Showing posts with label Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM). Show all posts
Showing posts with label Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM). Show all posts

Friday, August 31, 2018

SST: Tiada perbezaan ketara untuk perkhidmatan

MyMetro
Mutakhir
BERNAMA

PELAKSANAAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai Sabtu ini dijangka tidak membawa perbezaan ketara bagi harga perkhidmatan.

Pakar cukai, Norsa’adah Ahmad berkata, ini kerana cukai enam peratus yang dikenakan untuk perkhidmatan seperti hotel, insurans dan takaful serta penyediaan makanan dan minuman adalah sama dengan nilai cukai yang dikenakan semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.

“Sepatutnya (harga perkhidmatan) tidak banyak berbeza dengan yang sebelum ini… kebanyakannya akan kekal seperti biasa.

“Berbanding kesannya (SST) terhadap harga barang, yang menjadi tumpuan orang ramai mahu lihat sama ada harga turun atau naik, harga perkhidmatan dijangka tidak mendatangkan kesan ketara,” katanya kepada Bernama.

Namun, Norsa’adah yang juga anggota Institut Akauntan Malaysia (MIA) tidak menolak kemungkinan berlaku caj berganda pada harga makanan dan minuman yang dijual di sesebuah restoran.

Menurutnya, harga sesuatu produk seperti minuman tin dikenakan cukai jualan 10 peratus pada peringkat pengeluaran dan tidak mustahil bagi pihak restoran untuk menaikkan harga bagi menampung kos cukai perkhidmatan.

Antara perkhidmatan yang turut dikenakan SST adalah kelab malam, kelab persendirian, kelab golf, kasino, loteri, telekomunikasi, televisyen berbayar, guaman, perakaunan, ejen kastam, arkitek, jurutera, penilai, keselamatan, parkir, kereta sewa, pengiklanan, perkhidmatan domestik, perkhidmatan teknologi maklumat, kad kredit dan elektrik.

Penggiat industri perhotelan turut menjangka tiada kenaikan harga bilik dengan pelaksanaan SST kecuali kenaikan biasa pada musim puncak seperti cuti sekolah disebabkan permintaan tinggi.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) Shaharudin M Saaid berkata, sekiranya mekanisme pelaksanaan cukai itu sama seperti SST sebelum ini, pihaknya menjangka kadar bayaran bilik lebih murah.

“Sekiranya mekanisme sama seperti SST 1.0 sebelum GST dilaksanakan, harga bilik sepatutnya jadi lebih murah kerana SST 1.0 tidak mengenakan enam peratus cukai pada caj perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya, semasa GST dilaksanakan, cukai enam peratus itu turut dikenakan ke atas caj perkhidmatan yang menyebabkan kenaikan harga bilik dan perkhidmatan lain.

Bagaimanapun, Shaharudin berharap mekanisme pelaksanaan SST yang baharu itu akan segera dijelaskan kepada pihak hotel untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Kami sedang menunggu penjelasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 10:14 AM

Friday, August 10, 2018

Kastam sahkan bayaran balik GST kurang RM19b


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengakui tuntutan bayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion tidak dibayar sepenuhnya.

Sebaliknya, kata ketua pengarahnya, T Subromaniam, dari April 2015 hingga penghujung Mei 2018, hanya RM63.9 bilion bayaran yang telah dipindahkan.

"JKDM ada menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan ini untuk tujuan pembayaran balik GST dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan kepada Tabung Amanah.

"Oleh itu, pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan berkenaan, tambahnya, dipengerusikan oleh ketua setiausaha perbendaharaan negara.

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa bahawa RM18 bilion daripada RM19.4 bilion bayaran balik GST 'dirompak' pentadbiran kerajaan BN.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah menafikan sebarang dana diseleweng dan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pagi ini.

Tuesday, July 31, 2018

Syarikat berdaftar GST akan dipindahkan kepada SST mulai esok

Kosmo Online/
Terkini/
31 Julai 2018 8:54 PM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia dijangka memindahkan syarikat yang berdaftar di bawah rejim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai esok dan akan memaklumkan kepada mereka melalui e-mel, kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata, jabatan itu telah mengenal pasti antara 70,000 dan 80,000 syarikat pembuatan yang akan disenaraikan di bawah SST 2.0 daripada 472,000 syarikat yang disenaraikan semasa rejim GST pada kadar enam peratus.

"Semasa proses pelaksanaan GST, selain pengilang, pemborong dan peruncit juga perlu mendaftar dengan sistem cukai tersebut.

"Bagaimanapun, dengan peralihan kepada sistem cukai SST ini, hanya pengilang dan penyedia perkhidmatan yang mempunyai nilai ambang RM500,000 setahun akan dikenakan cukai itu," katanya kepada pemberita pada taklimat 'SST Reborn! Transition from GST to SST' di sini hari ini.

Subromaniam berkata, setakat ini, jabatan itu telah melatih kira-kira 5,000 pengeluar dan akan lebih giat sebelum cukai itu dilaksanakan pada 1 September tahun ini.

Kementerian Kewangan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata, untuk memastikan peralihan yang lancar daripada GST kepada SST, jabatan itu perlu melaksanakan program bimbingan walaupun sebelum rang undang-undang itu diluluskan.

Katanya, jabatan itu juga akan memuat naik 6,400 barangan yang akan dicadangkan untuk cukai jualan pada minggu depan.

Mengenai penalti kepada yang gagal membayar cukai, beliau berkata, ia telah "ditambah baik".

"Dahulu, jika disabit kesalahan, hukuman yang dikenakan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, kini pihak yang pertama kali membuat kesalahan itu akan didenda antara 10 hingga 20 kali jumlah cukai atau sehingga lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Bagaimanapun, jika kesalahan biasa, jangan bimbang kerana kami bukan jenis cengkam orang," katanya. 

- Bernama

Thursday, July 19, 2018

SST: Teh tarik tak naik harga

MyMetro
Mutakhir

Asmah Rusman dan Seri Nor Nadiah Koris
cnews@nstp.com.my

GAMBAR hiasan

MINUMAN kegemaran rakyat Malaysia iaitu teh tarik tidak mengalami kenaikan harga sekiranya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan September ini selepas produk susu dan teh dikecualikan cukai berkenaan.

Selain susu dan teh barangan keperluan asas lain seperti sardin, kopi, sos cili, sos tomato, bijirin, dadih, sri kaya, marjerin, biskut, roti dan kek turut diberikan pengecualian cukai SST.

Senarai itu dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Sri T Subromaniam dalam sidang media pada sesi taklimat penerangan pelaksanaan SST bersama industri di Auditorium JKDM Kuala Lumpur, Kelana Jaya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa senarai penuh barangan dan perkhidmatan itu sudah dimuat naik dalam portal Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan ditukarkan kepada portal SST selepas ini.

Menerusi senarai berkenaan, bahan mentah yang menjadi keperluan utama pengguna termasuk lembu, kambing, ikan dan ayam selain sayuran turut diberikan pengecualian.

Subromaniam berkata, penetapan kadar cukai SST terhadap barangan dan perkhidmatan sememangnya mengambil kira kepentingan pengguna khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Kadar cukai SST juga ditentukan pada kadar sifar, lima dan 10 peratus bagi barangan manakala enam peratus bagi perkhidmatan,” katanya.

Pengecualian itu turut menyenaraikan pelbagai bahagian alat ganti kereta seperti aksesori, pam bahan api dan injap.

Di bawah kategori itu turut disenaraikan pembelian motosikal kurang daripada 250 cc dan basikal.

Pengecualian cukai SST juga diberikan kepada golongan nelayan bagi pembelian bot selain pembelian traktor dan baja oleh petani yang mana sebelum ini dibebani dengan GST.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam sidang media di Parlimen berkata, SST merangkumi 38 peratus daripada bakul Barangan dan Perkhidmatan CPI (Indeks Harga Pengguna) manakala GST merangkumi lebih 60 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 7:49 PM

Friday, June 1, 2018

Peniaga, pengusaha restoran bersedia dengan GST kadar sifar

Bernama

Mesin wang yang telah ditetapkan harga selepas GST juga turut diselaraskan semula oleh kebanyakan peniaga dan pengusaha kedai. - BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Berikutan pengumuman kerajaan untuk mengurangkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bermula hari ini, peniaga dan pengusaha kedai sudah mula membuat persiapan sejak minggu lalu.

Tinjauan di sekitar ibu kota mendapati selain menukarkan label harga barang dan makanan yang dipamerkan di kedai, mesin wang yang telah ditetapkan harga selepas GST juga turut diselaraskan semula oleh kebanyakan peniaga dan pengusaha kedai.

Pemilik kedai hardware Frankie Thong (he), 51, berkata dia telah mula menggantikan label harga baharu terhadap barang-barangnya sejak minggu lepas.

"Oleh kerana terlalu banyak barangan kecil di kedai saya, saya terpaksa mengarahkan pekerja untuk mencabut semua label harga yang dilekatkan di setiap barang dan kemudian menggantikannya dengan harga asal yang akan bermula pada 1 Jun nanti.

"Kami melakukan sedemikian awal supaya tidak kelam kabut dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan nanti," katanya kepada Bernama.

Pemilik Butik Sharon Ho, 37, berkata pihaknya sudah mula menjalankan promosi enam peratus diskaun kepada pelanggan-pelanggannya sejak minggu lepas sebagai persediaan menghadapi GST kadar sifar.

"Kami menggunakan langkah ini bagi menarik lebih ramai pelanggan dan memberi peringatan kepada mereka supaya kadar GST sifar akan bermula tidak lama lagi," katanya.

Pengurus restoran Daem Mohamad, 42, berkata pihaknya bersedia untuk memulangkan semula mesin wang yang dibekalkan oleh Jabatan Kastam Diraja (Kastam) ketika GST enam peratus mula dijalankan sejak tiga tahun lepas.

"Kami sudah mempunyai mesin wang sendiri yang tidak mempunyai kadar GST dan sekiranya Kastam tidak datang untuk mengambil balik, kami akan simpankannya dan mengeluarkan mesin wang kami untuk mengira bil pelanggan mulai esok," katanya.

Namun demikian, ada dalam kalangan peniaga tidak berpuas hati kerana pihak kerajaan hanya mengumumkan kadar penurunan itu menerusi media massa dan tidak mempunyai surat 'hitam putih' daripada pihak berkuasa kepada mereka.

Pemilik restoran Rubiah Suparman, 71, berkata pihak berkuasa seharusnya mengeluarkan notis kepada peniaga-peniaga dan pengusaha restoran tentang penurunan kadar GST itu meskipun pengumuman telah dilakukan menerusi media massa.

"Kami tidak tahu langkah seterusnya seperti penyelarasan harga ataupun menukar mesin wang kerana tiada notis daripada kementerian dan pihak berkuasa berkaitan.

"Kami terpaksa membuat penyelerasan mengikut pemahaman kami dan mendapatkan pandangan daripada pekedai-pekedai lain tentang harga dan mesin mengira wang itu kerana tiada arahan untuk berbuat demikian dan GST kadar sifar pun sudah mahu bermula esok (Jumaat)," katanya.

 -- Bernama

Tuesday, May 10, 2016

GST beri impak positif, tambah RM12.81 bilion dikutip

Bernama
Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) berjaya memungut hasil cukai tidak langsung sebanyak RM27.31 bilion sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sejak 1 April tahun lalu sehingga 8 Mei lalu.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata jumlah menunjukkan pertambahan RM12.81 bilion berbanding kutipan dibuat mengikut sistem lama, Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST.

"Perlaksanaan GST juga memberi kesan positif terhadap hasil dan ekonomi negara selain impak terhadap fungsi jabatan," kata Khazali ketika sidang media khas sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam ke-79 di Kangar, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Matrang Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Abdul Rahman Othman, Timbalan Ketua Pengarah (GST) Datuk Subromaniam Tholasy dan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Datuk Zulkifli Yahya.

Khazali berkata bagaimanapaun berkata masih terlalu awal untuk menilai sistem GST itu kerana baru setahun dilaksanakan namun sistem tersebut didapati amat positif.

"Sistem GST yang diguna pakai berjaya menstabilkan aliran ekonomi negara, belum ada tanda negatif malah pemilik perniagaan dan syarikat juga semakin memberikan kerjasama baik dalam melaksanakan GST.

Ini bermakna tahap kesedaran penggiat perniagaan termasuk orang ramai bertambah baik bermakna mereka memahami dan boleh menerima sistem tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain Khazali berkata jabatan itu menubuhkan satu skuad khas bagi menangani kegiatan tonto dan akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Katanya penubuhan skuad itu juga bertujuan menambahbaik mutu perkhidmatan dan keberkesanan penguatkuasaan JKDM khususnya dalam melaksanakan operasi-operasi tertentu.

Skuad khas terdiri daripada 30 anggota terpilih itu akan dilatih secara intensif oleh pasukan polis bermula Julai ini, kata Khazali yang menambah tumpuan utama mereka ialah Lembah Kelang dan Putrajaya.

Beliau berkata JKDM merancang mengembangkan skuad berkenaan ke negeri-negeri secara berperingkat.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-