Tuesday, February 17, 2015

DUN Chempaka: UMNO "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong"?


FMT Reporters
Dengan sokongan rakyat kian merosot berikutan pemenjaraan Anwar, UMNO ingin tumpang semangkuk atas kematian Nik Aziz
PETALING JAYA : Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Shahbudin Husin hari ini bertanya jika UMNO tetap tidak akan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Chempaka setelah hasrat untuk tidak bertanding dipersoalkan banyak pihak.

Alasan yang diberi adalah keadaan memerlukan UMNO dan PAS untuk terus bekerjasama membantu rakyat dalam pelbagai program bantuan yang sudah diatur.

“Alasan lain ialah kononnya, sebagai penghormatan kepada Nik Aziz yang baru meninggal dunia.

“Baru disedari rupanya oleh kebanyakan pemimpin UMNO melalui reaksi mereka bahawa Nik Aziz adalah pemimpin agama yang hebat, banyak menyumbang kepada Islam dan mencorakkan sebahagian politik negara,” tambahnya Dalai entri blognya shahbudindotcom.blogspot.

Maka itu, kata Shahbudin, sebagai penghormatan, ramai pemimpin UMNO berpendapat tiada keperluan meletakkan calon di DUN Chempaka yang merupakan “kerusi kebal” bagi Nik Aziz sejak puluhan tahun dulu.

“Jangan salah faham, UMNO bukan takut kalah atau bimbang undinya lebih merosot, tapi kerana sayang dan kasih kepada Tok Guru Nik Aziz. Tapi Ibrahim Ali pun tak percaya hakikat ini…. ,” katanya seperti menyindir.

Beliau mendakwa, dengan sokongan rakyat kian merosot berikutan pemenjaraan Anwar, tentulah UMNO ingin tumpang semangkuk dengan kematian Nik Aziz.

“Tetapi UMNO tetap sebuah parti politik. Walau lurus, tidak mustahil kelingkingnya berkait. Di sebalik batu, mungkin ada sepit ketam sedang menunggu,” tambahnya.

Atas sebab itu, katanya lagi, PAS terang-terang menolak sikap baik yang ditunjukkan UMNO seperti yang dinyatakan Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli bahawa, jika betul hormat dan menyanjung Nik Aziz, sepatutnya sejak dari dulu lagi UMNO tidak meletakkan calon menentangnya.

Malah, Dr Hatta juga menyarankan jika UMNO tidak mahu meletakkan calon DUN Chempaka, mereka juga seharusnya berbuat demikian di Permatang Pauh.

Shahbudin yang meragui kesanggupan UMNO tidak mahu bertanding di DUN Chempaka itu berkata, jika UMNO faham dan ada maruah diri, mereka tidak akan bercakap lagi soal tidak mahu bertanding di DUN Chempaka.

Ini kerana, tambah beliau, PAS jelas tidak percaya dan tidak menunjukkan keinginan untuk berbaik-baik dengan UMNO.

“Hanya UMNO yang dalam kesempitan jadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-