Friday, February 7, 2025

Umno ingatkan semua - Henti bersaing isu garis panduan agama

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 7, 2025 11:32 AM
Umno menggesa semua pihak supaya berhenti bersaing sesama sendiri dalam mengeluarkan kenyataan berhubung polemik garis panduan yang dicadangkan untuk umat Islam.

Setiausaha Agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata gesaan itu termasuk kepada semua pemimpin parti politik, khususnya parti komponen BN.

“Buat pemimpin-pemimpin parti politik terutamanya di kalangan bukan Islam termasuklah DAP, MCA dan Gerakan yang tampak begitu teruja untuk bersaing dalam mengeluarkan kenyataan, nasihat saya serahkanlah hal ehwal agama seperti ini kepada pihak berautoriti untuk membahaskannya secara ilmiah.

“Akhirnya, semua harus hormati kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu yang berkuasa mutlak dalam menentukan apa jua hal yang berkaitan dengan hal-ehwal dan kepentingan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.
Asyraf berkata garis panduan itu penting kepada umat Islam sebagai batu asas yang menjadi parameter dan pedoman bagi memastikan adanya pencerahan mengenai batasan tertentu dalam apa jua bentuk amalan yang melibatkan perayaan dan ritual agama agar tidak sampai menjejaskan akidah yang menjadi teras keimanan seseorang.

“Contohnya, tiada masalah menghadiri upacara perayaan sesuatu agama sebagai manifestasi keharmonian hidup antara agama yang diamalkan selama ini. Namun, batasan menyertai ibadah ritual tertentu yang boleh menjejaskan akidah seseorang perlu dijadikan panduan untuk umat Islam.

“Kedua, garis panduan ini juga harus dilihat sebagai suatu yang positif untuk bukan Islam supaya sensitiviti umat Islam terhadap satu-satu amalan ritual yang boleh menjejaskan aqidah dapat difahami dan dihormati.
“Ketiga, garis panduan ini bukan bersifat peraturan atau perundangan kerana hanya sebagai pedoman dan pencerahan ilmu yang bermanfaat buat semua untuk memahami batasan dan sempadan dalam menyertai upacara perayaan dan ibadah agama lain.”jelasnya.

Justeru, Asyraf berkata tidak perlulah isu ini terus dipolemikkan.

Katanya, ini kerana setiap rakyat Malaysia mesti teruskan budaya hormat-menghormati dan bertoleransi dalam mengamalkan agama dan budaya masing-masing yang selama ini menjadi teras kekuatan dan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kabinet akan membincangkan garis panduan yang dicadangkan dalam mesyuarat mingguan mereka, hari ini.

Dalam jawapan bertulis di parlimen pada Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkata kerajaan akan memperkenal garis panduan baru untuk acara yang melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan itu, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika melibatkan umat Islam, dan acara tersebut tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

Rancangan itu mendapat kritikan pelbagai pihak, khususnya pemimpin dan parti politik bukan Melayu.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad menegaskan garis panduan untuk umat Islam menziarahi rumah ibadat bukan Islam bukan sesuatu yang baharu.

Oleh itu, Zulkifli berkata, cadangan garis panduan itu tidak wajar dipolemikkan.
Zulkifli Mohamad
“Saya telah usulkan sejak menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, dan dinyatakan sekali lagi pada Mac 2023.

“Apa yang penting adalah wujud elemen hormat, toleransi dan mengutamakan prinsip asas dalam beragama iaitu akidah,” katanya di aplikasi X, hari ini.

Merujuk kepada kenyataan bekas Mufti Wilayah itu pada Mac 2023 lalu, Zulkifli berkata, garis panduan tersebut dibuat bagi menjaga batas-batas sensitiviti yang perlu dihormati untuk memelihara kerukunan yang sedia ada antara rakyat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

Menurutnya, toleransi berkenaan mungkin sudah diketahui secara umum, namun setahunya untuk mendapatkan sebuah garis panduan lengkap meliputi semua agama-agama di Malaysia, ia masih belum didokumentasikan.

Zulkifli berkata, ia perlu dimulakan dengan garis panduan ziarah ke rumah-rumah ibadah.
Di bawah peraturan yang dicadangkan, tidak boleh ada ucapan atau lagu dengan ‘propaganda’ atau persembahan keagamaan yang akan menghina orang Islam, manakala premis digunakan tidak boleh memaparkan simbol agama kepercayaan selain Islam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-