Oleh Datuk Dr Shamrahayu A Aziz
bhrencana@bh.com.my
- Mac 17, 2025
HAL berkaitan peruntukan dana kepada wakil rakyat pembangkang sering menjadi isu politik dan polemik berulang.
Secara umum, walaupun peruntukan sebegini bukan lazim dalam amalan demokrasi, tetapi di Malaysia, ia sentiasa menjadi isu berbangkit, tidak mengira parti yang menjadi kerajaan.
Pada kebiasaannya, dalam amalan di negara maju, peruntukan atau dana untuk pembangunan atau bantuan rakyat tidak disalurkan kepada wakil rakyat.
Perkara itu menjadi tanggungjawab agensi kerajaan berkaitan. Hal ini kerana agensi kerajaan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab melaksanakan pembangunan dan membantu rakyat di setiap pelosok kawasan.
Maka, di negara maju, pembangunan boleh dikatakan bukan tanggungjawab ahli Parlimen atau badan Perundangan.
Namun, realiti di negara ini berbeza. Rakyat umumnya membawa aduan pembangunan dan keperluan mereka kepada wakil rakyat. Mereka mengharapkan tindakan segera daripada wakil rakyat.
Keadaan ini menjadikan seseorang wakil rakyat memerlukan peruntukan untuk menyelesaikan urusan atau aduan rakyat bagi tujuan pembangunan atau bantuan dalam kawasannya.
Oleh kerana itu, isu peruntukan kepada ahli Parlimen menjadi polemik politik apabila layanan berbeza diberikan kepada wakil rakyat daripada parti kerajaan dan pembangkang.
Pada kebiasaannya, wakil rakyat pembangkang tidak diberikan peruntukan. Keadaan ini menjadi satu tekanan kepada mereka dan ini dianggap sebagai satu cara melemahkan mereka.
Persoalan ingin dibicarakan dalam rencana ini ialah adakah peruntukan dana ini hak yang dijamin Perlembagaan atau ia sekadar budi bicara kerajaan memerintah.
Adakah perkara ini memerlukan pindaan Perlembagaan atau penggubalan undang-undang atau peraturan khusus mengenai hak semua ahli Parlimen untuk mendapatkan peruntukan.
Perlembagaan tidak menyatakan secara jelas hak setiap wakil rakyat, sama ada kerajaan atau pembangkang untuk menerima peruntukan bagi tujuan pembangunan dan bantuan rakyat di kawasan mereka.
Berkaitan hal ini, asas undang-undang hal ehwal kewangan dapat dilihat pada Perkara 97 Perlembagaan, memperuntukkan kawalan ke atas Kumpulan Wang Persekutuan di bawah kuasa Persekutuan.
Sementara itu, Perkara 80 menyatakan urusan perbelanjaan dan tanggungjawab kewangan adalah dalam bidang kuasa Eksekutif.
Perkara 109 pula memperuntukkan pemberian kepada negeri pada setiap tahun dalam bentuk pemberian mengikut berapa kepala dan pemberian bagi penyelenggaraan jalan negeri.
Perkara 109(3) memberikan kuasa kepada Parlimen membuat pemberian bagi maksud tertentu kepada negeri atas apa-apa terma atau syarat ditetapkan.
Justeru, dari sudut asas perundangan, peruntukan kepada wakil rakyat diberikan melalui kewangan tahunan kepada negeri, dibentangkan kerajaan dan diluluskan Parlimen mengikut Perkara 109.
Budi bicara penuh tentukan jumlah peruntukan
Mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen, dalam amalan sekarang, kerajaan mempunyai budi bicara penuh menentukan jumlah serta mekanisme peruntukan kepada ahli Parlimen.
Ia termasuk sama ada peruntukan diberikan secara sama rata atau hanya kepada wakil rakyat kerajaan.
Bagi memastikan peruntukan kepada wakil rakyat diagihkan secara adil dan sistematik, terdapat cadangan supaya Perlembagaan dipinda untuk mewajibkan peruntukan saksama kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.
Namun, terdapat beberapa cabaran utama untuk merealisasikan cadangan ini.
Antara lain, pindaan itu akan mengehadkan kuasa budi bicara Eksekutif pada peringkat Persekutuan dalam menentukan agihan dana atau peruntukan berkenaan.
Seterusnya, dengan menyatakan perkara berkenaan dalam Perlembagaan, ia akan memberikan implikasi kepada sistem politik.
Sekiranya peruntukan dana ini dijamin secara Perlembagaan, kerajaan perlu menyediakan peruntukan tetap kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang.
Perkara ini boleh mengurangkan kawalan politik kerajaan terhadap wakil rakyat. Namun, kebaikannya adalah ia dapat menjamin hak pengundi di semua kawasan.
Pengundi akan mendapat manfaat yang sama walaupun wakil rakyat mereka bukan daripada parti membentuk kerajaan.
Pindaan Perlembagaan juga mempunyai cabaran untuk diluluskan kerana memerlukan sokongan dua pertiga majoriti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pada bacaan kedua dan ketiga.
Walaupun begitu, cabaran ini boleh diselesaikan dengan kesepakatan ahli Dewan.
Pindaan Perlembagaan mungkin berkesan sebagai satu penyelesaian jangka panjang kepada polemik ini, namun perlu ada pilihan untuk jangka pendek.
Undang-undang atau mekanisme lain yang lebih fleksibel boleh dipertimbangkan bagi memastikan semua kawasan mendapat manfaat pembangunan secara adil, tanpa mengira siapa atau parti mana mentadbir negara.
Dengan kata lain, sebagai pilihan kepada pindaan Perlembagaan, Parlimen boleh membuat pindaan kepada mana-mana akta berkaitan bagi memasukkan peruntukan berkenaan peruntukan kepada ahli Parlimen atau membuat akta baharu.
Selain itu, peraturan boleh dibuat secara pentadbiran untuk memastikan peruntukan diagihkan secara adil.
Sementara itu, undang-undang atau peraturan pentadbiran perlu membuat tatacara jelas berkaitan mekanisme penyampaian peruntukan berkenaan.
Justeru, sebagai permulaan yang baik, kerajaan boleh merangka suatu peraturan atau panduan lengkap berkenaan hal ini.
Panduan ini boleh memperincikan syarat atau peraturan perkara yang perlu dilakukan atau tanggungjawab patut dilaksanakan ahli Parlimen selepas dana diberikan.
Kaedah penyaluran dan pemantauan peruntukan perlu ditetapkan juga. Semua ini memerlukan rekod jelas dalam pentadbiran supaya peruntukan berkenaan digunakan sebagaimana diniatkan dan rakyat mendapat manfaatnya.
Ternyata, isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bukan sekadar persoalan politik, tetapi juga menyentuh prinsip demokrasi dan keadilan kepada rakyat.
Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Adakah peruntukan dana ini hak yang dijamin Perlembagaan atau ia sekadar budi bicara kerajaan memerintah. - Foto hiasan BH

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.