk menyelesaikan isu harga beras import selepas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan akan mengekalkan harga beras putih tempatan kepada RM26 bagi 10kg.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
"Pada saya, pengumuman dibuat oleh menteri berhubung isu kehilangan beras putih tempatan telah selesai. Tapi, ada satu lagi perkara iaitu harga beras putih import. Sebab harga beras putih import masih tidak disentuh."Harga beras import bergantung kepada pasaran dunia. Sekarang harga beras import dah turun. Jadi, kita tunggu pengumuman Bernas berhubung harga baru beras import," katanya pada sidang media di Puchong, hari ini.
Syed Hussin merupakan antara ahli parlimen yang paling lantang menyuarakan isu harga padi dan beras.
Mengulas lanjut, Syed Hussin menjelaskan bahawa harga beras import telah turun.
"Beras import ini bergantung banyak negara terutama India, Pakistan, Vietnam dan Kemboja. Sebelum ini, beras import harga naik disebabkan India membekukan import beras putih. Sekarang, India tarik balik pembekuan.
"Baru-baru ini lawatan saya bersama perdana menteri (Anwar Ibrahim), kami nampak harga import dah turun sangat rendah. Dalam laporan beras import dari Vietnam lagi turun, sampai AS$3,990 (RM17,700) per tan.

Semalam, Mohamad Sabu dalam sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan Madani bersetuju untuk menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuatkuasa 16 Februari 2025.
Katanya, penyelarasan ini dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
"Hari ini, bukan sahaja pesawah mendapat berita gembira tetapi pengguna juga turut lega apabila harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram.
"Bagi mengekalkan harga jualan BPT, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini" katanya.

Susulan pengumuman menteri, Anwar Ibrahim berkata tokoh korporat Syed Mokhtar Al-Bukhary yang memiliki ekuiti utama dalam Bernas bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.