Showing posts with label politik negara. Show all posts
Showing posts with label politik negara. Show all posts

Monday, July 1, 2024

UMNO tidak akan masuk ‘lubang biawak’ dua kali – Puad Zarkashi

utusantv.com
Oleh Izzat Nasuruden
-July 1, 2024
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menolak kemungkinan UMNO akan kembali bekerjasama dengan Pas dalam pentas politik negara.

Malah, bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu juga turut menyifatkan UMNO tidak akan ‘masuk ke dalam lubang biawak dua kali’.

Mohd Puad berkata, dakwaan Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari bahawa UMNO memerlukan parti itu untuk bangkit semula juga sebagai hipokrit.

“Tidak perlu hipokrit. Pas dulu, kini dan selamanya berniat mahu bunuh UMNO.

“Sebab itu Pas main kayu tiga. Pas guna Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk pecahkan UMNO dan orang Melayu.

“Lebih baik Pas bantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tinggal nyawa nyawa ikan. Baru Pas tahu mereka memikul biawak hidup (Bersatu) yang menyusahkan.

“Cakap Fadhli Shaari itu hanya alasan untuk Pas kembali rujuk pada UMNO. Tapi sudah terlambat. UMNO tidak akan masuk lubang biawak dua kali,” katanya.

Sunday, April 21, 2024

PKR sasar jadi gergasi dalam politik negara

malaysiakini.com
Shamz Johan, Isabelle Leong & Iqbal Harraz
Diterbitkan: Apr 21, 2024 2:10 PM

PKR sedang merangka langkah untuk menjadi "gergasi" dalam politik di negara ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata untuk mencapai matlamat itu semua ahli parti - bermula dari peringkat akar umbi - perlu melaksanakan gerak kerja yang lebih jitu untuk meningkatkan kekuatan parti berkenaan.

Pada masa sama, Anwar berkata, mereka juga perlu bertindak lebih agresif menjelaskan dasar serta program parti kepada orang ramai.

"Pertama, keanggotaan mesti ramai, ranting mesti hidup dan cabang-cabang mesti segar.

"MPN (majlis pimpinan negeri) harus lebih aktif dan jentera jawatankuasa mesti lebih hebat berbanding dulu.

"Parti perlu agresif menerangkan sikap dan pendirian serta bersungguh-sungguh perkuat jentera kita supaya Keadilan (PKR) muncul sebagai gergasi dalam sistem politik negara kita," katanya.

Anwar yang juga perdana menteri berkata demikian dalam ucapannya pada konvensyen khas PKR sempena sambutan 25 tahun parti itu di Shah Alam, hari ini.

[Laporan lanjut menyusul]

Thursday, March 14, 2024

PKR bukan 'tong sampah', kata Hassan Karim

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Mar 14, 2024 2:41 PM
Bekas pemimpin parti lain yang mahu menyertai PKR perlu ditapis dan disemak terlebih dahulu latar belakang mereka, kata ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Hassan berkata PKR juga tidak seharusnya menerima mana-mana pimpinan yang mempunyai rekod jenayah, bankrap dan rasuah.

"Saya menyambut baik dan mengalu-alukan jika ramai orang termasuk daripada parti lain, sama ada anggota biasa atau pemimpin besar untuk menyertai PKR dengan syarat minimum iaitu mereka dengan jujur menerima dasar dan cita-cita Parti Keadilan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan parti.

“Bagaimanapun, adalah wajar serta munasabah serta bertanggungjawab untuk semak ke atas pemimpin-pemimpin besar parti lain yang ingin menyertai PKR. Parti ini bukan tong sampah,” katanya kepada Malaysiakini.

Hassan berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menjangkakan lebih ramai bekas pemimpin berstatus profil tinggi daripada Perikatan Nasional (PN) akan meninggalkan parti masing-masing dan menyertai PKR dalam masa terdekat.

Saifuddin semalam mendakwa, pihaknya ada menerima permohonan daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang mempunyai nama besar dalam arena politik negara dan berminat menyertai PKR.

Pada Selasa lalu, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan penyertaannya dalam PKR.
Dia turut mendedahkan lebih ramai pemimpin dan ahli perintis Bersatu di semua peringkat akan menyertai parti itu.

Selain Faiz, bekas Adun Dengkil dari Bersatu, Adhif Syan Abdullah turut diterima menyertai PKR.

Mengulas lanjut, Hassan berkata PKR perlu mengekalkan imejnya yang bersih sebagai sebuah parti yang ingin membawa perubahan dan reformasi.

"Elemen-elemen bersifat parasit, dedalu, oportunis atau penyangak dan penyakau serta korup perlu ditolak awal-awal," tegasnya.

Justeru dia turut mengingatkan PKR agar mengambil sikap terbuka namun cermat dalam menguruskan hal terbabit.

“Seruan saya kepada pemimpin PKR dalam soal menerima kemasukan ramai anggota baru terutama dari parti lain atau orang awam biasa termasuk yang sebelum ini memusuhi PKR ialah dengan mengambil contoh dalam sirah Nabi Muhamad S.A.W.

“Bagaimana baginda rasullulah dengan sikap terbuka tetapi cermat dan berhemah menerima ramai orang, banyak pihak dan banyak kabilah untuk menyertai perjuangan rasullulah sehingga Islam berkembang pesat,” tambahnya.

Saturday, December 5, 2015

Pemimpin Pas Kelantan jangan takbur

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata sikap dalaman manusia yang takabur dan sikap itu perlu dibuang sekiranya mahu kekal di Kelantan. Foto KelantanTV

KOTA BHARU, 5 Disember:
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengingatkan pemimpin Pas di Kelantan supaya jangan terlalu takbur dalam ucapan ceramah dengan memberitahu bahawa Pas adalah sebuah parti yang kuat dan sudah lama dalam arena politik negara.

Beliau berkata, ada pemimpin negeri yang seolah-olah mengatakan parti lain tidak kuat sambil merujuk kepada dakwaan mengatakan parti Amanah adalah parti beg poli, sebelum ini.

Malah, katanya, pendekatan seperti itu bukan amalan Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dahulu.

“Saya mahu ingatkan diri sendiri dan iaitu kita kena ingat kata-kata Tok Guru apabila beliau memberitahu Pas Kelantan kuat tetapi tidak cukup kuat.

“Seperti di Kedah kita terlalu kuat tetapi tidak menang. Di Terengganu terlalu kuat sehingga kalah semula selepas menang seketika,” katanya.

Katanya, di Kelantan memang kuat tetapi kena juga berpakat dengan orang lain seperti mana dalam mesyuarat dahulu apabila Tok Guru mengatakan `galah kita panjang tetapi tidak cukup tiga inci untuk ambil buat kelapa’.

Jelasnya, perkara ini berkaitan sikap dalaman manusia yang takbur dan sikap itu perlu dibuang sekiranya mahu kekal di Kelantan.

“Di Kelantan kena ingat kita menang dulu bukan sebab Pas kuat tapi kita tambah dengan kekuatan org lain
termasuk kita dengan bukan Islam dan inilah yang mahu ditunjukkan oleh (Allahyarham) Tok Guru Nik Aziz.

“Umno dulu guna MIC dan MCA sebagai tongkat mereka selain parti-parti lain.

“Kalau Pas nak berjaya di Malaysia parti ini juga kena banyak tongkat. Kita patahkan tongkat Umno dan kita ambil alih untuk kita pula,” katanya dalam ucapan pelancaran buku Peringatan Orang Terpedaya di Dewan PPK, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Husam berkata, sekarang ini ada kedengaran bahawa Pas seolah-olah sedang `bercinta’ dengan Umno, sambil merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Muhamad Abduh Nik Aziz yang mengatakan bahawa Umno sekarang ini memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

“Dahulunya kata macam lain…Umno macam tu lah..macam nilah. Kalau betul sepatutnya gunakanlah peluang itu kepentingan rakyat termasuk memberi tawaran kepada semua guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan beri jawatan tetapi dan berpencen,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/12/05/pemimpin-pas-kelantan-jangan-takbur/#ixzz3tQuQfDcK

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-