Showing posts with label Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Show all posts
Showing posts with label Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Show all posts

Tuesday, December 27, 2016

BR1M, Dasar Gaji Minuimum bantu capai objektif ekonomi negara - Abdul Rahman

Datuk Abdul Rahman Dahlan (Gambar fail Bernama)
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah sesuatu yang haram atau rasuah atau menyalahi undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata program pemindahan wang secara terus seperti BR1M adalah perkara biasa di berpuluh-puluh negara lain di seluruh dunia.

"Sungguh mengecewakan apabila pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad terus berkeras menyatakan bahawa BR1M adalah rasuah. Kali ini, Dr Mahathir mendakwa BR1M menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Selain BR1M, katanya, Dr Mahathir juga mengkritik Dasar Gaji Minimum dan perbuatan itu merupakan penghinaan terhadap berjuta-juta rakyat Malaysia yang mendapat manfaat daripada dasar itu setiap tahun.

"Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir merupakan penyokong kuat BR1M sebelum ini. Adakah Dr Mahathir menuduh mereka (Muhyiddin dan Mukhriz) juga terlibat dengan rasuah?.

"Walaupun dasar kerajaan tidak habis-habis diserang, kerajaan akan terus melaksanakan dasar dan strateginya seperti BR1M, Dasar Gaji Minimum dan dasar lain termasuk dasar mengenai Bumiputera yang tegas, tetapi adil," kata beliau.

Abdul Rahman berkata dasar yang dilaksanakan kerajaan akan terus memacu pertumbuhan Malaysia serta memastikan tiada rakyat yang ketinggalan.

Oleh itu, Barisan Nasional (BN) tidak akan memohon maaf apabila ia menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih adil dan teguh, katanya.

Menurutnya BR1M adalah langkah, yang antara lain, bertujuan untuk membantu mengagihkan semula cukai yang diterima daripada kumpulan berpendapatan lebih tinggi kepada isi rumah yang berpendapatan bawah 40 peratus.

Beliau berkata ia adalah suatu dasar yang digubal untuk memindahkan kekayaan negara kepada kumpulan B40 (isi rumah berpendapatan rendah).

"Dasar Gaji Minimum pula bertujuan memastikan gaji berpatutan diberi kepada pekerja yang dibayar upah paling rendah di negara ini. Ia juga boleh membantu dengan berkesan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja bukan rakyat Malaysia dan pada waktu sama, memberi maruah kehidupan kepada pekerja peringkat paling bawah.

"Dasar seperti ini menjadi sebahagian daripada Program Transformasi Negara kita yang akan membolehkan Malaysia mencapai objektif utama yang amat penting bagi kesejahteraan negara kita," katanya.

Abdul Rahman berkata BR1M dan Dasar Gaji Minimum telah membantu usaha kerajaan mengimbangkan semula ekonomi serta memakmurkan ekonomi domestik.

Ia juga membantu melindungi Malaysia daripada kemeruapan ekonomi global dan menjadikan ekonomi Malaysia lebih teguh, katanya.

"BR1M membantu usaha terancang kita untuk mengagihkan kembali pendapatan serta merangsang ekonomi luar bandar.

"Walaupun mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan dan kejatuhan harga komoditi global, Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) meningkat kepada 4.3 peratus pada suku ketiga. Ini menunjukkan bahawa usaha kita berhasil," katanya.

Abdul Rahman berkata dasar itu turut membantu menambah baik kesetaraan pendapatan.

Dengan memetik statistik Unit Perancang Ekonomi (EPU), beliau berkata median pendapatan kasar bulanan isi rumah rakyat Malaysia bertambah kepada RM4,585 pada 2014 daripada RM2,830 pada 2009, meningkat sebanyak RM1,755 atau pertumbuhan 62 peratus dalam tempoh lima tahun.

"Pertumbuhan ini jauh lebih tinggi berbanding tempoh lima tahun dari 1984 hingga 1989 ketika pentadbiran Dr Mahathir, di mana pendapatan median hanya berkembang sebanyak RM95 atau 13.5 peratus.

"Bagi isi rumah Bumiputera, pendapatan median berkembang lebih pantas daripada purata kebangsaan dan mencatat pertumbuhan sebanyak 66 peratus antara 2009 dan 2014, dari RM2,531 kepada RM4,214 sebulan," katanya.

Abdul Rahman berkata peningkatan pendapatan median itu dicatat dalam tempoh lima tahun pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding peningkatan RM96 (pertumbuhan sebanyak 16.5 peratus) antara 1984 hingga 1989 semasa pentadbiran Dr Mahathir.

"Malah, ia juga mengatasi pendapatan media isi rumah Bumiputera sebanyak RM1,112 bagi keseluruhan tempoh 18 tahun antara 1984 hingga 2002 semasa Dr Mahathir berkuasa. Kejayaan dasar kerajaan sejak 2009 juga terpamer melalui Koefisien Gini Malaysia, yang mengukur kesetaraan pendapatan.

"Lebih rendah koefisien ini bermakna lebih rendahlah kadar ketaksamaan pendapatan," katanya.

(Koefisien Gini, angka di antara '0' dan '1', digunakan secara meluas, dan merupakan suatu ukuran mudah dan berkesan mengenai ketaksamaan. Nilai '0' menunjukkan kesetaraan lengkap, manakala '1' menunjukkan ketaksamaan lengkap.)

Abdul Rahman berkata bagi tempoh 2009 hingga 2014, nisbah Gini bagi seluruh Malaysia menurun daripada 0.441 kepada 0.401 - penurunan sebanyak 0.40.

"Ini merupakan penambahbaikan yang lebih besar berbanding penurunan sebanyak 0.21 dari 1984 hingga 2004, apabila kadarnya ialah 0.462. Penambahbaikan mengagumkan juga terpamer dalam segmen Bumiputera dan dalam merapatkan jurang perbezaan di antara bandar dan luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, October 25, 2016

Kerajaan tidak pernah tipu data, kata Najib

FMT Reporters : 

Najib yakin majoriti rakyat akan menyokong kerajaan sekiranya mereka menyemak kebenaran sesuatu berita.
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak berkata pentadbirannya tidak pernah memanipulasi data dan statistik bagi mengelirukan orang awam, dan berserah kepada rakyat bagi menentukan kebenaran.

“Saya sentiasa mengingatkan rakan-rakan dalam kabinet bahawa kita mesti mengutamakan kebenaran dan hak. Bukan memanipulasi fakta untuk kepentingan diri dan kumpulan yang kecil,” kata perdana menteri seperti dipetik Bernama, dalam ucapan yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2016 malam semalam.

Seminar tersebut bertemakan “fiqh tabayyun” atau menyemak asas kebenaran, dan dianjurkan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) yang dipengerusikan Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.

Najib berkata perkara sama tidak dilakukan oleh pengkritik kerajaan.

“Mereka beranggapan kebenaran adalah milik eksklusif mereka semata-mata… apabila diberikan hujah balas, mereka menganggapnya sebagai ‘propaganda’ kerajaan, malah menuduh kita setaraf Joseph Goebbels dan Hitler,” kata Najib tanpa menyebut siapa yang dimaksudkan.

Bagaimanapun ia dipercayai ditujukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang bulan lalu membandingkan penyokong Najib kepada Hitler dan pegawai propagandanya Goebbels.

Najib yakin majoriti rakyat akan menyokong kerajaan sekiranya mereka menyemak kebenaran sesuatu berita.

“Berlandaskan fitnah, pembohongan dan hasutan, Malaysia ini sudah bankrap dan muflis entah untuk kali yang ke berapa. Faktanya, pembentangan Bajet 2017 memberi gambaran sebenar bahawa ekonomi Malaysia masih kukuh, utuh dan kuat…yang bankrap dan muflis sebenarnya adalah kelompok kecil yang lahap dan haloba kuasa,” kata beliau.

Jumaat lepas, Najib membentangkan bajet bernilai RM260.8 bilion, bagaimanapun ia diselar sebagai tidak realistik oleh wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat ketika ucapannya.

Friday, April 15, 2016

Azalina: Jangan lagi terpedaya tuduhan anti-Najib

Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap rakyat semakin jelas berhubung isu 1MDB tidak lagi terpedaya dengan tuduhan golongan yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya kenyataan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir semalam bahawa sumbangan derma kepada Najib memang datang dari negara itu, menunjukkan apa dicanang pembangkang dan kumpulan Deklarasi Rakyat selama ini adalah tidak benar.

Beliau berkata sebelum ini, ramai yang mempertikaikan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa wang derma itu datang daripada Arab Saudi, bukannya daripada 1MDB.

Namun, katanya, kumpulan Deklarasi Rakyat terus mengelirukan rakyat dengan menuduh perdana menteri terlibat menyeleweng dana 1MDB.

"Terbaru, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut membuktikan yang perdana menteri tidak terlibat dalam apa-apa salah laku dalam urusan syarikat 1MDB. Jadi siapa yang berbohong selama ini?" katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azalina berkata bulan lalu, Australian Broadcasting Corporation (ABC) turut mendedahkan mengenai surat daripada keluarga diraja Arab Saudi dengan menyatakan derma yang diberikan sebagai hadiah atas usaha Najib mempromosikan Islam serta memerangi keganasan dan ekstremisme, termasuk melancarkan Gerakan Kesederhanaan Global.

Pendedahan itu bagaimanapun dilaporkan secara berat sebelah oleh Wall Street Journal (WSJ) yang tidak henti-henti menyerang perdana menteri, katanya.

Ketika berckap kepada wartawan Malaysia di Istanbul hari ini, Menteri Luar Arab Saudi itu dipetik sebagai berkata: "Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan."

Mohamed Apandi pada 26 Jan lalu, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd., dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
- Bernama

Wednesday, March 9, 2016

Ketirisan terlalu kerap, tiba masa OSA dikaji, kata Azalina

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tiba masanya Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dikaji semula susulan kekerapan berlakunya ketirisan rahsia kerajaan.Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac, 2016.

Sudah tiba masanya Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dikaji semula susulan kekerapan berlakunya ketirisan rahsia kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang bertanggungjawab hal ehwal Parlimen berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan muktamad pihak eksekutif.

"Kebiasaannya, peruntukan dalam suatu undang-undang akan dikaji apabila mencapai suatu tempoh masa tertentu.

"Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara merasakan sudah tiba masanya peruntukan berkenaan hukuman dalam OSA dikaji semula selaras dengan perkembangan semasa penyebaran maklumat dalam dunia tanpa sempadan, serta kekerapan berlakunya ketirisan rahsia kerajaan pada masa kini," katanya.

Azalina berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan status kajian semula akta berkenaan yang bertujuan memastikan kerahsiaan maklumat kerajaan dipelihara, serta bila ia dijangka akan dibentangkan di Parlimen.

"Apa-apa cadangan pindaan kepada OSA adalah tertakluk kepada keputusan dasar yang diputuskan pihak eksekutif," kata Azalina. – 9 Mac, 2016.
- See more at: http://www.themalaysianoutsider.com/bahasa/article/ketirisan-terlalu-kerap-tiba-masa-osa-dikaji-kata-azalina#sthash.XIvT6Qfr.dpuf

Friday, January 22, 2016

Dr Wee Ka Siong nafi umum keputusan berhenti biasiswa JPA

Dr Wee meminta semua pihak jangan menganggap bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berhenti mengagihkan dana terhadap semua biasiswa. Foto fail TRP
KUALA LUMPUR, 21 Januari:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan bahawa beliau ada mengesahkan atau mengumumkan untuk menghentikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Dalam cerita bahawa saya mengesahkan bahawa kerajaan akan ditutup sementara kepada biasiswa JPA< adalah tidak betul, laporan juga memetik di luar konteks, tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi miliknya, beliau mendakwa

“Dari awal lagi, saya tidak mengumumkannya atau mengesahkan berita itu.”

Sebelum itu, Dr Wee yang dipetik laporan MStar Online meminta semua pihak jangan menganggap bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berhenti mengagihkan dana terhadap semua biasiswa.

“Apabila berita JPA menghentikan biasiswa telah tersebar, ia menyebabkan keadaan panik,” beliau dipetik berkata demikian kepada pemberita di Wisma MCA hari ini.

Sebaliknya, beliau mengulangi bahawa sekarang, hanya mereka yang menerima bursari pra-universiti yang terjejas.

“Jangan heret skim lain ke dalam perkara ini,” tegas beliau.

Menurut laporan MStar online itu lagi, Dr Wee berkata JPA masih belum membuat pengumuman mengenainya.

“Pertama, anda tidak mempunyai bukti. Seterusnya, saya tidak menerima sebarang aduan seperti itu. Saya hanya boleh menyatakannya apabila saya menerimanya,” katanya seperti yang dilaporkan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Dr Wee telah membawa perkara itu ke Kabinet pada Rabu selepas penerima biasiswa bursari pra-universiti mengadu bahawa masih belum menerima afidavit kewangan daripada JPA.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2016/01/21/dr-wee-ka-siong-nafi-umum-keputusan-berhenti-biasiswa-jpa/#ixzz3xtnyvTeY

Wednesday, November 18, 2015

Penjelasan Yapeim tidak bermakna bagi rakyat

ATIRAH HASLI
18 NOVEMBER 2015
Rafizi

KUALA LUMPUR - Penjelasan yang diberikan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) berhubung dana yang digunakan menteri tidak akan meredakan kemarahan rakyat.

Ini kerana, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), Rafizi Ramli persoalan sekarang bukan dari mana wang itu datang sebaliknya ke mana dana itu dibelanjakan.

Kata Rafizi lagi, sebagai salah sebuah yayasan kebajikan orang miskin, Yapeim mesti sentiasa mengambil pendekatan yang betul.

Menurutnya lagi, setiap sen yang disumbangkan oleh orang ramai seharusnya disalur terus kepada orang miskin sebelum dibelanjakan oleh Yapeim sendiri.

Ditanya mengenai tindakan saman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Rafizi berkata, itu merupakan hak Jamil Khir untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Apabila yayasan ini dilihat boros dan membelanjakan wang secara berlebih-lebihan. ia sudah jadi soal moral. Sekarang ini, Jamil Khir ingin mengambil jalan mahkamah dan undang-undang, itu hak dia.

"Tetapi dia masih tidak dapat jawab soal moral yang dikemukakan oleh Akmal (Pengarah Strategi Now, Akmal Nasir) dan juga rakyat," katanya ketika ditemui Sinar Online di pekarangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN : Yapeim ambil tindakan]

Semalam, Sinar Harian melaporkan Yapeim telah mengeluarkan sejumlah RM 453 juta bagi tujuan program pembangunan sosioekonomi dan dalam tempoh tersebut, sumbangan amal jariah melalui skim pemotongan gaji dan skim pemotongan lain hanya berjumlah RM 334 juta.

Sementara itu, katanya, sejumlah RM 118 juta lagi adalah jumlah penambahan dari Dana Perniagaan Yapeim.

Sunday, November 15, 2015

Sekarang susah nak 'cakap atau tegur' menteri2 kita......... yang pasti 'saman' akan menimpa anda........

Jumpa di mahkamah, Jamil Khir beritahu pengarah NOW

OLEH DIYANA IBRAHIM
Published: 15 November 2015 4:42 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sekiranya Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir gagal berbuat demikian, maka peguamnya akan menghantar surat saman selewat-lewatnya Khamis depan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 15 November, 2015.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi tempoh 2 hari kepada Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir untuk menarik kembali kenyataan dan meminta maaf kepadanya berhubung tuduhan salah guna wang anak yatim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya ketua penerangan PKR Johor Baru itu gagal berbuat demikian, maka peguamnya akan menghantar surat saman selewat-lewatnya Khamis depan.

Hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini bagi membuat laporan polis, Jamil mendakwa Akmal membuat pertuduhan peribadi yang bersifat jahat terhadapnya.

"Tuduhan ini amat serius saya memandang ia menjatuhkan kredibiliti dan integriti saya selaku menteri di jabatan perdana menteri.

"Dan saya mengadakan laporan polis serta mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang kepada pengarah NOW yang menujukan fitnah jahat dan tuduhan yang amat keji terhadap saya selaku menteri," katanya kepada pemberita di hadapan IPD Putrajaya hari ini.

Laporan polis dan tindakan undang-undang itu sebagai reaksi Jamil terhadap Akmal yang mendakwa berlakunya salah guna wang anak yatim di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) sebanyak setengah juta dalam lawatan luar negara dan rombongannya tahun lepas.

"Saya akan jawab di mahkamah segalanya, jadi saya akan jumpa kamu di mahkamah," katanya merujuk kepada Akmal.

Akmal sebelum ini pada sidang medianya mendedahkan Yapeim menggunakan wang daripada tabung anak yatim bagi membiayai perbelanjaan seorang menteri dan isterinya serta rombongannya di Amerika Syarikat (AS) pada Mei 2014.

Beliau mendakwa, walaupun program itu bertujuan untuk "pemantapan dan pemerkasaan" Kelab Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (Santun) Yapeim, namun ia bersifat suka ria dan langsung tiada amal jariah.

Katanya, rombongan menteri terbabit turut bermain golf dan mengunjungi pusat beli-belah “upscale outlet” barangan berjenama yang terletak di Washington sebanyak 4 kali.

Apabila ditanya apakah beliau bersedia menerangkan penggunaan salah guna wang terhadap pencarum Yapeim sepertimana dituntut Akmal Jamil mengulangi jawapannya dengan berkata: "Saya akan jelaskan di mahkamah."

Sementara itu, apabila ditanya pemberita apakah beliau akan turut bertindak menyaman portal The Malaysian Insider sepertimana kenyataan terdahulu dengan ringkas Jamil berkata, perkara itu akan diteliti peguamnya.

Peguam yang mewakili Jamil, Adenan Seman Abdullah berkata pihaknya akan menghantar notis tuntutan kepada Akmal esok.

Adenan berkata, tindakan undang- undang anak guamnya itu merupakan satu tindakan wajar memandangkan tuduhan Akmal adalah bersifat peribadi.

"Sekarang ini Akmal menuduh secara terus anak guam saya yang menggunakan wang, tapi sebenarnya segala atur cara dan program adalah di bawah Yapeim," katanya.

Awal hari ini Akmal juga hari ini turut bertindak membuat laporan polis terhadap Jamil dan mahu polis menyiasatnya atas dakwaan salah guna dana anak yatim. – 15 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jumpa-di-mahkamah-jamil-khir-beritahu-pengarah-now#sthash.uXBPCzfC.dpuf

....Dah sama-sama buat laporan polis pulak dahhhhhh......

Isu salah guna wang YaPEIM: Jamil Khir dan Akmal akan buat laporan polis
Jamil Khir telah menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar. - Foto arkib TRP/ Syahirah Roslan

KUALA LUMPUR, 15 November:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan membuat laporan polis hari ini, berhubung isu penyalahgunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Laporan polis juga akan dibuat oleh Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (NOW), Akmal Nasir di Balai Polis Dang Wangi, hari ini, berhubung isu sama.

Kelmarin, Akmal dilaporkan sebagai mendakwa, wang anak yatim sebanyak RM410,978.56 digunakan untuk membiayai perjalanan menteri peringkat tertinggi Umno ke Amerika Syarikat, dengan sebahagian daripada jadual adalah membeli-belah dan bermain golf.

Beberapa invois yang diperolehi daripada sumber tidak dinamakan turut mendedahkan, bukan sekadar menteri, tetapi beliau turut disertai isterinya dan rombongan pada hari kesembilan ke Washington, Minnesota serta Iowa.

Jamil Khir menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

Jelasnya, adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkannya.

“Dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria dengan menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti serta maruah saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya pada Jumaat lalu.

Isnin lalu, Akmal mendakwa Timbalan Pengerusi YaPEIM yang juga ahli Wanita Umno Kelantan menerima RM223,000 daripada yayasan itu, bagi penganjuran aktiviti kemasyarakatan sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin.

Bagaimanapun, tiada laporan berhubung sebarang kegiatan yang dijalankan, sekalipun berdasarkan laporan, ahli Umno Kelantan dan YaPEIM telah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan banjir.

YaPEIM menjadi perhatian sejak minggu lalu, berhubung dakwaan salah guna dana dan lebihan pembayaran gaji kepada pengurus atasannya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/15/isu-salah-guna-wang-yapeim-jamil-khir-dan-akmal-akan-buat-laporan-polis/#ixzz3rX7g50rY

Saturday, November 14, 2015

Akmal Nasir tidak akan mohon maaf pada Jamil Khir

Adam Abu Bakar | November 14, 2015

Rakyat berhak tahu sebab Jamil Khir menggunakan wang yayasan untuk tujuan melawat dan bermain golf di Amerika dan bukan duit yang diperuntukkan kepada beliau atas kapasiti seorang menteri.
KUALA LUMPUR: Pengarah National Oversight Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir bertegas tidak akan memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ia ekoran pendedahan NOW yang mendakwa beliau menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk tujuan bersuka-ria termasuk bermain golf di Amerika Syarikat.

“Bukan saya yang ambil duit YaPEIM. Kita hanya minta dia jelaskan sebab beliau menggunakan duit yayasan. Saya tidak akan minta maaf,” kata Akmal Nasir dalam satu sidang media di Ibu Pejabat NOW pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau juga berkata, tidak gentar sekiranya Jamil Khir membawa isu wang YaPEIM ke mahkamah kerana rakyat berhak tahu sebab duit anak yatim dan miskin digunakan bagi membiayai perjalanan Jamil Khir ke Amerika Syarikat.

“Itu hak dia (Jamil Khir) untuk membawa isu ini ke mahkamah. Bahkan, rakyat juga berhak tahu, mengapakah wang Yayasan Pembangunan Anak Yatim Miskin (PEMANGKIN) digunakan,” ujarnya lagi.

Jelasnya, Jamil Khir sepatutnya menggunakan wang yang diperuntukkan kepada beliau atas kapasiti seorang menteri kabinet dan bukannya wang yayasan.

“Jika benar lawatan Jamil Khir ke Amerika Syarikat merupakan tugas rasmi sebagai menteri, mengapakah perbelanjaan tersebut dibiayai YaPEIM?” soalnya.

Mengambil maklum kenyataan media yang dibuat Jamil Khir pada Jumaat, Akmal juga menyatakan menteri tersebut tidak menafikan kebenaran dan bukti atau dokumen yang beliau kemukakan sebelum ini.

“Jamil tidak menjawab isu pokok iaitu sama ada wang YaPEIM melalaui PEMANGKIN telah digunakan untuk membiayai lawatan beliau ke Amerika Syarikat.

“Malah, dalam kenyataan Jamil, beliau mengesahkan sememangnya telah pergi ke Amerika Syarikat bagi tempoh 21 hingga 29 Mei 2014 dengan alasan sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya.

Friday, November 13, 2015

Jamil Khir: Akmal mesti mohon maaf atau disaman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menuntut pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir (bawah) memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Ia berhubung dakwaan yang mengatakan menteri itu menyalahgunakan duit untuk anak yatim dan miskin bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri itu berkata dakwaan itu adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

"Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya," kata Jamil Khir.

Berikut adalah kenyataan penuh Jamil Khir:

Merujuk kepada kenyataan media Akmal Nasir (Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) merangkap Ketua Cabang Keadilan Johor Bharu) pada 13 November 2015.

Sesungguhnya dakwaan yang mengatakan saya menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang (misleading) daripada fakta sebenar.

Kunjungan saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 – 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaan saya terutamanya YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di Amerika Syarikat dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

Melalui strategi penganjuran bersama secara "Strategi Lautan Biru" khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.

Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi Kenegaraan dan Keusahawanan; Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan, Pengurusan dan Isu-isu Semasa Negara; Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia. Program dan pertemuan ini melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, Amerika Syarikat.

Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.

Justeru dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabaran Perdana Menteri.

Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya.

Adalah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya.

Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan. Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.

Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya.

Dengan ini, saya menuntut Akmal Nasir, Pengarah NOW dan The Malaysian Insider menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya.

Friday, November 6, 2015

Dihina 'balik Tongsan', dijawab: Malaysia tanah tumpah darah saya!


KUALA LUMPUR 6 NOV: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin menyifatkan kerana kebanyakan pemimpin Umno BN sarat dengan minda perkauman hingga tergamak mencela kaum lain dengan ungkapan penghinaan.

“Saya kecewa dan sedih atas sikap Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menegur dengan perkataan yang tidak wajar, stereotaip dan berbaur perkauman.

“Tidakkah ada perkataan lain yang lebih baik daripada menggunakan elemen perkauman? Malaysia tanah tumpah darah saya! Siapa dia untuk suruh saya balik Tongsan!” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sidang Parlimen Rabu lalu kecoh berikutan pelakuan buruk Abdul Azeez menggunakan perkataan ‘balik Tongsan’ (China) terhadap Jimmy ketika perbahasan sebelum menarik balik ungkapan itu atas arahan speaker.

Ini bukan pertama kali ungkapan penghinaan itu dihambur terhadap pemimpin pembangkang keturunan Cina, malah turut berlaku terhadap isteri Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei Aik, tahun lalu.

Pada 21 Julai tahun lalu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii menggesa isteri seorang wakil rakyat DAP supaya ‘balik tongsan’ melalui twitter ketika berbalah mengenai Tragedi MH17.
Sungguhpun Abdul Azeez sudah menarik balik perkataan itu, Jimmy berkata, kejadian berkenaan mencerminkan sikap dan keperibadian pemimpin Umno BN yang ‘menyedihkan’.

“Negara sudah mencapai kemerdekaan menghampiri enam dekad. Kerajaan masih gagal memupuk sikap saling menghormati melangkaui batas kaum, agama mahupun daerah,” katanya.

Beliau turut mempersoal peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional yang diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, dalam menyemai nilai murni dalam masyarakat majmuk.

“Jika kerajaan tidak tegas menangani isu perpaduan, kita tidak mampu bergerak menuju cita-cita bangsa Malaysia. Perjalanan masih jauh dan berliku,” katanya dan menyatakan di Sabah, masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama hidup harmoni.

“Saya khuatir, dengan adanya pemimpin UMNO yang tebal dengan perkauman, gejala tidak sihat itu akan menular,” kata Pengerusi DAP Sabah itu.

Thursday, November 5, 2015

Menteri sahkan perpindahan, cuma dalaman

Kow Gah Chie 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mengesahkan timbalan pendakwa raya yang ditugakan di Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipindahkan secara dalaman.

Kata Ahli Parlimen Batang Sadong itu, Ahmad Shazalee Abdul Khairi kini tidak lagi berkhidmat di bahagian berkenaan.

"Baru-baru ini beliau dinaikkan pangkat ke Gred L54 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman," katanya dalam penggulingan perbahasan Belanjawan 2016 di parlimen hari ini.

Menurut Nancy, perpindahan itu dibuat tanpa sebarang niat buruk dan tidak sepatutnya disalah tafsir.

Sebelum ini Malaysiakini ada menyiarkan laporan mengenai perpindahan Ahmad Shazalee yang sebelum ini berkhidmat di bahagian yang menyiasat isu syarikat SRC International.

Beliau juga terbabit dalam beberapa penahanan reman saksi utama siasatan kes berkenaan.

Kata Nancy, walaupun tidak lagi bertugas di bahagian operasi khas, Ahmad Shazalee masih ditempatkan bersama SPRM.

"Pejabat Peguam Negara meluluskan kenaikan pangkatnya dan membenarkan beliau terus berkhidmat di SPRM namun tidak lagi di bahagian operasi khas," katanya.

Nancy menjelaskan kenaikan pangkat itu tidak boleh dilaksanakan jika Ahmad Shazalee kekal di bahagian itu.

"Niat yang baik ini, bagaimanapun, disalah tafsir oleh sesetengah pihak," katanya.

[Baca berita asal]

Tuesday, October 20, 2015

Menteri 'pusing jauh' jawab isu perjanjian Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR 20 OKT: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin kesal berikutan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berdolak dalik dalam isu membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Soalannya mudah. Adakah perjanjian 20 perkara Sabah dan 18 perkara di Sarawak sudah dilaksanakan? Mengapa menteri pusing jauh?” katanya sambil mengingatkan perjanjian berkenaan menjadi intipati kepada pembentukan Malaysia.
Beliau berkata demikian merujuk jawapan Nancy terhadap soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail hari ini sama ada keseluruhan perjanjian itu sudah dipenuhi atau sebaliknya.

Nancy pada sidang Parlimen didakwa tidak menjawab soalan sebaliknya berlegar kepada persoalan ‘perjanjian Malaysia 1963 dengan 18 perkara Sarawak dan 20 perkara Sabah adalah dua perkara berbeza’.

Mengingatkan BN supaya tidak memandang remeh tuntutan itu, Jimmy juga menekankan kepentingan Batu Sumpah Peringatan Perlembagaan yang didirikan di Keningau pada 31 Ogos 1964 yang menjadi aspirasi masyarakat pedalaman di Sabah.

“Adakah kerajaan akan memperakui semula segala jaminan pada Batu Sumpah lebih 50 tahun lalu? Jika benar-benar komited terhadap hak dan aspirasi Sabahan, BN perlu buktikan. Jangan sekadar berpolitik,” kata Pengerusi DAP Sabah itu.

Thursday, October 15, 2015

Wahid nafi 'pak turut' AS jika tandatangani TPPA

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membuka lebih peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan lagi aktiviti perniagaan mereka di luar negara jika Malaysia bersetuju menandatangani perjanjian tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) antara bidang yang akan mendapat kelebihan berikutan jumlah eksport yang tinggi dicatatkan iaitu sekitar 35 peratus hingga 36 peratus.

"Jika kita lihat daripada jumlah eksport iaitu sebanyak 35 peratus hingga 36 peratus, adalah daripada produk E&E dan ini disebabkan terdapat banyak syarikat tempatan melabur di negara luar antaranya Amerika Syarikat.

"Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam perjanjian ini, dominasi kita dalam industri ini akan terjejas dan memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab terbitan TV3 berkaitan topik, 'Ekonomi Negara' malam tadi.

Wahid berkata persetujuan penglibatan Malaysia dalam TPPA akan turut mengurangkan kos struktur perniagaan apabila terdapat produk luar yang dibenarkan masuk ke dalam negara.

Beliau turut menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia adalah ‘pak turut’ Amerika Syarikat sekiranya bersetuju menandatangani perjanjian tersebut.

"Sebagai negara terawal terlibat dalam perjanjian tersebut, ia membolehkan Malaysia meningkatkan profil negara serta daya tarikannya terhadap pelabur asing.

"Selain itu, antara kelebihan menjadi antara negara terawal dalam TPPA ialah membolehkan kita merundingkan terma yang sesuai dan terbaik untuk negara termasuklah mengambil kira eksklusiviti dan dasar Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili Malaysia dalam rundingan TPPA yang dirumuskan baru-baru ini, dan bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan Bumiputera.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan membuat perbincangan terperinci dalam sidang parlimen sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

Terdapat 12 negara TPPA iaitu lima negara daripada benua Amerika; Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Peru dan Chile, empat negara ASEAN; Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam dan tiga negara lain iaitu Jepun, Australia dan New Zealand.

12 negara ini menyumbang 40 peratus kepada ekonomi dunia.

Kedudukan ringgit

Sementara itu, Wahid yakin usaha kerajaan untuk memantapkan ekonomi dan kewangan negara akan mengembalikan ringgit ke paras yang sepatutnya.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai paras mata wang negara patut berada dan bila ia sepatutnya berlaku.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai unjuran Rabobank bahawa ringgit akan diniagakan antara RM4.45 dan RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun.

Unjuran itu dengan jangkaan sekiranya China, yang juga ekonomi kedua terbesar dunia mengulangi langkah menurunkan nilai mata wangnya.

"Jangkaan itu mengikut pandangan masing-masing berdasarkan andaian AS akan menaikkan kadar faedahnya dan China menurunkan nilai mata wangnya. Kita akan terus fokus kepada asas ekonomi dan ringgit akan pulih dan kembali ke paras sepatutnya," katanya.

Ringgit susut 0.4 peratus, disebut harga pada 4.1770/1860 berbanding dolar AS pada Selasa, berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

- Bernama

Wednesday, October 14, 2015

Islam sederhana, tidak ajar taasub kepada pemimpin, kata Jamil Khir

OLEH MD IZWAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata hari ini ajaran Islam di Malaysia tidak berkonfrontasi dengan amalan tradisi setempat. Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2015.

Ajaran agama Islam yang sederhana berteraskan akidah Sunnah Wal Jamaah tidak mengajar umatnya taasub kepada pemimpin dan kumpulan tertentu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berucap pada sambutan Ma’al Hijrah hari ini, beliau berkata, ajaran Islam yang diajar kepada umatnya tidak terlalu longgar atau terlalu ketat, bagaimanapun ia masih tidak menggadaikan prinsip asas akidah.

“Islam ini ialah Islam yang memikat hati, tidak terlalu ‘rigid’ dan ketat, dan tidak juga terlalu longgar dan bebas.

“Islam ini tidak menyempitkan penafsiran agama sehingga ia menjadi begitu keras dan kaku, dan tidak juga terlalu longgar sehingga menggadaikan prinsip asas, yakni akidah,” katanya di Masjid Negara pagi ini.

Di samping itu, Jamil Khir menekankan, ajaran Islam yang dianuti rakyat Malaysia juga melarang umatnya daripada berkonfrontasi serta taasub kepada pemimpin atau kumpulan tertentu.

“Islam ini juga ialah Islam yang tidak berkonfrontasi dengan amalan tradisi setempat, tidak emosional, tidak cepat menghukum, taasub kepada pemimpin atau kumpulan tertentu.

“Melalui prinsip kesederhanaan inilah Islam akhirnya mudah diterima kerana ia bersikap terbuka, tidak berkonfrontasi dengan fitrah manusia yang cintakan kedamaian.”

Namun, Jamil Khir berkata tidak semua rakyat Malaysia menghayati erti kesederhanaan sehingga menyebabkan berlaku insiden kekerasan yang mencetuskan kontroversi di kalangan rakyat majmuk.

“Tidak semua sedar betapa pentingnya mengekalkan keharmonian dan perpaduan, khususnya dalam konteks kepelbagaian beragama di negara ini.

“Kegagalan memahami prinsip ‘kesederhanaan’ atau yang disebut ‘wasatiyyah’ dalam kalangan umat Islam ini sendiri menyebabkan banyak sekali peristiwa ‘kekerasan’ berlaku.”

Baru-baru ini, satu himpunan kontroversi “baju merah” diadakan di ibu kota Kuala Lumpur, kononnya bagi mempertahankan maruah orang Melayu-Islam yang dikatakan tercabar akibat tindakan kaum Cina.

Umno menafikan menaja himpunan tersebut, bagaimanapun beberapa pemimpinnya turut dilihat menyertainya.

Perhimpunan tersebut mencetuskan kontroversi dengan beberapa tindakan berbaur perkauman dengan ucapan dan kain rentang yang dibawa semasa himpunan tersebut.

Satu kekecohan juga tercetus di Jalan Petaling apabila sekumpulan peserta himpunan mahu merempuh masuk ke kawasan majoriti peniaga Cina di situ.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/islam-sederhana-tidak-ajar-taasub-kepada-pemimpin-kata-jamil-khir#sthash.gt5ZiHPI.dpuf

Wednesday, August 12, 2015

Mengapa kita asyik dapat menteri 'bodoh sombong'?

oleh V Shuman

SEKILAS PANDANG: Berikut adalah satu cadangan – mari kita mulakan satu acara tahunan, di mana kita sampaikan "anugerah" kepada menteri-menteri di bawah pelbagai kategori.

Ia akan menjadi satu cara bagi rakyat memberitahu menteri-menteri betapa kita "menghargai" mereka dan "kebijaksanaan" mereka.

Jika anugerah sebegini diberikan, pasti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim akan memenangi anugerah bagi "paling banyak memberikan kenyataan bodoh" tangan ke bawah.

Kenyataan terbarunya? Beliau menyatakan yang kenyataan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Malaysia yang dipindahkan minggu lepas (dan kemudian dipulangkan semula) adalah disebabkan "tekanan terhadap mereka supaya bertindak balas terhadap berita yang disensasikan di media sosial".

Adakah ini masuk akal? Tidak? Teruskan membaca, kerana apa yang hadir seterusnya turut tidak masuk akal.

The Malay Mail Online memetik Shahidan sebagai berkata bahawa kedua-duanya ditahan kerana mengeluarkan kenyataan umum berikutan tindakan polis terhadap pegawai SPRM.

"Mereka terkejut dan tidak dapat menumpukan perhatian. Dan disebabkan cerita-cerita yang disensasikan media sosial, mereka tertekan," beliau dipetik berkata.

Biar betul?

Shahidan berkata yang sebagai penjawat awam, kedua-dua mereka tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan media secara unilateral, kerana ini bertentangan dengan peraturan perkhidmatan awam.
Bahri dan Rohaizad

Tetapi hakikat sebenarnya, pegawai-pegawai SPRM ini – Bahri Mohamad Zin dan Rohaizad Yaakob – tidak melalui apa-apa cara mempengaruhi atau diracuni oleh media sosial.

Kami percaya mereka adalah profesional yang menjalankan tugas mereka dan tidak akan terpengaruh untuk bertindak balas berdasarkan apa yang mereka baca di media sosial.

Kedua-dua mereka kecewa kerana tidak dibenarkan untuk melakukan pekerjaan mereka, mungkin oleh mereka yang berkuasa. Satu-satunya "tekanan" terhadap mereka datang dari "tangan ghaib" (menurut Bahri), yang mahu siasatan ke atas dana RM2.6 bilion itu dihentikan tak kira apa.

Media sosial hanya terlibat dalam tindakan melepaskan kekecewaan yang dirasai oleh kedua-dua pegawai ini, jika tidak ia tidak akan disedari.

Kenyataan yang sedemikian tidak menghairankan, kerana dibuat oleh orang yang turut mencadangkan supaya kem kematian Wang Kelian di Perlis, dijadikan tarikan pelancong.

Lebih memburukkan keadaan, selain menjadi menteri, Shahidan juga diamanahkan dengan keselamatan negara, atas kapasitinya sebagai pengerusi Majlis Keselamatan Negara.

Kita berharap bahawa mungkin mereka lemah dalam satu bidang, tetapi cemerlang dalam bidang lain. Ini jelas tidak berlaku dalam kes Shahidan.

Beliau baru-baru ini dipetik menolak cadangan bahawa rondaan bersama jiran-jiran Malaysia akan membantu membendung insiden lanun di Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Itu sebenarnya adalah cadangan daripada rakan Kabinetnya – Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Shahidan berkata Malaysia mempunyai aset yang mencukupi untuk membuat rondaan di perairan negara tanpa perlu bergantung kepada bantuan dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Setakat yang saya tahu, saya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana laut yang terjejas itu berada di bawah bidang kuasa kita.

"Thailand dan Indonesia tidak pernah menjemput kita untuk membuat rondaan di perairan mereka. Jadi mengapa kita perlu melakukan perkara yang sama, kerana akan berlakunya kekeliruan dari segi bidang kuasa dan undang-undang," katanya.

Ini digelar orang Melayu sebagai "bodoh sombong".

Sama ada betul atau tidak Malaysia mempunyai aset yang diperlukan, hakikatnya adalah kita gagal teruk dalam mengawal aset marin kita dan juga memastikan negara kita bebas daripada diceroboh.

Jika aset kita begitu berkesan, mengapakah berlakunya peningkatan dalam jumlah kapal dagang tempatan yang menjadi mangsa lanun di perairan kita?

Apa malunya mengakui kesalahan, dan mengakui perlukan bantuan apabila ianya sangat-sangat diperlukan?

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Mengapa-kita-asyik-dapat-menteri-bodoh-sombong#sthash.HGelIHZD.dpuf

Thursday, June 11, 2015

Menteri Kabinet sahkan tiada komplot jatuhkan Muhyiddin

Faiz Zainudin 

Hishammuddin, Shahidan dan Nazri menafikan dakwaan penulis blog, Sahbudin Husin.
‎KUALA LUMPUR: Tiga Menteri Kabinet menafikan wujud komplot untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti didakwa penulis blog, Shabudin Husin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau tidak mahu melayan konspirasi itu.

“Saya tidak fikir mahu melayan konspirasi itu” katanya kepada pemberita ketika di Parlimen pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim pula menganggap dakwaan itu sebagai pembohongan.

“Bohong. Itu tidak benar,” katanya ringkas.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menjawab secara sinis apabila diajukan pertanyaan itu.

“Saya tidak tahu, saya bukan Perdana Menteri. Saya tidak mendengar apa-apa mengenainya‎,” katanya.

Shabudin, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju dalam blognya mendakwa Muhyiddin akan digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dakwanya, Hishammuddin pula akan menjadi Menteri Kewangan manakala Tan Sri Annuar Musa akan dibawa masuk ke Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-