Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
TAN Bee Kam (kanan) bersama suaminya, Tan Wee Lee menenami tiga anak mereka menyertai Program Khatan Perdana 2025. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Tanah Merah: "Ketiga-tiga anak saya sendiri yang mahu berkhatan bersama kanak-kanak lain. Walaupun kami berbangsa Cina, majoriti lelaki dalam keluarga kami memang berkhatan untuk menjaga kebersihan dan kesihatan," kata Tan Bee Kam, 40.
Kehadiran tiga beradik iaitu Tan Xarel, 8, Tan Xaden, 11, dan Tan Xavier, 12 mencuri tumpuan ramai apabila mereka berkhatan bersama 60 kanak-kanak lain Program Khatan Perdana 2025 Peringkat yang diadakan di Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.
Menurut ibu mereka, Tan Bee Kam, 40, sejak tahun lalu, dia sudah bertanya mengenai kos berkhatan di beberapa klinik swasta dan dimaklumkan harganya sekitar RM180 seorang.
"Bagaimanapun saya mendapat tahu daripada rakan sekampung berkenaan program berkhatan yang diadakan secara percuma dan terus bertanya dengan anak-anak sama ada mahu atau tidak, sebelum mereka bersetuju untuk berkhatan.
"Ketiga-tiga anak saya begitu teruja dan asyik bertanya tarikh majlis berkhatan dan pada pagi tadi mereka bangun seawal jam 5 pagi untuk bersiap," katanya ketika ditemui dalam Program Khatan Perdana 2025 Peringkat Hospital Tanah Merah yang dirasmikan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.
Katanya, berkhatan beramai-ramai memberikan pengalaman yang berharga buat anak-anaknya dan mereka nampak sangat seronok apabila turut dimandikan air dari pili bomba dan disuapkan pulut.
"Saya akan memastikan mereka menjalani proses berpantang sebaiknya agar dapat segera sembuh. Semoga dengan berkhatan, mereka akan menjadi seorang 'lelaki dewasa' yang lebih sihat.
"Seorang lagi anak bongsu saya yang baharu berusia empat tahun akan turut sama berkhatan sebagaimana abang mereka dan saya mahu setiap anak lelaki berkhatan secara rela tanpa dipaksa," katanya.
Sementara itu, Tan Xavier berkata, dia bersama dua adiknya memang hendak berkhatan untuk kebersihan diri daripada kuman sebab itu mereka menawarkan diri berkhatan walaupun berbangsa Cina.
"Rasa seronok sangat nak sunat (berkhatan) hari ini, ditambah pula ramai kawan-kawan sekaligus perasaan takut terus hilang," katanya.
Disiarkan pada: Februari 6, 2025 @ 12:53pm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.