Showing posts with label undang-undang. Show all posts
Showing posts with label undang-undang. Show all posts

Tuesday, July 23, 2024

Kerajaan tak perlu polis tangani kritikan, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
23 Jul 2024

Bekas menteri undang-undang itu berkata tidak perlu tindakan drastik sedemikian terhadap pengkritik.
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata kerajaan mempunyai sumber yang diperlukan untuk menentang pengkritik.

PETALING JAYA: Kerajaan tidak memerlukan sokongan pasukan polis terhadap kritikan kerana ia mempunyai sumber untuk menentang pengkritik, kata seorang bekas menteri undang-undang.

Zaid Ibrahim berkata Putrajaya boleh menggunakan sumber dan platform media sosialnya untuk menyampaikan maklumatnya sendiri, malah propaganda juga.

Mengapa pemimpin begitu paranoid terhadap kritikan? tambahnya dalam hantaran di X.

Zaid mengulas laporan seorang peguam yang disiasat atas tuduhan menghasut selepas menggelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ‘scammer’ kerana gagal mengotakan janji.

Rafique Rashid Ali telah membuat ucapan itu semasa perhimpunan antikerajaan pada bulan Jun.

Zaid berkata adalah tidak adil dan tidak wajar untuk menggelar Anwar sebagai ‘scammer’ kerana perdana menteri telah mengambil beberapa tindakan positif untuk memulihkan industri, seperti menarik pelabur ke negara ini untuk mewujudkan hab bagi semikonduktor mewah.

Beliau berkata Anwar juga telah membantu banyak projek infrastruktur di negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan ke atas Rafique adalah tidak wajar, menyifatkannya sebagai keterlaluan.

Beliau berkata Anwar sendiri pernah berkata Akta Hasutan hanya akan digunakan untuk membendung isu berkaitan 3R kaum, agama dan raja.

Saya menggesa perdana menteri untuk memberitahu polis supaya melepaskan peguam itu dan terus bercakap tanpa halangan, katanya.

“Ia bagus untuk imej Anwar sendiri.

Tuesday, November 27, 2018

PM: Perusuh, dalang rusuhan kuil akan terima hukuman tegas

Diterbitkan 27 Nov 2018, 6:10 petang


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa pihak yang terlibat termasuk dalang di sebalik rusuhan di kuil Seafield Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya akan menerima hukuman sewajarnya.

"Penjenayah-penjenayah yang terlibat cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk kerosakan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang sedia ada.

"Bagi dalang jika ada di sebalik kejadian ini mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya," katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Dalam kenyataan itu, perdana menteri juga berkata bahawa beliau sudah dimaklumkan perkembangan terkini siasatan ke atas kejadian berkenaan.

"Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.

"Tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu berkaitan agama walaupun ia berkaitan perpindahan kuil," katanya.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, kekecohan berlaku apabila sekumpulan individu menceroboh kuil berkenaan dan menjadikan sebahagian penjaga kuil sebagai tebusan.

Rusuhan kemudian tercetus, menyaksikan sejumlah kenderaan dibakar dan beberapa orang individu yang terlibat dengan rusuhan cedera.

Rusuhan itu berlaku susulan pertikaian pemindahan tapak kuil oleh pemaju One City Development Sdn Bhd yang mendapat kebenaran mahkamah pada 2014.

Tidak sampai 24 jam selepas rusuhan pertama, rusuhan kedua tercetus pada pagi Selasa yang turut menyebabkan kecederaan anggota bomba.

Setakat ini polis telah menahan 21 individu. Dalam tangkapan terbaru, dua suspek ditahan bersama parang yang ditemui dalam kenderaan yang dinaiki, menurut polis.

Dalam dua siri rusuhan itu, sebanyak 23 kenderaan dirosakkan dan dibakar.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mahathir menggesa agar orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin.

"Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media.

"Sekali lagi saya tegaskan kejadian ini adalah insiden jenayah dan tidak ada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain," katanya.

Saturday, October 20, 2018

PM: Tangkap bekas pemimpin tak bermotif politik

Diterbitkan 20 Okt 2018, 6:52 petang 


Penahanan beberapa bekas pemimpin yang kini menghadapi beberapa pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah tidak bermotifkan politik sebaliknya ia tertakluk kepada undang-undang negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata undang-undang akan menentukan mereka yang menghadapi pertuduhan itu sama ada bersalah atau sebaliknya.

"Undang-undang tidak mengira sesiapa dan di Malaysia, raja pun tertakluk kepada undang-undang. Pemimpin atau bukan pemimpin tertakluk kepada undang-undang ini.

"Kita ada cara, bukan tangkap dan (terus) tahan dalam penjara. Ini bukan cara kita, sebaliknya mereka ada pendakwaan, mereka boleh sediakan peguam dan macam-macam cara boleh dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pertemuan Warga Peladang di Bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Langkawi di Langkawi, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa pemimpin Umno yang ditahan dan dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa dengan yang terbaru membabitkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata sebelum kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, terdapat beberapa salah laku pemimpin terdahulu termasuk menekan pihak tertentu untuk membayar cukai yang tinggi.

"Ini cara luar daripada undang-undang. Undang-undang negara tidak boleh menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk kenakan cukai lebih tinggi," katanya.

Katanya berbeza dengan kerajaan kini yang tidak menekan sesiapa sebaliknya membenarkan undang-undang berjalan mengikut proses yang dibenarkan.

- Bernama

Wednesday, October 10, 2018

SEMUA PIHAK TERMASUK RAJA PERLU PATUH PERATURAN – TUN M

By watan on October 10, 2018

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihak baik pemerintah atau Raja-raja, perlu mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan pemerintahan negara yang sedang dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, ketika mengingatkan tentang keluhuran undang-undang yang merupakan satu daripada Rukun Negara, beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses pemulihan.

“Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan peraturan.

“Bagi Perdana Menteri atau Raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan. Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku huru-hara dalam negara kita.

“Ini amat penting sekali kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan pemerintah di dalam negara ini. Jika tidak berpandukan kepada undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di Putrajaya, pada Rabu.

Mahathir berkata, kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan mulia, serta yang menjunjung keadilan undang-undang yang tidak menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak.

Menurut Mahathir, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa walaupun di peringkat Raja mahupun pemerintah.

Katanya, bangsa bertamadun menerima undang-undang dan peraturan untuk kelangsungan hidup dan pembangunan bangsa.

“Kita tahu kita adalah satu bangsa bertamadun. Orang yang bertamadun, tidak bergerak tanpa peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak iktiraf peraturan atau undang-undang, maka kita tidak boleh mendakwa kita bangsa bertamadun,” katanya.

Mahathir berkata, walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi, perkara utama adalah semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang melindungi rakyat, Raja dan pemerintahan.

Katanya, hanya undang-undang yang benar-benar melindungi semua pihak perlu diteruskan dan diamalkan.

“Undang-undang perlu adil kepada semua pihak. Kalau kita tahu kadang-kadang ada undang-undang yang menekan atau membuat kepincangan dalam kalangan rakyat, maka ia perlu disemak sama ada adil atau tidak. Kalau tidak adil, maka undang-undang itu perlu dimansuhkan atau diperbetulkan,” katanya.

“Dalam negara kita, banyak pihak berkuasa. Raja sedikit sebanyak berkuasa. Tetapi kuasa itu terhad mengikut undang-undang negara. Walaupun kerajaan diberi kuasa, kuasa bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya, dan kuasa itu mesti dilaksanakan mengikut undang-undang negara,” katanya.

Menurut Mahathir, pengasingan kuasa dalam negara dibahagikan kepada tiga iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi keutamaan dalam negara demokrasi, dan tidak ada mana-mana pihak boleh berkuasa tanpa mengambil kira hak kuasa lain.

“Jika benar berlaku sesuatu bertentangan undang-undang, hakim yang menentukan benar atau tidak terhadap perkara yang bertentangan dengan undang-undang. Pihak hakim tidak perlu takut apabila menjalankan tugas secara adil,” katanya.

Menurut Mahathir, pemilihan hakim dan jawatan tertentu juga akan diberikan kepada Parlimen untuk menapis calon-calon sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sumber BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-