Showing posts with label pengubahan wang haram. Show all posts
Showing posts with label pengubahan wang haram. Show all posts

Monday, May 23, 2022

Tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, rakyat – Ahmad Zahid

satuberita.my
By Bernama
-May 23, 2022
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi datangnya daripada kerajaan atau rakyat, sebaliknya wang puluhan juta ringgit dalam yayasan itu adalah miliknya.

Ahmad Zahid, 69, berkata sumber dana yayasan tersebut adalah daripada lebihan pendapatannya ketika beliau membabitkan diri dalam sektor korporat sebelum menjawat jawatan sebagai anggota pentadbiran.

“Sebelum saya menganggotai pentadbiran iaitu timbalan menteri, menteri atau timbalan perdana menteri, saya telah menjalankan urus niaga korporat, saya pernah mengetuai empat syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur, saya juga pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

“Memang terdapat beberapa sumbangan daripada rakan dan ahli perniagaan yang tiada kena mengena dengan portfolio yang saya pegang, namun tidak ada satu sen pun yang datang dari sumbangan kerajaan atau wang rakyat atau pembayar cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari ketiga prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata pendapatan dan elaun sebagai ketua pegawai eksekutif, pengerusi eksekutif dan pengerusi dalam syarikat korporat melebihi perbelanjaan dan keperluan keluarganya.

“Maka saya berazam atas nasihat bapa saya yang juga seorang mudir atau pengetua sekolah agama di Bagan Datuk untuk menyalurkan lebihan pendapatan saya itu kepada orang yang memerlukan melalui amal jariah, sedekah, infak, wakaf bagi tujuan kebajikan dan keagamaan dalam Yayasan Akalbudi.

“Dana Yayasan Akalbudi adalah daripada pendapatan peribadi saya serta elaun yang saya peroleh daripada aktiviti urus niaga korporat berkenaan,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau memperoleh dividen daripada syarikat berkenaan untuk dimasukkan dalam tabung yayasan dan menjalankan urus niaga pasaran saham sama ada dalam saham blue chip atau saham disenaraikan dan saham tawaran permulaan awam (IPO) bagi memperoleh pendapatan.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

BERNAMA

Monday , 23 May 2022

Tuesday, March 1, 2022

1MDB: Leissner dedah penglibatan dua bekas setiausaha sulit Najib

satuberita.my
By Admin
-March 1, 2022

BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu, dua setiausaha sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam urusan penerbitan bon ketiga di bawah Projek Catalyze yang bernilai AS$3 bilion (RM12.6 bilion) untuk 1MDB.

Leissner yang mendedahkan perkara itu menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu yang berdepan tuduhan melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.

Dia menjelaskan bon ketiga itu bergantung kepada surat sokongan daripada kerajaan Malaysia dan bukan berdasarkan jaminan daripada International Petroleum Investment Companya (IPIC) seperti dua bon yang pertama yang dirujuk sebagai Projek Magnolia dan Projek Maximus.

Leissner memaklumkan dia mengadakan beberapa pertemuan dengan Azlin Alias ​​dan seorang lagi setiausaha sulit bekas perdana menteri itu, Amhari Efendi Nazaruddin selain Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan untuk tujuan mendapatkan surat sokongan tersebut.

Menurutnya, satu pertemuan turut diadakan bersama-sama Najib di pejabat rasminya di Putrajaya untuk memperoleh surat sokongan yang ditandatangani oleh beliau.

Jelasnya, Low Taek Jho atau Jho Low juga memaklumkan kepadanya dan Roger Ng bahawa mereka tidak akan menerima sebarang ‘imbuhan’ seperti dua projek pertama atas alasan dana dikumpulkan Projek Catalyze akan digunakan untuk Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

“Jho Low mendakwa dana yang dikumpulkan Projek Catalyze perlu digunakan untuk membiayai pilihan raya tersebut. Dia juga nyatakan memberi ‘sumbangan’ kepada pengundi sebagai ‘amalan biasa’ di Malaysia.

“Saya tidak tahu ke mana aliran sebenar wang tersebut atau sama ada ia diterima secara peribadi oleh Najib,” ujarnya sambil menambah tentang penglibatan Azlin apabila Goldman Sachs berusaha melupuskan bon AS$700 juta (RM3 bilion) yang tidak dapat dijual firma itu selepas transaksi Projek Catalyze.

Leissner dan Roger Ng turut menghubungi Jho Low untuk melihat sama ada dia boleh membantu menjual beberapa bon tersebut kepada institusi berkaitan kerajaan di Malaysia seperti Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Difahamkan, salah satu bukti yang dikemukakan dalam kes itu ialah bebenang e-mel yang dipanjangkan Leissner kepada Roger Ng pada 6 November 2013 yang turut mengandungi e-mel pertama yang telah dihantar oleh Jho Low kepada Azlin.

Leissner turut mendedahkan bahawa dia dan Roger Ng masing-masing menerima ‘imbuhan’ berjumlah AS$17.5 juta (RM73.4 juta) untuk penglibatan mereka dalam terbitan bon pertama di bawah Projek Magnolia bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion).

Dia turut berkata mereka telah menerima ‘imbuhan’ untuk bon kedua di bawah Projek Maximus, juga bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion) walaupun dia tidak menyatakan jumlah sebenar yang diterima oleh mereka.

Ketika terlibat urus niaga ‘skim haram’ itu, Leissner mengakui dia bimbang dengan persepsi negatif media, namun berada sedikit lega selepas Najib menang pada PRU13.

 – Agensi

Tuesday, October 5, 2021

Ahmad Zahid atur pengubahan wang haram RM7.5 juta - Pendakwaan

malaysiakini.com

Diterbitkan: Oct 5, 2021 7:45 PM

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatur skim pengubahan wang haram berjumlah RM7.5 juta menggunakan perkhidmatan pengurup wang untuk mengubah wang menjadi cek dan akhirnya dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berhujah bahawa pengurup wang Omar Ali Abdullah sebagai ejen, mendapat arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan RM7,511,250.20 menjadi 35 cek, dan kemudian cek itu diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri (Ahmad Zahid).

Harris Ong berkata dana itu kemudian dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

"Omar Ali atas arahan tertuduh telah menerima wang tunai dari individu yang tidak dikenali. Dia (Omar Ali) menggunakan isterinya, syarikat Kamarunisah Ahmad Shah (Ekares Sdn Bhd) untuk mengeluarkan 35 keping cek kepada Lewis & Co.

"Dia memasukkan wang tunai ke cek Ekares dan meminta isterinya untuk membuat pengesahan mengenai pembayaran jika diminta oleh bank. Dia kemudian mengisi jumlah dan penerima pada setiap cek dan menyampaikan semua cek kepada tertuduh,” katanya sebagai menjawab hujah pembelaan mengenai 27 tuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Harris Ong berkata Kamarunisah tidak tahu mengenai kegunaan cek Ekares, jumlah yang tertera di setiap keping cek, dan siapa penerima.

Merujuk kepada isu tunai RM500,000 (sebahagian daripada RM7,511,250.20) yang diterima Omar Ali, TPR itu berkata ia adalah daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB).

“Wang tunai itu dihantar oleh lelaki yang tidak dikenali kepada Omar Ali menunjukkan bahawa urusniaga itu mencurigakan dan meragukan.

"Sekiranya benar wang itu berasal dari penderma untuk tujuan amal, mengapa semua wang tunai itu harus ditukar menjadi cek dan berakhir di akaun pelanggan Lewis & Co dan bukannya akaun Yayasan Akalbudi?

"Tanpa dokumentasi yang tepat, kami mengatakan bahawa semua wang tunai yang diterima Omar Ali berasal dari sumber haram dan bukan YALB. Omar Ali tidak tahu siapa lelaki itu dan tidak ada petunjuk bahawa lelaki itu adalah wakil YALB, ” tambahnya.
Bagi pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid dituduh mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah menukar wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 menjadi 35 cek yang dibuat kepada Lewis & Co sebagai simpanan tetap di Maybank adalah satu bentuk pengubahan wang haram yang berasal dari sumber tidak sah.

Sementara itu Harris Ong berkata berdasarkan pertuduhan satu hingga 25, Lewis & Co menerima sejumlah 92 cek, berjumlah RM76.9 juta, dari pelbagai individu dan entiti yang tidak mempunyai kaitan perniagaan dengan firma itu.

Beliau berkata rakan kongsi syarikat itu B.Muralidharan dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah menerima cek dari Ahmad Zahid di rumah bekas timbalan perdana menteri itu atau cek berkenaan diserahkan kepadanya di syarikat tersebut.

"Cara cek disampaikan oleh tertuduh dan arahan yang diberikan kepada Muralidharan jelas menunjukkan bahawa Ahmad Zahid terlibat secara langsung dalam memberi arahan kepada Muralidharan untuk menyimpan semua cek yang diterima untuk dimasukkan ke dalam 25 simpanan tetap, sebagaimana tuduhan satu hingga 25," katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Pendakwaan akan menyambung hujahnya esok.

- Bernama

Tuesday, March 9, 2021

Kes Zahid: Pendakwaan pinda pertuduhan dari 30 kepada 35 cek

malaysiakini.com
M Fakhrull Halim
Diterbitkan 9 Mar 2021, 11:38 am

Pendakwaan kes Ahmad Zahid Hamidi meminda pertuduhan ke-27 bagi kes pengubahan wang haram yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu.

Ia melibatkan bilangan cek daripada 30 keping berjumlah RM6,885,300.20 keping 35 keping cek berjumlah RM7,511,250.20.

Dalam pertuduhan terbaru, Ahmad Zahid - antara Mac hingga Julai 2016 - didakwa mengarahkan Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.

Cek-cek itu kemudiannya dikatakan diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan baru dibacakan.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih. (Saya) Tidak mengaku (salah),” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, sejak Julai tahun lepas lagi, Omar Ali yang merupakan saksi ke-81 di mahkamah, mengesahkan transaksi 35 keping cek kepada Lewis & Co, yang ditukarkan daripada wang yang diterima daripada lelaki yang tidak dikenali.

Peguam lapor polis mesej tular

Sementara itu, pasukan pembelaan Ahmad Zahid memaklumkan bahawa mereka membuat laporan polis berkenaan satu mesej tular minggu lalu, yang dikatakan keputusan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu.

Menurut peguam bela Hisyam Teh Poh Teik, mesej itu menyatakan akan ada dakwaan lebih keras dalam kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid.

Menurut mesej itu, ia boleh digunakan sebagai rundingan, selain MPT Bersatu mahu Ahmad Zahid dijatuhkan hukuman sebelum Jun agar parti itu dapat bersama Umno dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

"Pembelaan juga telah membuat laporan polis berkenaan hal ini dan mahu pihak berkuasa menyiasat tentang kebenaran dakwaan berkenaan.

“Kedua-dua pihak tertuduh (Ahmad Zahid) dan pembelaan mempunyai keyakinan yang penuh terhadap yang arif,” kata Hisyam kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah sebelum perbicaraan bermula pagi tadi.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin bagaimanapun menafikan kesahihan mesej tular berkenaan, dan berjanji untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkannya.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Monday, March 8, 2021

Zahid arah tukar RM7.5 juta kepada cek, pengurup wang tak lapor Bank Negara

malaysiakini.com

Diterbitkan 8 Mar 2021, 8:59 pm

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa pengurup wang, Omar Ali Abdullah, individu yang didakwa melakukan pengubahan wang haram bagi pihak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak melaporkan transaksi penukaran wang tunai berjumlah RM7.5 juta kepada cek yang diarahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu kepada Bank Negara Malaysia.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fahmee Mohamad Nor, 39, berkata hasil siasatan juga mendapati Omar Ali tidak merekodkan sebarang transaksi berhubung penukaran wang tunai kepada cek atas nama Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid itu.

"Melalui siasatan saya, Omar Ali memperoleh sejumlah wang yang banyak daripada orang-orang yang tidak dikenali di sekitar premisnya (Syarikat Marhaba Enterprise Sdn Bhd). Omar Ali adalah orang tengah kerana dia mendapat arahan daripada Datuk Seri Zahid untuk menukar wang tersebut kepada cek, namun tidak melaporkannya (transaksi penukaran) kepada Bank Negara.

"Wang yang diterima Omar Ali telah ditukar kepada 35 cek. Kawan-kawan Omar Ali yang ingin menukar sama ada mata wang asing akan mendapat wang asing tersebut dengan membayarnya menggunakan cek kosong," katanya ketika menjawab soalan tambahan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong.

Saksi pendakwaan ke-95 itu berkata demikian pada hari ke-48 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Terdahulu, ketika membacakan penyataan saksinya, Mohd Fahmee berkata 35 cek berjumlah RM7.5 juta daripada lima bank ditunaikan ke dalam akaun milik Lewis & Co.

"Hasil siasatan mendapati kesemua 35 cek daripada syarikat dan individu telah disediakan atas permintaan Omar Ali dan pemilik cek tersebut tidak mempunyai apa-apa urusan dengan Lewis & Co atau Mohd Zahid.

"Pengeluaran cek-cek tersebut dilakukan untuk memenuhi kehendak Omar Ali atas sebab sama ada menukar mata wang asing, membayar balik pinjaman wang atau atas arahan Omar Ali semata-mata," katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama

Thursday, February 25, 2021

Bicara kes pengubahan wang haram Rosmah November ini

hmetro.com
MyMetro

ROSMAH. 
FOTO BERNAMA

BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pengubahan wang haram RM7,097,750 dan pengelakan cukai, akan bermula selepas Mahkamah Tinggi di sini, mendengar pembelaannya dalam kes rasuah projek solar hibrid untuk sekolah pedalaman Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 17 hari mulai 15 November ini untuk mendengar kes berkenaan pada prosiding pengurusan kes hari ini.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn menetapkan perbicaraan pada 15 hingga 17 November, 29 dan 30 November, 1 dan 2 Disember, 13 dan 14 Disember dan disambung pada 2022 iaitu 10 hingga 13 Januari serta 24 hingga 27 Januari.

"Pengurusan kes ditetapkan pada 9 September tahun ini dan pihak pendakwaan akan memanggil 15 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan," katanya kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu turut mengesahkan tarikh perbicaraan berkenaan.

"Pihak pendakwaan juga telah memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak akan membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke mahkamah lain," katanya melalui mesej hari ini.

Pada 18 Disember tahun lalu, Mohamed Zaini mencadangkan perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah dipindahkan ke hadapan hakim lain bagi membolehkan ia didengar lebih awal, atau hanya mengekalkan perbicaraan itu di hadapannya.

Sebelum ini, perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai itu yang pada awalnya ditetapkan bermula Mei tahun lalu ditangguhkan bagi memberi keutamaan kepada perbicaraan kes solar hibrid, yang sedang berjalan.

Pada 18 Februari lalu, Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah, 69, membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah menetapkan sembilan hari, iaitu pada 9,10,15,16,17,22,23 Jun dan 12 hingga 15 Julai, untuk mendengar keterangan daripada Rosmah dan saksi pembelaan yang lain.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 4:32 PM

Wednesday, February 10, 2021

Najib terima RM2.973 bilion daripada 1MDB - Pendakwaan

MyMetro

NAJIB (kanan) hadir untuk perbicaraan kes dihadapinya berhubung dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima sejumlah wang RM2.973 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam akaunnya tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dalam hujahnya berkata, perkara itu didedahkan pegawai penyiasat pengubahan wang haram Superintendan Foo Wei Min bahawa perpindahan wang dari 1MDB ke akaun Ambank Najib bernombor 9694 dilakukan dalam tiga peringkat dan Asisten Komisioner D Rajagopal telah mengenal pasti peringkat pertama dan kedua.

"Jejak wang terperinci dijalankan ke atas akaun Najib mendapati pergerakan wang dari Good Star membabitkan US$120 juta (RM369,029,514) dalam lima transaksi antara 2011 dan 2012, peringkat (kedua) Aabar sebanyak US$170 juta (RM523,389,779.96) melalui enam transaksi antara 2011 dan 2012 dan peringkat (ketiga) Tanore melibatkan US$681 juta (RM2,081,476,926) dipindahkan melalui dua transaksi pada 2013.

"Menerapkan kaedah penilaian kewangan 'masuk dahulu, keluar dahulu' pada akaun Ambank Najib. Jejak wang itu menunjukkan sejumlah RM2,973,896,219.96 yang diterima Najib dalam akaun 9694, dikembalikan ke akaun Tanore sebanyak RM2,034,350,000.

"Wang baki RM939,546,219.96 dalam akaun 9694 Najib dipindahkan untuk dibelanjakan oleh bekas PM dalam empat kategori besar," katanya pada pendengaran permohonan pendakwaan bagi pelucuthakan RM114,164,393.44 dan barangan kemas dirampas dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd yang didengar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucutkan barangan itu termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas pihak berkuasa kerana didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1MDB.

Najib dan Umno adalah pihak ketiga dalam permohonan itu.

Muhammad Saifuddin berkata, dalam kes Umno, tuntutan mereka mengenai wang tunai dirampas adalah derma politik, jelas tidak masuk akal kerana bagi seseorang yang menafikan mempunyai pengetahuan atau kaitan dengan wang itu, kini mengemukakan tuntutan sebagai pemilik sebenar.

"Tuntutan dikemukakan oleh Najib dan Umno bahawa wang tunai dirampas adalah sumbangan politik merupakan alasan lemah berbanding bukti menunjukkan sebaliknya.

"Tidak ada apa pun yang dapat dilakukan untuk menutup kesalahan daripada wang tunai yang dirampas," katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib manakala peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili Umno.

Mahkamah menangguhkan kes itu pada 11 dan 15 Mac untuk mendengar penghujahan Muhammad Shafee dan Hariharan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 10:56 PM

Sunday, May 19, 2019

'Jadilah Najib PM bongsu Umno'

Subky Latif 
Diterbitkan Hari ini 11:10 tengahari 


ULASAN | Najib Razak adalah perdana menteri bongsu daripada spesies Umno yang mungkin tiada lagi sambungannya hingga kiamat.

Kini mantan perdana menteri itu menghadapi lambakan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang jika satu-satu dibicarakan mungkin sekurun pun tidak habis.

Mungkin kita perlu menunggu datangnya kiamat daripada menunggu semua kesnya selesai dibicarakan.

Mengikut sistem perundangan yang dipakai - termasuk undang-undang Islam - seseorang yang dituduh tidak bersalah hinggalah ia ditentukan begitu atau sebaliknya oleh mahkamah.

Mahathir Mohamad semasa penggal pertamanya dulu pernah berkata, seseorang itu tidak semestinya dihukum rasuah barulah kita boleh kata dia rasuah, tetapi disangsi bersihnya jika dia dilihat rasuah.

Maka seseorang yang bersih rasuah itu bukan semata-mata bersih rasuah, tetapi mesti tidak dilihat rasuah.

Tohmah yang Najib hadapi kini sudah bertimbun, yang bakal dituduh juga bertimbun lagi. Tetapi apakah yang dilihat rasuah itu perdana menteri bongsu Umno itu saja?

Tidakkah dia mewarisinya daripada sekalian perdana menteri sebelumnya?

Enggan terlibat rasuah

Tiada yang sebelumnya ditakwil bersihnya kecuali Mahathir beberapa bulan sebelum menumbangkan Najib disuruhanjaya siasatan diraja dan disabitkan. Belum dikenakan hukuman.

Maka itu pun cukup untuk dikatakan tidak dilihat bersih.

Siapa di sepanjang 60 tahun merdeka tidak melihat Malaysia dan pemerintahannya negara rasuah. Cuma tiada jerung yang disebut dimahkamahkan. Semua kata, yang dimahkamahkan cuma bilis-bilis belaka.

Saya pernah diberitahu Almarhum Bahaman Samsudin, menteri dalam kabinet pertama Tunku Abdul Rahman sejak 1955. Dialah pencadang Tunku Abdul Rahman menjadi presiden Umno menggantikan Onn Jaafar dulu.

Dia pernah jadi DO (pegawai daerah) Lumut dan Teluk Intan. Pada PRU 1955 dia bertanding di Hilir Perak yang kawasannya termasuk Bagan Datuk, Teluk Intan dan Pasir Salak sekarang.

PRU 1959 dia balik ke tanah airnya di Negeri Sembilan. Tiada Umno menolak buntang dari ajak melainkan dia.

Awal 1960-an dia bersara politik. Saya jumpa dia di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Saya tanya, mengapa dia tidak menjadi menteri lagi? Jawabnya, dia tidak mahu terlibat dengan kerajaan rasuah yang sudah bermula sejak merdeka.

Dia jarang keluar dalam surat khabar. Dia menteri yang tidak dikacau pembangkang di parlimen. Cakapnya boleh dipercayai.

Jika Bahaman boleh dijadikan saksi, siapakah dalam Umno yang dipercayai bersihnya?

Jadi bubur semua

Semasa mula-mula dulu tiada badan pencegah rasuah yang khas. Mungkin rasuahnya sekadar RM10 kerana berbasikal pada waktu malam tak berlampu atau langgar lampu trafik.

Tunku mana pernah cukup duit. Elaunnya sebagai perdana menteri tak cukup. Menteri Kewangan ketika itu, Tan Siew Sin, dikatakan selalu bingung kerana cek yang Tunku keluarkan tidak berduit.

Kita tidak tahu apa yang Razak Hussein dan menteri-menterinya buat. Lepas 13 Mei 1969 Dr Ismail Abdul Rahman jadi timbalan perdana menteri dan BPR (Badan Pencegah Rasuah) dibentuk.

Diangkatnya Harun Hashim jadi pengarah BPR. Ditangkapnya pembesar Umno termasuk menteri mesar. Menteri MCA pun ketakutan.

Selepas Razak menggantikan Tunku, BPR mulai lembik. Jerung tidak masuk perangkap lagi. Ia seolah-olah menghadapi bilis saja.

Dari zaman Razak hingga ke zaman Dollah Badawi Malaysia dirasakan sudah di belakang Indonesia, Filipina dan Thailand.

Rasuah dilihat sebagai sebahagian daripada budaya bangsa. Parahnya rasuah, Abdullah tukar BPR jadi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bagi membendung rasuah.

Tapi beras tidak jadi nasi. Jadi bubur semuanya. Jadilah Najib perdana menteri bongsu Umno. SPRM sudah tidak bergigi. Tinggal gusi, gigi palsu pun tidak lekat.

Sejak lahir Najib hidup di tengah budaya dilihat rasuah. Sangkanya rasuah itu sebahagian watak Melayu. Dia sambung saja legasi semua perdana menteri sebelumnya.

SUBKY LATIF ialah bekas wartawan kanan dan veteran PAS. Artikel ini asalnya diterbitkan harakahdaily dengan tajuk "PM Umno hanya menyambung."

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Tuesday, January 29, 2019

‘Dakwaan baru bagi hukum Najib atas kemenangan Cameron Highlands’

Hariz Mohd 
Diterbitkan Hari ini 12:24 tengahari


Tiga lagi dakwaan baru ke atas Najib Razak semalam adalah sebagai menghukumnya susulan kemenangan BN di Cameron Highlands, dakwa seorang pembantu bekas perdana menteri itu.

Bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, pembantu itu memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataan Najib telah dirakamkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 30 minit sebelum dia didakwa dengan pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Pihak berkuasa, katanya, juga mengambil cap jari dan merakamkan gambar Najib seolah-olah ia adalah kes baru.

"Saya fikir ini untuk menghukum Najib berhubung apa yang berlaku di Cameron Highlands. Saya mengesyaki demikian kerana prestasi Najib agak cemerlang di Cameron Highlands.

"Pihak pendakwaan berkata ini adalah pertuduhan yang sama, tetapi jika sama, kenapa mereka mengambil gambar dan cap jarinya sekali lagi seperti ia adalah kes baru? Semua ini dilakukan di tingkat bawah mahkamah.

"Mereka soal-siasat dia, ambil gambar dan cap jari di pejabat pendaftar, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, seolah-olah mereka mahu menjadikannya sebagai mangsa dan memalukannya," katanya.

Dihubungi kemudiannya, peguambela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah juga membidas pertuduhan tambahan itu dan menuduh pendakwaan sebagai "cuai".

Katanya, dakwaan pertuduhan tambahan dibuat kurang dua minggu sebelum perbicaraan Najib berhubung dakwaan berkaitan dengan skandal SRC International dijadualkan bermula.

Shafee berkata pendakwaan juga membuat pindaan kepada enam pertuduhan terdahulu, dan ini menyaksikan pasukan pembelaan mempunyai masa yang semakin berkurangan untuk mempersiapkan kes mereka.

"Bantahan saya bukan sebarangan. Peguam Negara menandatangani persetujuannya terhadap pertuduhan baru itu dan pada hari yang sama, mereka merakamkan kenyataan daripada Najib.

"Mereka memaksa Najib memberi kenyataan. Semua ini berlaku semalam.

"Ini adalah perkara yang menurut pihak pendakwaan bahawa mereka sudah bersedia beberapa bulan lalu dan adalah yang sama dengan yang apa yang dia didakwa sebelum ini.

"Sekiranya perkara sama, mengapa pihak pendakwaan tidak bersedia?" soalnya.

Semalam, Najib dikenakan tiga lagi pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Najib dituduh terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) akta itu kerana didakwa menerima sejumlah RM47 juta dalam akaun AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 8 Julai 2014.

Tuduhan itu dibacakan kepada Najib di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]

Friday, June 26, 2015

Dakwaan serius pengubahan wang haram di Australia


Isu pembelian kontroversi blok pangsapuri lima tingkat Dudley International House di Caulfield East, Australia mengundang dampak lebih besar sekiranya ia melibatkan dakwaan serius pengubahan wang haram peringkat antarabangsa.

Isu ini mendapat perhatian serius daripada pihak The Hon. Joe Hockey, Kementerian Kewangan (Federal Treasurer) yang mengesyaki pelbagai dana luar yang meragukan masuk ke dalam pasaran hartanah Australia.

Isu pembelian kontroversi tersebut disokong dengan penyiasatan lapan bulan Fairfax Media yang mendedahkan bagaimana harga pembelian Dudley International House terlalu tinggi. Ia dijual dengan harga A$22.5 juta (RM65 juta) berbanding harga asal A$17.8 juta (RM51.5 juta).

Lebih serius, Fairfax Media mendakwa jualan Dudley International House adalah sebahagian daripada proses rasuah dan beberapa pembelian hartanah lain di Australia yang bernilai kira-kira A$80 juta oleh beberapa pihak menggunakan syarikat-syarikat tax haven berkemungkinan terlibat dalam proses pengubahan wang haram global.

PAS juga terkejut mengapa laporan portal berkenaan membuat pendedahan dakwaan yang sangat berat.

The Paris - based anti laundering agency, the Financial Action Task Force warned that Australia is seen as an attractive destination for foreign proceeds (of crime), particularly corruption - related proceeds, flowing into real estate, from Asia Pacific region. The Dudley House deal is the clearest example to date.

Bagaimana peranan dua orang ahli perniagaan Malaysia berprofil rendah yang terlibat sebagai pemaju (joint venture) The Dudley International House berkomplot menjalankan transaksi bersama pegawai tertinggi Majlis Amanah Rakyat Incorporated (Mara Inc.)? Di manakah dakwaan lebihan wang berjumlah A$4.75 juta (RM13.7 juta) itu disalurkan?

Dua orang pegawai tertinggi yang dinamakan oleh portal akhbar Australian (The Age) berkenaan iaitu Pengerusi Pelaburan Mara, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Eksekutif Mara, Datuk Halim Rahman turut didakwa terlibat dalam pemilikan beberapa offshore companies di Singapura yang bertujuan untuk menjual hartanah-hartanah yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia. Adakah ini selaras dengan polisi kerajaan?

PAS mendesak pihak kerajaan segera mengheret mereka yang telah disyaki terlibat dalam kes kontroversi ini kerana ia melibatkan (jika benar) aktiviti pengubahan wang haram, rasuah, salah guna kuasa dan mencemarkan institusi awam di Malaysia. - HARAKAHDAILY 26/6/2015

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-