Thursday, February 6, 2025

‘Rakyat mahu beras tempatan, nasib petani perlu dibela’

harakahdaily.net
February 6, 2025
Datuk Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: Pesawah adalah golongan yang sangat sabar dalam kehidupan mereka, dan jika ingin menghayati kehidupan sebagai ahli tasawuf, belajarlah daripada pesawah, kata Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).

Beliau berkata, walaupun pesawah mengalami kerugian setiap tahun, mereka tetap mengusahakan sawah yang diwarisi.

“Pepatah menyebut, harimau mati meninggalkan belang, pesawah mati meninggalkan hutang,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Tegasnya, isu beras sering dibangkitkan setiap kali sidang Dewan Rakyat, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian tuntas.

“Kita tidak mahu menuding jari kepada siapa, sama ada kerajaan dahulu atau kerajaan hari ini, itu bukan isunya. Isunya ialah rakyat mahukan beras tempatan, nasib petani perlu kita bela,” katanya lagi.

Menurutnya, masalah ini telah berlarutan lama, terutama akibat kewujudan kartel dalam industri beras yang diketahui oleh menteri sendiri.

“Kerana dia dulu pun selalu bercakap bab berkenaan dengan padi kunca. Padi kunca ini ialah macam along zaman dulu.

“Pesawah dia tidak ada modal, maka dia minta kepada pemodal untuk membeli baja, peralatan pertanian dan akan dibayar apabila dapat hasil. Namun, hasil itu pula mesti dijual kepada pemodal dan dikenakan faedah yang tinggi,” ujar Idris.

Beliau menegaskan bahawa sebelum membincangkan isu pesawah secara lebih mendalam, masalah kartel mesti diselesaikan.

“Untuk rekod dalam dewan yang mulia ini, sudah dua kali kerajaan berjanji mendedahkan laporan berkenaan kartel.

“Pertama, pada November 2024, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan bahawa MYCC telah menyiapkan laporan berkenaan kartel beras.

“Kedua, Menteri Pertanian sendiri menyatakan pada 14 Disember 2024 bahawa perkara tersebut akan didedahkan oleh PMX pada awal tahun ini.

“Terdahulu, pada tahun 2023, Menteri Pertanian yang sama memberikan jaminan akan menyelesaikan isu beras tempatan dalam masa sebulan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan apa yang telah berlaku selepas pelbagai janji itu dibuat.

“Datuk Yang Dipertua, harga lantai mesti dinaikkan kepada RM1,800 ataupun kurang sikit.

“Lima persoalan, jika harga padi naik, maka harga beras pun naik. Baja pun naik, upah pun naik, racun pun naik.

“Sebabnya walaupun harga padi RM1,300, beras tetap juga dengan harga RM3.60 sekilo.

“Sepatutnya padi RM1,300 satu tan, harga beras RM2.60 sekilo. Jadi lebih baik harga lantai beras RM1,800 kerana padi RM1,300 pun harga beras RM3.60 sekilo, padi RM1,800 pun harga beras tetap RM3.60 sekilo,” jelas Idris.

Menurut beliau, akibat keadaan ini, pesawah terus menderita manakala lintah darat tetap kaya-raya atas keringat mereka.

“Apabila harga padi dinaikkan kepada RM1,800 oleh pengilang, harga baja, benih dan racun pun naik.

“Tetapi apabila harga padi turun kepada RM1,300, kadar upah dan harga racun serta beras tidak turun.

“Ini macam umur manusia. Umur 60 tahun tidak turun kepada umur 50 tahun,” katanya.

Justeru, Idris menegaskan kerajaan bukan sahaja perlu menetapkan harga lantai, malah harga siling juga mesti diletakkan supaya pesawah tidak terus dipermainkan oleh kilang-kilang besar.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya subsidi benih padi dikredit terus ke akaun pesawah.

“Hari ini, subsidi benih padi adalah RM20.60 bagi setiap beg 20 kilogram, diberikan kepada mereka yang menyediakan benih padi.

“Sedangkan kalau petani menyediakan benih sendiri, mereka tidak mendapat subsidi.

“Sejak dua tiga tahun ini semakin ramai petani yang menyimpan dan memproses benih sendiri, tetapi mereka tidak memperoleh sebarang inisiatif,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu skim baja rintis yang menurutnya tidak perlu dibuka kepada syarikat swasta kerana dikhuatiri akan berlaku ketirisan dan kelewatan dalam pengedaran baja.

“Menteri pun tahu berkenaan hal ini, inilah rungutan yang datang kepada saya dari kawasan Lembah Kerian.

“Sebab itu, skim baja ini sepatutnya diserahkan terus kepada Nafas sebagai pembekal utama kerana Nafas juga dianggotai oleh pesawah sendiri,” katanya.

Menurutnya, infrastruktur pertanian juga perlu ditambah baik kerana banyak kawasan yang sudah lama tidak diperbaiki.

“Peruntukan perlu ditambah untuk sistem pengairan kerana pesawah kini terpaksa menggunakan kaedah alternatif seperti sistem takungan air dan pam sendiri, yang meningkatkan kos operasi mereka,” katanya.

Akhir sekali, beliau mencadangkan agar Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dikembalikan bagi memastikan kestabilan harga padi dan beras.

“Dulu kita tengok banyak kilang-kilang Bumiputera, sekarang banyak kilang tutup.

“Yang terbaru, kita lihat kilang yang telah beroperasi selama 57 tahun di Perlis terpaksa tutup kerana tidak tahan dengan permainan kartel dan tauke besar yang menyebabkan mereka gulung tikar,” ujarnya lagi.

 – HARAKAHDAILY 6/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-