Showing posts with label DAP Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label DAP Pulau Pinang. Show all posts

Monday, July 3, 2017

Tindakan DAP campurtangan proses fatwa P Pinang kepada Agong

2 JULAI: PAS Pulau Pinang akan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah campur tangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam proses pewartaan fatwa di negeri itu.                                                                                                                                                
                                                                                                                                                                   Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata PAS negeri konsisten meminta kerajaan negeri menarik balik pekeliling yang menyatakan bahawa keputusan mewartakan sesuatu fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita harap mereka tarik balik (pekeliling itu). Saya harap mereka memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam di Pulau Pinang khususnya dan di Malaysia amnya kerana soal fatwa ini adalah perkara yang tidak patut campur tangan luar berlaku. Isu ini hangat diperkatakan dan sudah lama.

“PAS Pulau Pinang konsisten mendesak. Sampai setakat ini tidak ada apa-apa daripada kerajaan negeri khususnya DAP untuk memohon maaf,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang di Markas Tarbiyyah PAS Pongsu Seribu, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Adun Bertam Shariful Azhar Othman dan Adun Penaga, Datuk Mohd Zain Ahmad.

Pada 10 Februari lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pekeliling itu bercanggah dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 pecahan (3) dan (4).

Beliau berkata enakmen berkenaan tidak menyebut fatwa yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dibawa untuk makluman atau perkenan MMK Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.

PAS Pulau Pinang sebelum ini turut membuat laporan polis mendesak kerajaan negeri pimpinan DAP berhenti mencampuri urusan Jawatankuasa Fatwa Negeri, termasuk membenarkan 4 fatwa yang dikatakan tertangguh diwartakan segera.

Muhammad Fauzi berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan kerajaan Islam (NGI) untuk membincangkan cara dan kaedah yang sesuai bagi menyelesaikan isu itu.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, Jawatankuasa Fatwa sepatutnya menjadi sebuah badan bebas yang tidak memerlukan campur tangan daripada mana-mana pihak.

“Jawatankuasa Fatwa perlu merupakan suatu platform yang bebas. Ini bersesuaian dengan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi apa yang dibuat (campur tangan kerajaan negeri) sedikit sebanyak seakan-akan fatwa yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa boleh dikekang oleh Exco,” katanya.

Monday, February 6, 2017

DAP anti-Islam : Bekas Naib Presiden DAP setuju kenyataan Presiden PAS

 AIDCNEWS
AIDCNews -06/02/17 –Bekas Naib Presiden DAP, Zulkifli Mohd Noor bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Awang yang menegaskan bahawa DAP adalah sebuah parti yang anti-Islam.

“Apa yang Hadi katakan benar bahawa (DAP Pulau Pinang) sebagai anti-Islam dan tidak suka Islam. Bila mereka marah atau hentam PAS, bukan kerana marah PAS, sebaliknya tahu PAS parti Islam, mereka hentam PAS kerana benci PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli yang juga Presiden Parti Altenatif Rakyat (PAP), menyelar sikap pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam dalam DAP di Pulau Pinang yang ‘tutup mata’ dalam isu campur tangan kerajaan negeri dalam proses penfatwaan.

“Pemimpin Islam di dalam DAP dan kerajaan Pulau Pinang, mereka seolah-olah bisu, seolah-olah tidak ada mata, telinga dan mulut.

“Tak boleh bercakap, melihat dan dengar. Inilah pemimpin yang ada iaitu sekadar pak turut, dan sekadar cari makan. Tak pernah berjuang untuk agama, bangsa dan rakyat,” katanya.

Campur tangan kerajaan DAP, yang dipimpin Lim Guan Eng itu juga didakwa bertentangan dengan Seksyen 48 enakmen yang menjelaskan kesemua fatwa yang dikeluarkan di negeri berkenaan perlu dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Isu tentang fakwa, sepatutnya selepas diluluskan di Majlis Fatwa terus sampai ke Yang di-Pertuan Agong. Ini tidak, mereka mahu ia dibentang dan ditapis di peringkat kerajaan negeri.

“Ini menunjukkan jika kerajaan negeri tak setuju maka Yang di-Pertuan Agong pun tidak tahu apa yang difatwakan. Maka ini satu tindakan yang memudaratkan Islam dan tidak menghormati, malah mahu memusnahkan agama Islam di Pulau Pinang.

“Mereka hanya membuktikan mereka suka mengambil tahu tentang agama-agama lain, terutamaya agama Islam, tentang kalimah Allah, tentang fatwa dan sebagainya. Tindak-tanduk pentadbiran mereka jelas sebagai anti-Islam,” tambah Zulkifli.

Saturday, April 30, 2016

Mejar Zaidi sertai DAP, tinggalkan Amanah

Susan Loone
DAP Pulau Pinang mengumumkan kemasukan lapan anggota Melayu baru, dua sebelum ini daripada PAS dan seorang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), yang merupakan sekutu parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow dan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, Wong Hon Wai membuat pengumuman itu hari ini.

Paling menonjol daripada lapan individu itu ialah bekas anggota Tentera Udara Malaysia Mejar Zaidi Ahmad yang sebelum ini menyertai PAS dan Amanah.

Zaidi, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, mula dikenali selepas membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013.

Beliau dipecat daripada tentera udara oleh mahkamah tentera pada tahun 2014 dan selepas itu menyertai PAS. Beliau kemudian meninggalkan PAS untuk menyertai AMANAH tahun lepas, selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PAS.

Zaidi berkata beliau merasakan DAP adalah parti yang lebih sesuai untuknya, sambil menambah "yang paling penting, saya masih dalam HARAPAN".

"Jika penyertaan saya dalam DAP boleh membantu memecahkan persepsi anti-Melayu dan anti-Islam terhadap parti itu, akhirnya ia juga akan memberi manfaat kepada AMANAH, PKR dan HARAPAN secara keseluruhan," katanya.

'Ini adalah sebuah negara yang bebas'

Ditanya sama ada beliau telah memaklumkan kepada pemimpin partinya, iaitu Naib Presiden AMANAH, Mujahid Yusof Rawa, Zaidi berkata:

"Di negara ini, setiap orang mempunyai hak dan kebebasan untuk menyertai mana-mana parti.

"Pemimpin-pemimpin AMANAH juga melakukannya selepas berhenti dari PAS," katanya berseloroh.

Zaidi berkata bagaimanapun, keahliannya di dalam AMANAH akan ditamatkan apabila menandatangani perjanjian dengan DAP.

Ketika dihubungi, Mujahid hanya berkata "Ini adalah sebuah negara yang bebas, AMANAH percaya dalam pilihan bebas.

Sunday, April 24, 2016

Kerajaan negeri lemah, ADUN Pulau Pinang sukar bantu rakyat

FMT Reporters

Sistem pentadbiran yang lemah kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP adalah punca mereka tidak dapat membantu golongan miskin.
PETALING JAYA: Sistem pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP yang lemah adalah punca bantuan kepada golongan miskin tidak dapat disampaikan.

Demikian disuarakan oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan yang kecewa apabila usul mereka terhadap pembangunan rohani rakyat negeri itu asyik ditolak.

ADUN Penanti, Dr Norela Ariffin mendedahkan usulnya di DUN telah ditolak secara mengejut sebanyak 13 kali sejak tahun 2013.

“Saya tidak tahu kenapa usul saya ditolak tetapi ia tidak akan membuatkan saya berhenti untuk bersuara demi orang ramai yang menghadapi banjir kilat dan masalah gangguan elektrik di kawasan luar bandar.

“Peruntukkan yang diberikan bagi kawasan saya terlalu kecil untuk saya suarakan masalah ini. Saya perlu memperbetulkan masalah ini dengan membawa usul berkaitan namun ia ditolak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.

Sementara itu, ADUN Berapit, Ong Kok Fooi juga kesal apabila tidak diberikan penglibatan penuh sebagai salah seorang penggubal undang-undang di Pulau Pinang.

Menurutnya, beliau telah bekerja siang dan malam selama lapan tahun dan isu-isu yang diketengah seperti kesesakan lalu lintas dan perancangan yang kurang baik kerajaan tempatan tidak pernah diberi perhatian.

“Saya telah menyuarakan rungutan orang ramai di kawasan DUN saya tetapi amat menyedihkan apabila tiada apa yang telah dilakukan,” ujarnya.

Saturday, December 27, 2014

DAP Selangor, Pulau Pinang lancar pusat pengumpulan sumbangan banjir

KUALA LUMPUR, 27 DIS: DAP Selangor dan Pulau Pinang mewujudkan pusat sehenti bagi memudahkan kerja-kerja penyelarasan sumbangan mangsa banjir.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Yeo Bee Yin dalam satu kenyataan memaklumkan, orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan boleh berbuat demikian di tiga lokasi disediakan bermula esok, Ahad, 28 Disember sehingga Selasa, 30 Disember 2014, iaitu di :

1. Ibu pejabat DAP Selangor,
No. 24, Jalan 20/9, Paramount Garden,
46300 Petaling Jaya.
Masa: 10.30 pagi hingga 4.00 petang

2. Dewan Orang Ramai Kg Baru Balakong,
Jalan KB 2 / 12a, Kampung Baru Balakong,
43200, Seri Kembangan,
Masa: 8:00 pagi hingga 10.00 malam

3. Pusat Khidmat Kinrara
5-2 Jalan Cenuk 2, Off Jalan Puchong Bt10.
Masa: 10.00 pagi hingga 5:00 petang

Bee Yin yang juga ADUN Damansara Utama memberitahu, orang ramai digalakkan menyumbangkan makanan kering, air bersih, ubat-ubatan asas, selimut, pakaian danampin pakai buang.

“Bagi mereka yang ingin menderma wang tunai, kotak derma akan disediakan di pusat pengumpulan, manakala cek sumbangan boleh dibuat atas nama ‘Tabung Dana Kecemasan’.

“Kami berharap rakyat Selangor yang bermurah hati akan menderma dan membantu rakyat Malaysia yang memeerlukan,” kata Bee Yin.

Sementara itu di George Town, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow memberitahu, kutipan derma dan sumbangan barangan akan diadakan esok, Ahad, 28 Disember 2014 di lokasi berikut :

Wisma DAP Pulau Pinang,
No. 3 Jalan Rangoon,
10400 George Town, Pulau Pinang
Masa: 12:00 tengah hari hingga 5.00 petang

Meurut Chow, antara barangan yang diperlukan adalah makanan berupa beras, gula, biskut, mi segera, selain lampin bayi dan dewasa, tuala wanita, selimut, susu tepung, ubat-ubatan dan pembalut luka.

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kewangan digalakkan berbuat demikian menerusi akaun bank 8881002244649 (AMBANK) atas nama ‘Tabung Dana Kecemasan’.

Dalam pada itu Chow memberitahu, delegasi diketuai Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan ke Kota Bharu esok untuk menyampaikan bantuan secara peribadi dan menyerahkan sumbangan keperluan asas bernilai RM10,000. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-