Showing posts with label Perlembagaan. Show all posts
Showing posts with label Perlembagaan. Show all posts

Monday, March 17, 2025

Dana ahli Parlimen: Budi bicara kerajaan atau dijamin Perlembagaan?

bharian.com.my
Oleh Datuk Dr Shamrahayu A Aziz 
bhrencana@bh.com.my
- Mac 17, 2025 
Adakah peruntukan dana ini hak yang dijamin Perlembagaan atau ia sekadar budi bicara kerajaan memerintah. - Foto hiasan BH

HAL berkaitan peruntukan dana kepada wakil rakyat pembangkang sering menjadi isu politik dan polemik berulang.

Secara umum, walaupun peruntukan sebegini bukan lazim dalam amalan demokrasi, tetapi di Malaysia, ia sentiasa menjadi isu berbangkit, tidak mengira parti yang menjadi kerajaan.

Pada kebiasaannya, dalam amalan di negara maju, peruntukan atau dana untuk pembangunan atau bantuan rakyat tidak disalurkan kepada wakil rakyat.

Perkara itu menjadi tanggungjawab agensi kerajaan berkaitan. Hal ini kerana agensi kerajaan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab melaksanakan pembangunan dan membantu rakyat di setiap pelosok kawasan.

Maka, di negara maju, pembangunan boleh dikatakan bukan tanggungjawab ahli Parlimen atau badan Perundangan.

Namun, realiti di negara ini berbeza. Rakyat umumnya membawa aduan pembangunan dan keperluan mereka kepada wakil rakyat. Mereka mengharapkan tindakan segera daripada wakil rakyat.

Keadaan ini menjadikan seseorang wakil rakyat memerlukan peruntukan untuk menyelesaikan urusan atau aduan rakyat bagi tujuan pembangunan atau bantuan dalam kawasannya.

Oleh kerana itu, isu peruntukan kepada ahli Parlimen menjadi polemik politik apabila layanan berbeza diberikan kepada wakil rakyat daripada parti kerajaan dan pembangkang.

Pada kebiasaannya, wakil rakyat pembangkang tidak diberikan peruntukan. Keadaan ini menjadi satu tekanan kepada mereka dan ini dianggap sebagai satu cara melemahkan mereka.

Persoalan ingin dibicarakan dalam rencana ini ialah adakah peruntukan dana ini hak yang dijamin Perlembagaan atau ia sekadar budi bicara kerajaan memerintah.

Adakah perkara ini memerlukan pindaan Perlembagaan atau penggubalan undang-undang atau peraturan khusus mengenai hak semua ahli Parlimen untuk mendapatkan peruntukan.

Perlembagaan tidak menyatakan secara jelas hak setiap wakil rakyat, sama ada kerajaan atau pembangkang untuk menerima peruntukan bagi tujuan pembangunan dan bantuan rakyat di kawasan mereka.

Berkaitan hal ini, asas undang-undang hal ehwal kewangan dapat dilihat pada Perkara 97 Perlembagaan, memperuntukkan kawalan ke atas Kumpulan Wang Persekutuan di bawah kuasa Persekutuan.

Sementara itu, Perkara 80 menyatakan urusan perbelanjaan dan tanggungjawab kewangan adalah dalam bidang kuasa Eksekutif.

Perkara 109 pula memperuntukkan pemberian kepada negeri pada setiap tahun dalam bentuk pemberian mengikut berapa kepala dan pemberian bagi penyelenggaraan jalan negeri.

Perkara 109(3) memberikan kuasa kepada Parlimen membuat pemberian bagi maksud tertentu kepada negeri atas apa-apa terma atau syarat ditetapkan.

Justeru, dari sudut asas perundangan, peruntukan kepada wakil rakyat diberikan melalui kewangan tahunan kepada negeri, dibentangkan kerajaan dan diluluskan Parlimen mengikut Perkara 109.

Budi bicara penuh tentukan jumlah peruntukan

Mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen, dalam amalan sekarang, kerajaan mempunyai budi bicara penuh menentukan jumlah serta mekanisme peruntukan kepada ahli Parlimen.

Ia termasuk sama ada peruntukan diberikan secara sama rata atau hanya kepada wakil rakyat kerajaan.

Bagi memastikan peruntukan kepada wakil rakyat diagihkan secara adil dan sistematik, terdapat cadangan supaya Perlembagaan dipinda untuk mewajibkan peruntukan saksama kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Namun, terdapat beberapa cabaran utama untuk merealisasikan cadangan ini.

Antara lain, pindaan itu akan mengehadkan kuasa budi bicara Eksekutif pada peringkat Persekutuan dalam menentukan agihan dana atau peruntukan berkenaan.

Seterusnya, dengan menyatakan perkara berkenaan dalam Perlembagaan, ia akan memberikan implikasi kepada sistem politik.

Sekiranya peruntukan dana ini dijamin secara Perlembagaan, kerajaan perlu menyediakan peruntukan tetap kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang.

Perkara ini boleh mengurangkan kawalan politik kerajaan terhadap wakil rakyat. Namun, kebaikannya adalah ia dapat menjamin hak pengundi di semua kawasan.

Pengundi akan mendapat manfaat yang sama walaupun wakil rakyat mereka bukan daripada parti membentuk kerajaan.

Pindaan Perlembagaan juga mempunyai cabaran untuk diluluskan kerana memerlukan sokongan dua pertiga majoriti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pada bacaan kedua dan ketiga.

Walaupun begitu, cabaran ini boleh diselesaikan dengan kesepakatan ahli Dewan.

Pindaan Perlembagaan mungkin berkesan sebagai satu penyelesaian jangka panjang kepada polemik ini, namun perlu ada pilihan untuk jangka pendek.

Undang-undang atau mekanisme lain yang lebih fleksibel boleh dipertimbangkan bagi memastikan semua kawasan mendapat manfaat pembangunan secara adil, tanpa mengira siapa atau parti mana mentadbir negara.

Dengan kata lain, sebagai pilihan kepada pindaan Perlembagaan, Parlimen boleh membuat pindaan kepada mana-mana akta berkaitan bagi memasukkan peruntukan berkenaan peruntukan kepada ahli Parlimen atau membuat akta baharu.

Selain itu, peraturan boleh dibuat secara pentadbiran untuk memastikan peruntukan diagihkan secara adil.

Sementara itu, undang-undang atau peraturan pentadbiran perlu membuat tatacara jelas berkaitan mekanisme penyampaian peruntukan berkenaan.

Justeru, sebagai permulaan yang baik, kerajaan boleh merangka suatu peraturan atau panduan lengkap berkenaan hal ini.

Panduan ini boleh memperincikan syarat atau peraturan perkara yang perlu dilakukan atau tanggungjawab patut dilaksanakan ahli Parlimen selepas dana diberikan.

Kaedah penyaluran dan pemantauan peruntukan perlu ditetapkan juga. Semua ini memerlukan rekod jelas dalam pentadbiran supaya peruntukan berkenaan digunakan sebagaimana diniatkan dan rakyat mendapat manfaatnya.

Ternyata, isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bukan sekadar persoalan politik, tetapi juga menyentuh prinsip demokrasi dan keadilan kepada rakyat.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sunday, September 3, 2023

DAP mesti tinggalkan ‘Malaysian Malaysia’ jika benar junjung Perlembagaan

ismaweb.net
Siti Hafidah
03/09/2023

Pejuang kemerdekaan dulu tolak asimilasi pilih integrasi kaum bina negara
BANGI, 17 Safar 1445H, Ahad – DAP perlu meninggalkan perjuangan Malaysian Malaysia sekiranya parti itu benar-benar menjunjung Perlembagaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, kenyataan pemimpin DAP bahawa mereka menjunjung Perlembagaan namun masih memperjuangkan Malaysian Malaysia suatu perkara yang bercanggah.

Ini kerana katanya, ideologi Malaysian Malaysia adalah tidak selari dengan Perlembagaan Malaysia.

“Perlembagaan Malaysia melindungi hak keistimewaan orang-orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.

“Sebaliknya dalam Malaysian Malaysia tiada keistimewaan-keistimewaan ini malah ideologi ini menentang keistimewaan-keistimewaan ini, sebagaimana tiada keistimewaan orang-orang Melayu dan tiada Raja-raja Melayu di Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Isham berkata, pejuang kemerdekaan dahulu menolak asimilasi kaum sebaliknya memilih untuk membina negara dengan integrasi kaum.

Jelasnya, dengan integrasi kaum setiap kaum boleh mengekalkan cara hidup dan adat resam mereka sendiri tanpa diasimilasi dan hidup bersama dengan harmoni.

“Dahulu orang-orang Melayu dan UMNO telah bangkit menentang Malayan Union atau ‘Perpaduan Malaya’ dan kita telah berjaya mencapai kemerdekaan. Kemudian kita telah bangkit menentang asimilasi ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) walaupun itu menyebabkan perpisahan kita dengan Singapura.

“Kita memperjuangkan integrasi kaum, menjunjung Perlembagaan dan menolak asimilasi Malaysian Malaysia,” katanya.

Rentetan itu, beliau menegaskan, rakyat yang ingin hidup secara harmoni dan pada masa sama mengekalkan adat resam, budaya dan cara hidup etnik mereka perlu menolak asimilasi Malaysian Malaysia ini.

“Ini termasuklah DAP jika mereka benar-benar mahu menjunjung Perlembagaan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ seperti didesak sesetengah pihak.

Menurutnya, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Tuesday, July 4, 2023

Peguam pertahan komen Dr M berkait ‘negara berbilang bangsa’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
- 04 Jul 2023, 8:41pm

Rafique Rashid berkata, kenyataan bekas perdana menteri itu disokong oleh peristiwa sejarah dan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.
Peguam kepada Dr Mahathir Mohamad, Rafique Rashid berkata, komen bekas perdana menteri itu berhubung ‘negara berbilang bangsa’ baru-baru ini tepat.

PETALING JAYA: Kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa usaha mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan adalah tepat bawah undang-undang, kata peguam kepada bekas perdana menteri itu, Rafique Rashid.

“Kenyataan beliau tersebut disokong oleh peristiwa-peristiwa sejarah yang pernah berlaku dan juga berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Rafique menyentuh tiga perkara dalam Perlembagaan, iaitu Perkara 8 berkenaan kesamarataan, Perkara 11 berkenaan kebebasan beragama, dan Perkara 153 yang menyentuh tentang kedudukan istimewa orang Melayu.

Menurut beliau, Perkara 8 menyatakan bahawa hak sama rata tidak mutlak, manakala perlindungan ke atas kepentingan kaum-kaum bukan Melayu “tidak boleh mengingkari” Perkara 153, yang memberikan beberapa keistimewaan kepada orang Melayu.

Perkara 11(4) pula memberikan kuasa kepada Parlimen dan DUN untuk menyekat pengembangan agama lain kepada orang Islam, namun tiada sekatan boleh dibuat terhadap pengembangan agama Islam.

“Ini tidak bererti negara ini negara ‘berketuanan Melayu’ (Malay supremacy). Namun sebaliknya, ianya negara ‘berkeutuhan Melayu’ (Malay primacy),” katanya, dan menambah keistimewaan orang Melayu terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957.

“Ianya tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa sememangnya pendiri-pendiri negara kita (our forefathers) mengakui bahawa negara ini pada hakikatnya bukanlah negara yang berbilang kaum.”

Rafique menjawab pandangan pengamal undang-undang yang berpandangan bahawa Mahathir salah faham apabila mendakwa mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan.

Bastian Pius Vendargon berkata, Perlembagaan mengiktiraf setiap rakyat dan memberikan mereka semua hak yang berbeza; manakala Philip Koh dari Universiti Malaya menyifatkan tafsiran Mahathir sebagai “fitnah”, kerana Perlembagaan menggalakkan demokrasi yang kondusif untuk membina sebuah negara berbilang kaum, sambil mengiktiraf peranan Islam dan hak orang Melayu.

Rafique bagaimanapun meminta pengkritik melihat kenyataan Mahathir secara keseluruhan.

“Apa yang dinyatakan oleh Mahathir adalah tepat menurut Perlembagaan dan bukanlah satu fitnah. Bahkan ianya adalah satu fitnah untuk mengatakan bahawa kenyataan Mahathir tersebut sebagai fitnah,” katanya.

Monday, September 12, 2022

Pengampunan ada prosedur, perlu ikut undang-undang, tegas Sultan Selangor

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 12, 2022 4:31 PM
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengampunan diraja tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya dan harus mengikut lunas undang-undang dan prosedur, tegas Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata rakyat mesti faham proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas dan prosedur yang diperuntukkan bahawa Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

“Beta menzahirkan sokongan padu terhadap titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Sultan Sharafuddin mengikuti dengan rapat perkembangan isu berkaitan sistem pentadbiran keadilan negara kebelakangan ini, dan menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan hehakiman.

Sementara itu, baginda menegaskan Perlembagaan jelas memperuntukkan semua rakyat sama rata di sisi undang-undang.

“Ini bermakna rakyat, tidak mengira status, jawatan, bangsa, dan keturunan tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang sama,” katanya.

Sultan Sharafuddin berkata semua pihak bertanggungjawab memelihara nama baik badan kehakiman, sambil mengingatkan cabang eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan mempengaruhi proses pentadbiran keadilan.

“Setiap rakyat berkehendakkan keadilan, kesaksamaan, serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin membidas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap badahn kehakiman tanpa mengetahui fakta dan alasan penghakiman sesuatu kes.

“Sebarang tohmahan tidak berasas kan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan,” katanya.

Friday, July 29, 2022

Ahmad: ROS lulus permohonan Umno pinda perlembagaan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 29, 2022 7:50 PM
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan permohonan Umno untuk meminda perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan sehingga selepas PRU ke-15.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, perkara itu dimaklumkan ROS melalui sepucuk surat kepadanya hari ini.

“ROS juga meminta satu pemilihan diadakan dalam satu penggal pilihan raya umum parlimen (Dewan Rakyat).

“Ini bermakna pemilihan Umno untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU ke-15 diadakan,” katanya dalam kenyataan di Twitter, hari ini.

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, November 12, 2020

UMANY mohon ampun daripada Agong, tuntut polis henti segala siasatan

By Wartawan MalaysiaGazette
- 12 November 2020

Presiden Persatuan New Youth Universiti Malaya (UMANY), Yap Wen Qing di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
 foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Baharu University Malaya (UMANY) menzahirkan permohonan ampun dan maaf daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana mempertikaikan kuasa baginda.

UMANY dalam kenyataannya berkata, mereka mematuhi sistem raja berpelembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan negara.

Katanya, UMANY juga menarik balik kenyataan bertajuk “YDPA Should Not Interfere in National Affairs” yang dipaparkan di halaman Facebook bahasa Cina dan bahasa Inggeris UMANY pada 30 Oktober 2020.

Tindakan itu, katanya, dibuat selepas merujuk kepada pakar-pakar Perlembagaan.

“Selain menzahirkan maaf kepada masyarakat, pihak UMANY ingin secara khususnya mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap Perlembagaan,” kata UMANY.

Menurut UMANY, kenyataan 30 Oktober lalu adalah untuk perbincangan akademik dan tidak berniat menghasut sambil mendakwa Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia juga merupakan undang-undang zalim yang menindas kebebasan bersuara rakyat.

Dalam kenyataan itu, UMANY juga menuntut pihak polis menghentikan segala siasatan yang dijalankan di bawah akta-akta tersebut terhadap ahli-ahli UMANY.

Persatuan itu juga menggesa kerajaan agar memansuhkan undang-undang zalim yang didakwa menyekat kebebasan bersuara.

“Pihak UMANY juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan solidariti kepada pihak kami semasa dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan.

“Pihak UMANY akan meneruskan usaha pihak kami dalam memupuk dan mempertahankan kebebasan demokrasi di Malaysia bersama dengan masyarakat sivik demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Artikel berkaitan: TERKINI : 70 Laporan Polis Dibuat Terhadap UMANY Dibawah Akta Hasutan – Wan Guan Hui
TERKINI : UMANY Dakwa Polis Salah Guna Kuasa – Yap Weng Qin
Halang tugas polis, bekas Presiden UMANY ditahan

Presiden UMANY, Yap Wei Qin sebelum ini mendakwa pihak polis telah menyalahguna kuasa apabila melakukan siasatan terhadap enam ahli jawatan kuasa persatuan tersebut dan menganggap keterangan yang diberi oleh beliau dan naib presidennya 5 November telah memadai.

Selain itu, bekas presiden UMANY juga ditahan polis kerana mengganggu siasatan apabila bertindak membuat rakaman video kehadiran polis ke kediaman mereka.

Terdapat 70 laporan polis dibuat terhadap hantaran UMANY di laman Facebook yang disifatkan sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong.

Thursday, November 28, 2019

Beza MCA dalam BN dan DAP dalam PH


ADA perbezaan yang besar antara MCA dalam BN dan DAP dalam PH.

1. Barisan Nasional (BN) ada Perlembagaan sendiri. Parti-parti komponen terikat dengan keputusan gabungan. Tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada ahli yang tidak mematuhi Perlembagaan.

2. Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan yang longgar. Tiada Perlembagaan, hanya perjanjian. Tidak hairanlah sesama ahli Kabinet pun boleh bercanggah sesama sendiri. Tiada tindakan yang mengikat boleh diambil, melainkan dengan membatalkan perjanjian.

3. Dalam Dewan Rakyat sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, MCA dan MIC, masing-masing hanya ada seorang wakil iaitu DS Dr Wee Ka Siong dan Datuk Seri M. Savaranan.

4. Perlu diingat, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, Parlimen Malaysia juga menggunapakai sistem whip.

5. Ahli parti tidak dibenarkan mengundi mengikut pandangan atau idealogi peribadi. Ahli parti wajib mengundi mengikut keputusan parti atau Ketua Whip boleh mengambil tindakan pada ahli yang tidak mengikut ketetapan. Ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan parti perlu meletakkan jawatan.

6. Hal ini bermaksud, kerusi dalam Dewan Rakyat adalah kerusi parti atau gabungan, bukan kerusi individu. Kerana itulah, perbuatan PAN yang membawa lari kerusi yang dimenangi atas tiket PAS adalah tercela di sisi agama dan prinsip demokrasi yang mereka anuti.

7. PAS menentang perbuatan khianat itu. Tapi, masih boleh menerima dan menghormati apabila dalam PRU-14, PAN menang kerusi atas manifesto dan tanggungjawab sendiri.

8. Individu MCA dan DAP mungkin banyak persamaan daripada segi kepentingan kaum, sama seperti PAS berkongsi pendirian yang sama dengan Umno dan Bersatu dalam isu Islam dan orang Melayu.

9. Namun, suara MCA dalam BN atau Muafakat Nasional tidak sedominan dan sesignifikan DAP dalam PH. Pandangan MCA yang menentang RUU 355, lebih-lebih lagi dalam keadaan BN tidak memegang tampuk pemerintahan, tidak akan membawa kesan yang signifikan kepada usaha-usaha PAS untuk menegakkan hukum Islam.

10. Ejekan-ejekan yang mengatakan PAS wala’ kepada MCA hanya menyerlahkan ketidakmatangan memahami politik realiti dalam konteks Malaysia, kebanyakannya datang dari perasaan ‘bagus’ menganalisis politik dari portal berita, tanpa mengalami sendiri penglibatan, perbincangan dan negosiasi politik di belakang tabir yang biasanya menjadi rahsia dan strategi parti.

11. Keterbukaan PAS kepada MCA sebenarnya hanya menunjukkan sikap PAS yang praktikal tapi masih berprinsip, seperti yang selalu ditekankan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang supaya orang Islam bersatu tanpa meninggalkan kaum lain.

 – HARAKAHDAILY
    28/11/2019

Thursday, October 31, 2019

Perlembagaan hanya tinggal atas kertas jika Anwar jadi PM

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, – Isu Perlembagaan dan peruntukan yang ada hanya akan tinggal di atas kertas sahaja sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan yang dijamin dalam Perlembagaan memerlukan dasar, polisi serta pendekatan yang selari dengan peruntukan itu.

Bagaimanapun, jika Anwar – berdasarkan kenyataan dan sifat partinya yang ‘multi-racial’ – dipercayai akan memperkenalkan dasar, polisi dan pendekatan yang tidak selari dengan peruntukan Islam, Melayu dan Raja dalam Perlembagaan.

“Isu ini jelas sekali berlaku di zaman PH, walaupun Perlembagaan tidak dipinda. Jika Anwar ambil alih, isu ini akan semakin meruncing dan peruntukan Perlembagaan akan hanya tinggal atas kertas sahaja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang menyifatkan Anwar sebagai individu sesuai menjadi pengganti Dr Mahathir jika berlaku peralihan kuasa dalam penggal ini.

Mohammad Agus berkata, Anwar adalah pemimpin yang mampu melonjakkan ekonomi negara, memartabatkan kesejahteraan rakyat, mengharmonikan hubungan kaum dan membawa Malaysia ke depan, walaupun mengakui pelantikan itu akan dibantah oleh orang Melayu.

“Bagaimanapun, orang Melayu tidak perlu risau hal ini kerana kedudukan Melayu sudah dijamin dalam Perlembagaan. Janganlah setelah 62 tahun merdeka, kita masih lagi dikongkong dengan politik perkauman,” kata Mohammad Agus.

Mengulas lanjut, Ustaz Hazizi menyarankan kerajaan memikirkan formula menangani kepentingan pelbagai kaum, berbanding beretorik bahawa politik berasaskan kaum sudah tidak relevan.

Katanya, politik berasaskan kaum adalah satu perkara yang tidak boleh dibuang, kerana fitrah manusia memperjuangkan kaum masing-masing.

“Amerika Syarikat (AS) sudah beratus tahun mengamalkan dasar kesamarataan, namun diskriminasi berasaskan warna kulit tetap berlaku dan semakin meruncing.

“Justeru, lebih baik kita fikirkan formula menangani kepentingan pelbagai kaum dengan berkesan. Formula yang diguna pakai sejak merdeka masih relevan.

“Masalah selama ini hanyalah kepimpinan UMNO yang mementingkan diri sendiri dan kroni. Masalah pada kepimpinan UMNO, bukan masalah pada politik berasaskan kaum,” katanya.

Friday, December 21, 2018

Kerajaan sudah capai dua pertiga di Parlimen, laluan pinda Perlembagaan

MALAYSIADATELINE


Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu telah berbincang tentang wakil rakyat Umno yang meninggal parti beramai-ramai, keadaan yang membolehkan kerajaan menikmati kelebihan sokongan dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, data terkini menunjukkan Pakatan Harapan mempunyai 129 kerusi dan jika ditambah dengan 19 kerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang pro kerajaan, maka ia menjadikan Pakatan Harapan (PH) sudah mencecah paras 148 kerusi untuk kelebihan dua pertiga.

Kelebihan itu juga membuka laluan kepada kerajaan untuk meminda Perlembagaan, keadaan yang tidak berlaku di Dewan Rakyat untuk 10 tahun yang lalu.

Vui Keong berkata, antara undang-undang yang mahu dipinda kerajaan termasuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun dan melaksanakan “Perjanjian Malaysia 1963” .

“Saya berharap wakil rakyat prokerajaan akan menyokong dasar kerajaan apabila mesyuarat Parlimen bersambung pada tahun depan.

“Menyemak semula Perjanjian 1963 adalah berpihak kepada dua negeri di Borneo dan tiada alasan untuk wakil rakyat berkenaan untuk tidak menyokong,” katanya kepada Sinchew Daily dipetik MalaysiaGazette.

Katanya, selain wakil rakyat daripada parti prokerajaan, terdapat juga 13 Ahli Parlimen bebas yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.

Vui Keong percaya, lebih ramai Ahli Parlimen Umno juga akan meninggalkan parti itu.

“Saya jangkakan bahawa akhirnya tidak sampai separuh wakil rakyat Umno yang akan tinggal dalam parti itu.

“UMNO boleh kira bernasib baik jika ia tidak dibubarkan,” katanya.

Mengikut perhitungan, Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, Pribumi Bersatu dan DAP, serta Warisan dan Upko dari Sabah mempunyai 129 kerusi.

GPS yang terdiri daripada parti-parti Sarawak mempunyai 19 kerusi.

BN yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC mempunyai 39 kerusi selepas kemenangan MIC di Cameron Highlands diumum sebagai tidak sah.

Pas pula mempunyai 18 kerusi sementara Star, PBS dan PBRS dari Sabah masing-masing mempunyai satu kerusi.

Selain itu, terdapat 13 Ahli Parlimen bebas pada ketika ini

Berita penuh https://malaysiadateline.com/kerajaan-sudah-capai-dua-pertiga-di-parlimen-laluan-pinda-perlembagaan/

Saturday, September 15, 2018

Golongan cabar Perlembagaan, Islam kini bebas tanpa kawalan Gerakan liberal, fahaman menyeleweng tidak takut tonjolkan diri

RZ 15/09/2018


KUALA TERENGGANU, 5 Muharram 1440H, Sabtu – Golongan yang mencabar Islam dan Perlembagaan dilihat semakin berani menonjolkan diri dan bergerak bebas tanpa kawalan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, gerakan yang memperjuang fahaman liberal, mazhab yang menyeleweng dan hubungan sejenis turut berani memperlihatkan diri mereka kepada masyarakat tanpa rasa takut.

Katanya, suara-suara sumbang mencabar institusi agama, istana, dan hak Bumiputera juga semakin lantang.

“Lebih mencabar apabila suara-suara sumbang yang mencabar institusi agama, istana, dan hak Bumiputera, serta gerakan yang memperjuangkan fahaman liberal, mazhab yang menyeleweng, dan hubungan sejenis dilihat semakin berani menzahirkan diri dan bergerak bebas tanpa pengawalan,” katanya.

Justeru, katanya, semua cabaran ini menuntut PAS untuk melipatgandakan persediaan dan tindakan secara berstrategi.

“PAS akui menghadapi cabaran kerana terus beristiqamah untuk menyelamatkan masyarakat dengan Islam; menghadapi penganut Islam yang tenggelam di dalam kejahilan beragama.

“Kita juga berhadapan dengan orang bukan Islam yang tenggelam dalam kekeliruan dan fitnah ‘Islamofobia’,” katany ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden yang bertemakan Islam Memimpin pada perasmian Muktamad Tahunan PAS Ke-64 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, masyarakat kini meletakkan masalah diri dan menjadikan isi perutnya sebagai keutamaan.

“Hakikatnya petunjuk agama dan akal hanya sampingan, kerana cengkaman kejahilan agama, tertumpu keutamaan kepada kepentingan kebendaan seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan keselamatan jasad yang berkiblatkan hidup duniawi sahaja,” katanya.

Abdul Hadi berkata, dunia sekarang ini menyaksikan kegagalan ideologi ciptaan manusia terhadap masalah negara dan rakyat, sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

Katanya, keadaan sama turut dialami negara umat Islam yang menumpang dasar selain Islam, kerana terpengaruh dengan negara besar yang pernah menjajahnya.

“Kegagalan kerajaan yang memerintah di negara umat Islam selepas meneruskan dasar warisan penjajah menjadi bukti yang nyata untuk beralih kepada penyelesaian Islam yang syumul.

“Di sinilah pentingnya umat Islam memiliki pemimpin yang memenuhi sifat kepimpinan Islam, baik dari segi aqidah yang tulen, ilmu yang tinggi dan akhlak terpuji, serta berupaya untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama.

Pada masa sama beliau berkata, PAS konsisten memilih pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan semua pihak, termasuk bersikap damai terhadap Kerajaan Persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan negara dan kesediaan menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, PAS akan tetap berterus terang bersama Islam, tidak terikut dengan langkah pengecut yang malu menyebut Islamnya, selain menolak pendekatan keras tanpa kebijaksanaan.

“Bagi menghadapi senario politik dan masyarakat yang berubah, PAS wajib berijtihad berlandaskan hukum Islam dan menguasai feqah Politik Islam, khususnya Fiqh Muwazanah (pertimbangan), Fiqh Waqie’ (setempat), Fiqh Aulawiyyat (keutamaan), dan Fiqh Ma’alat (implikasi hukum) bagi memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan kebenaran,” katanya.

Wednesday, August 8, 2018

Kerajaan kena tegas halang LGBT

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
8 OGOS 2018

Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengambil tindakan pantas dan tegas bagi menghalang kempen menghalalkan gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.

Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kempen menuntut hak sama rata golongan itu yang bertentangan dengan agama akan menjadi punca kepada kerosakan institusi sosial lebih besar terhadap masyarakat di Malaysia.

“Benar kata Datin Marina (Mahathir), hari ini mereka bukan minta perkahwinan sejenis tetapi apa akan jadi pada masa akan datang?

“Perkahwinan sejenis di negara-negara lain bermula dari perjuangan menuntut kononnya hak asasi sama rata untuk golongan LGBT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: LGBT bukan minta kahwin sejenis ]

Sebelum ini, Marina berkata, komuniti LGBT di negara ini hanya mahukan kesamarataan dari sudut hak asasi manusia yang terkandung dalam perlembagaan.

Ia termasuk hak mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan dan perlindungan keselamatan tanpa sebarang diskriminasi.

Menurut Noraini, Wanita Umno bersetuju bahawa mana-mana individu di Malaysia tidak pernah dinafikan hak asasi mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

“Isu diskriminasi terhadap golongan LGBT untuk mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan, perlindungan keselamatan dan sebagainya berlaku apabila tuntutan agama masyarakat terutamanya umat Islam di negara ini diambil ringan seolah-olah ingin menghalalkan gaya hidup LGBT,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah negara Islam dari sudut kehidupan dan Perlembagaan, rakyat mesti akur bahawa hubungan sesama jantina itu adalah haram di sisi Islam.

“Maka, untuk menghalalkan golongan LGBT mengamalkan gaya hidup hubungan sesama jantina secara terbuka merupakan satu hak yang berlebihan untuk diminta dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia,” katanya.

Saturday, July 21, 2018

Pemimpin Kerajaan Jahil Perlembagaan Punca Sokong Iktiraf UEC – Dr Khoo Kay Kim

SUARA TV
 Abdul Mursyid Zainuddin
 July 21, 2018
Suara Tanpa Sempadan

 Dr Khoo Kay Kim

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin kerajaan yang berusaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) disifatkan sebagai jahil tentang Perlembagaan Malaysia.

Tokoh sejarah, Professor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, jika mereka memahami tentang Perlembagaan Malaysia sudah tentu usaha untuk mengiktiraf UEC tidak dilakukan.

Katanya, mana-mana pihak tidak perlu menggunakan alasan pengiktrafan UEC oleh negara-negara luar untuk ‘membawa’ ia dalam sistem Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan Perlembagaan.

Apabila disebut bertentangan dengan Perlembagaan membawa maksud mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak sah.

“Kenalah menghormati Perlembagaan negara. Itu wajib. Kalau pemimpin tidak menghormati Perlembagaan mereka telah memberi isyarat yang salah kepada generasi muda. Jangan kita mengajar generasi muda, generasi masa depan tidak menghormati undang-undang negara.

“Fahami Perlembagaan, hayati Rukun Negara. Rukun Negara bukan sekadar jadi sebutan tetapi perlu disematkan di hati, di jiwa. Bila kita menghayati semua ini, jati diri, semangat cintakan Malaysia kuat dan tanggungjawab terhadap negara bangsa teguh.

“Bila semuanya kuat, tidak akan melakukan sesuatu yang merepek, yang boleh meruntuhkan apa yang dipertahankan selama ini. Kalau pemimpin tidak tahu menghormati undang-undang negara, memang susahlah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Khoo berkata, kerajaan jangan melihat penentangan pengiktirafan UEC sebagai satu bentuk prejudis kepada mana-mana kaum tetapi lihat ia sebagai satu penghormatan dalam mempertahankan sistem sebuah negara.

Sambil menyifatkan situasi yang berlaku ini sebagai ‘hasil’ terlalu mengutamakan subjek-subjek yang berkemahiran tinggi seperti sains dan matematik, Khoo mengakui beliau sedih apabila wujud segelintir pemimpin dan generasi muda yang tidak tahu tentang sejarah Malaysia.

Jelasnya, Malaysia yang dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu adalah sebuah negara hebat.

Dalam negara-negara di bawah empayar Birtish, Tanah Melayu adalah tanah jajahannya yang paling kaya, mengatasi India dan Australia, lantaran itu negara ini sering menjadi perhatian dunia.

Malah, dalam sejarah juga tercatat Tanah Melayu pernah menjadi juara badminton dunia dalam tahun 1949.

Tanah Melayu juga pernah mengambil bahagian dalam sukan olimpik sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Tahun 2018 Croatia memasuki Piala Dunia, tapi di mana Malaysia sekarang? Tatkala negara lain berlumba-lumba mengejar kehebatan, kita masih berjuang tentang UEC, tentang bahasa, masih ada pula yang tidak memahami Perlembagaan,” katanya.

Jelas beliau, Singapura yang maju dalam aspek ekonomi, rakyatnya berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik pun, kalau ditanya apa bahasa kebangsaan mereka, jawapan mereka tetap sama iaitu bahasa Melayu.

Itu jelas menunjukkan kemodenan dan status negara tidak boleh dijadikan alasan mengubah jati diri rakyat dan sistem sesebuah negara.

Ditanya apakah harapannya dalam isu UEC, Khoo berkata: “Pemimpin yang berada dalam kerajaan perlu sedar, mereka bukan individu yang dipilih untuk memberi arahan tetapi berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Zaman dahulu, gabenor-gabenor negara dalam surat rasmi mereka akan menggunakan perkataan “I am obedient servant’. Itulah sebenar kedudukan pemimpin dan penjawat awam.

“Anda berkhidmat kepada rakyat, jadi berkhidmatlah sebaik-baiknya dan bukan memberi arahan,” tegasnya. 

MalaysiaGazette

Monday, October 16, 2017

Dobi "Muslim sahaja" : Peniaga, pelanggan boleh memilih - Bekas Ketua Hakim


Selepas pelbagai pihak menyuarakan pandangan terhadap pelaksanaan dobi “mesra Muslim”, kini giliran bekas ketua hakim negara pula tampil memberikan pendapat beliau dari sudut perundangan.

Tun Abdul Hamid Mohamad said menerusi catatan di blognya pada Jumaat lalu berkata, dari segi peruntukan undang-undang adalah tidak menjadi kesalahan kepada mana-mana pengusaha dobi untuk meletakkan papan tanda “Muslim Sahaja”.

“Sepanjang ingatan saya, saya tidak pernah berjumpa satu peruntukan undang-undang di Malaysia yang mengatakan perbuatan itu salah di sisi undang-undang. Tolong tunjuk kepada saya jika ada,” kata beliau yang bersara pada 18 Oktober 2008.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tun Abdul Hamid berkata peruntukan Perlembagaan mengenai kesamarataan yang terkandung dalam Perkara 8 hanya terpakai untuk kerajaan dan bukan individu.

Jelasnya, Klausa (1) mengisytiharkan bahawa setiap orang adalah sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Manakala Klausa (2) pula melarang adanya diskriminasi, antara lain, atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan dalam sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perkara yang tersebut dalan klausa itu.

“Perhatikan bahawa semua larangan itu tidak berkenaan dengan seorang individu.

“Pengusaha laundret adalah seorang ahli perniagaan. Dia boleh memilih untuk berniaga dengan sesiapa yang dia mahu. Dia tidak perlu memberi apa-apa sebab kepada sesiapa,” demikian menurutnya dalam entri tersebut lagi.

Tambahnya, isu mengenai konsep dobi khusus untuk Muslim bukan hanya melibatkan hukum, sebaliknya ia juga mengenai perasaan pelanggan atau bakal pelanggan.

Katanya, seseorang peniaga berhak untuk menentukan konsep perniagaan mereka dalam usaha untuk menarik pelanggan dan jika peniaga itu merasakan kedai untuk “Muslim Sahaja” boleh memajukan lagi perniagaan, maka terserah kepadanya.

Begitu juga dengan pelanggan, mereka mempunyai hak untuk memilih perkhidmatan mana yang mereka mahukan dan memberi keselesaan kepada mereka, ujarnya.

“Jika kebanyakan bakal pelanggannya orang Islam dan mereka tidak akan datang ke kedainya jika mesin yang sama digunakan untuk mencuci basuhan orang bukan Islam biar apa pun sebabnya, apa salahnya jika dia meletakkan tanda itu?

“Kita tidak boleh menyalahkan pengusaha laundret jika pelanggan atau bakal pelanggannya tidak suka mesin yang sama digunakan oleh orang bukan Islam untuk mencuci basuhan mereka.

“Pengusaha laundret adalah penerima akibatnya. Salahkah jika dia cuba mengurangkan kerugiannya dengan berusaha mengelak sebabnya? Mungkin dia sendiri pun merasa geli melihat perkara seperti itu berlaku. Salahkah jika di cuba mengelaknya?,” katanya.

Tun Abdul Hamid yang juga merupakan Ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara turut membuat contoh perbandingan sekiranya pemilik rumah yang mahu menyewakan rumah mereka kepada orang Islam sahaja dan mempamerkan iklan yang sama, adakah ia juga menjadi satu kesalahan?

“Jangan terlalu sensitif terhadap perasaan orang bukan Islam sehingga orang bukan Islam tidak perlu sensitif terhadap perasaan orang Islam. Ini tanggungjawab bersama,” katanya mengakhiri catatan tersebut.

Terdahulu, isu dobi “Mesra Muslim” kembali menjadi topik hangat selepas presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia dalam ceramahnya pada 10 Oktober lalu dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur perhinaan kepada Sultan Johor yang mengecam pemilik sebuah dobi di Muar kerana enggan berurusan dengan pelanggan bukan Islam.

Susulan itu Rabu lalu, Zamihan ditahan dan direman dua hari untuk membantu siasatan berikutan kenyataan kontroversinya, namun pada Sabtu lalu media melaporkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

- mD

Tuesday, January 5, 2016

Jangan salah faham kerjasama dengan gabungan

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
5 JANUARI 2016

Irmohizam Ibrahim

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim menekankan agar rakyat tidak keliru maksud 'kerjasama' dengan 'gabungan' yang dicanang beberapa pihak mengenai hubungan Umno dan Pas.

Menurutnya, soal gabungan tidak wujud langsung lebih-lebih lagi tiada sebarang perbincangan ke arah itu dijalankan.

"Jangan disamakan kerjasama dengan gabungan kerana kita tidak ada lagi bincang soal itu (gabungan). Kita bincang soal kerjasama demi umat Islam dan Melayu. Tak salah kerana ia terkandung dalam Perlembagaan.

"Apa yang penting, kita kerjasama...jaga isu-isu Melayu dan umat Islam. Parti politik sebagai wadah. Tapi yang paling penting sekali asas utama kerajaan dan masyarakat ialah untuk pastikan bahwa isu libatkan agama dan Melayu ini tidak terhakis kerana kita ada Perlembagaan," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 45 peratus tak setuju Pas-Umno kerjasama]

Sejak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menghulurkan tali silaturahim kepada Pas, hubungan kedua parti itu menjadi tumpuan.

Menurut Irmohizam, kerjasama yang terjalin antara Pas dengan Umno itu harus membincangkan cara mengukuhkan lagi umat Islam dan orang Melayu serta cara melawan persepsi keganasan.

"Penting dengan adanya kerjasama itu untuk memastikan umat Islam dapat menangani persepsi keganasan tersebut.

"Saya maksudkan, setiap apa yang berlaku terutama sekali masalah-masalah perpaduan Islam atau Melayu, dasar-dasar ancaman kepada umat Islam, kita dapat tangani bersama sebagai sepakat antara parti-parti yang bertunjangkan Melayu dan Islam," katanya.

Mengulas soal kaji selidik oleh Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendakwa kerjasama Umno-Pas tidak akan memberi manfaat kepada nasib orang Melayu, beliau menyifatkan hasil kajian itu hanya menunjukkan ketakutan IDE.

"Pada saya, kita harus meneliti (hasil kajian IDE) kerana adakalanya, kajian ini mungkin mempunyai objektif-objektif tertentu. Lebih baik ia dijalankan oleh agensi yang bebas seperti universiti kerana universiti digambarkan benar-benar tidak terkongkong dengan mana-mana agenda politik.

"Kita faham IDE ini dibawah kerajaan negeri Selangor dan sudah tentunya mempunyai (kaitan) politik. Sebab itu saya amat berharap setiap kajian itu harus bebas daripada setiap pengaruh politik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Pemimpin Umno sambut kerjasama dengan Pas
KUALA LUMPUR - Umno menyambut baik jika Pas duduk bersama membincangkan pelaksanaan hukum hudud.

Saturday, March 21, 2015

Kepimpinan PAS perlu ditukar - Nizar Jamaluddin

FMT Reporters

PAS didakwa menghadapri krisis pemikiran dan justeru pemimpin yang menampakkan kelemahan perlu ditukar.
ALOR SETAR: Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, PAS perlu melakukan perubahan terhadap kepimpinan parti memandangkan ia menghadapi krisis berkaitan pemikiran pemimpinnya.

“Jika mereka ini ada unsur-unsur mempamer kelemahan, maka perlu diubah, ini hak perwakilan dan ada dalam perlembagaan parti. Ubah pimpinan, sebab pemikiran tu bersama pimpinan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas ke-41 Kawasan Kuala Kedah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai Presiden PAS dengan alasan beliau mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam menghadapi pelbagai situasi.

Ahmad Yakob dilapor berkata, walaupun Perlembagaan PAS memberi ruang untuk sesiapa sahaja memilih calon yang layak bagi menggalas tugas itu, namun sehingga kini keperluan Abdul Hadi menjadi presiden PAS dilihat masih tinggi.

Ditanya apa perlunya bagi PAS untuk terus bersama dengan Pakatan Rakyat, Nizar berkata ianya penting bagi memastikan kedudukan PAS di hati orang bukan Melayu.

“Bila PAS berkeseorangan sepanjang 12 tahun, kita tak dapat tempat di hati pengundi bukan Melayu, tapi bila kita sama Pakatan Rakyat, kita banyak menang di kawasan yang bukan majoriti Melayu,” katanya, lapor Bernama.

Lantaran itu katanya, pendirian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang menegaskan PAS meletakkan perjuangan menegakkan hukuman Hudud sebagai ketetapan yang jauh lebih penting daripada kerjasama pakatan pembangkang itu adalah pendapat peribadi Haron.

Nizar berkata, pada masa ini terdapat dua pemikiran dalam PAS iaitu pemikiran ulama dan pemikiran progresif profesional.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-