Showing posts with label DUN Chempaka. Show all posts
Showing posts with label DUN Chempaka. Show all posts

Friday, February 20, 2015

PRK Chempaka: Pelaburan Umno pecahkan PR

SUHAIZAN KAIAT 

TOK Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kita sayangi telah meninggalkan kita semua pada khamis malam Jumaat 12 Februari 2015 yang lepas dengan ilmu dan pejuangan PAS yang perlu diteruskan.

Dengan kuasa dan pengaruh yang dimiliki, Almarhum telah menaikkan imej PAS di mata masyarakat muslim dan non-muslim. Walaupun beliau seorang tokoh pemimpin Islam, tetapi tetap dihormati oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Semasa hayatnya, Beliau mengajar setiap Jumaat di Dewan Prof Dzulkifli Muhammad Kota Baharu. Kupasan terhadap ilmu-ilmu agama sangat segar. Setiap kali berjumpa ada sahaja ilmu baru yang kita peroleh.

Umno sebagai parti saingan kepada PAS tidak memberi peluang kepada beliau mentadbir Kelantan dengan selesa. Pelbagai tekanan dibuat bahkan bagaikan anak tiri yang dibiarkan melarat malah dihina oleh media arus perdana.

UMNO BERMUKA-MUKA

Menariknya selepas beliau meninggal dunia, Umno dan media arus perdana membuat pendekatan u-turn 360 darjah. Daripada seorang yang dihina setiap hari bertukar kepada tokoh yang dihormati.

Media arus perdana memberi liputan tidak sebagaimana semasa beliau masih hidup. Menariknya, sudah ada pandangan daripada pimpinan Umno yang tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Chempaka di mana beliau menjadi ADUN selama 7 penggal sejak tahun 1986.

Jika perkara ini berlaku maka PAS mendapat laluan mudah untuk menguasai semula Dun Chempaka, insya-Allah.

Penamaan calon akan diadakan pada 10 Mac 2015 dan pengundian pada 22 Mac 2015. Soalnya kenapa Umno u-turn secara tiba-tiba dan tidak mahu bertanding di Chempaka?

Pimpinan mereka berhujah pertamanya sebagai menghormati Almarhum. Keduanya, untuk menjaga hubungan negeri dan Pusat. Ketiganya, mahu elakkan pembaziran.

Itu yang tersurat. Apa pula yang tersirat? Dalam politik yang tersirat itu lebih utama daripada yang tersurat.

Supaya kita tidak dianggap ‘lurus bendul’, maka kita perlu memahami apa yang tersirat di sebalik strategi terbaru Umno ini. Politik lurus bendul adalah politik yang bertentangan dengan Politik Budiman.

Sebelum itu, secara tersurat Umno memberi alasan menghormati Almarhum. Boleh percayakah? Sepatutnya Almarhum dihormati semasa hayatnya bukan setelah beliau meninggal dunia.

Umno sepatutnya menghormati beliau semasa bertugas sebagai Menteri Besar tetapi sebaliknya Kelantan ditekan habis-habisan. Tiba-tiba sikap Umno sekarang ini berubah umpama 'pijak semut pun tidak mati'.

Tiada pemimpin yang rasional atas muka bumi ini boleh percaya dengan perangkap seumpama ini.

Umno tidak masuk dalam Pilihan Raya Kecil Chempaka adalah kononya untuk menjaga hubungan negeri dan pusat. Soalnya, kenapa pula Umno mahu bertanding di Permatang Pauh? Bukankah Permatang Pauh berada di sebuah negeri yang namanya Pulau Pinang? Kelantan dan Pulau Pinang adalah kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat. Kenapa Umno tidak mahu menjaga hubungan antara kerajaan negeri dan pusat di Pulau Pinang? Persoalan-persoalan ini memberi jawapan yang Umno hanyalah mencari alasan.

Berjimat untuk tidak masuk dalam pilihan raya adalah hujah yang paling lucu. Mungkin Pilihan Raya Kecil Chempaka memerlukan RM3 juta hingga RM5 juta. Nilai ini terlalu kecil berbanding aktiviti-aktiviti pemimpin Umno selama ini. Bagi sesetengah pemimpin Umno, nilai RM5 juta umpama tahi gigi sahaja. Perbelanjaan bulanan mereka pun lebih daripada nilai tersebut. Apalah sangat nilai RM5 juta berbading RM6.7 bilion komisen kapal selam yang sedang dibicarakan di mahkamah Perancis.

Umno adalah sebuah parti politik yang pragmatik. Pendekatannya akan berubah mengikut keperluan. Setiap tindakkan politik adalah suatu pelaburan. Umno akan mengira untung dan rugi dalam politik. Apa untungnya bertanding dan apa ruginya jika tidak betanding?

Jika bertanding di Chempaka Umno sangat sukar untuk memang. PAS telah menang 7 penggal di Dun tersebut dan hampir mustahil untuk Umno menang. Walau bagaimanapun ketentuan akhir datangnya daripada Allah SWT.

Jika bertanding maka kelemahan Perdana Menteri dan Umno akan terdedah dalam kempen pilihan raya. Isu Sirul dan Altantuya, hukuman 5 tahun penjara Datuk Sri Anwar, GST, kejatuhan nilai wang, 1MDB, Tun Mahathir tolak Najib, kapal hilang, harta Najib dan lain-lain isu akan dibangkitkan.

Inilah antara sebab Umno boleh rugi dalam jika menyertai Pilihan Raya Kecil Chempaka.

Jika Umno tidak bertanding di Chempaka, pertamanya, Umno telah membina imej yang positif terhadap Almarhum. Imej Umno yang menentang ulama dan menentang Islam dapat dipulihkan. Selari dengan sikap Umno yang kononnya menyokong Kanun Jenayah Syariah 2, Kelantan.

Keduanya, isu-isu kelemahan kerajaan BN tidak akan didedahkan dalam kempen-kempen pilihan raya.

Ketiganya, Umno dapat melakonkan kejujurannya untuk menyatukan PAS dan Umno. Ini boleh menyebabkan kecurigaan kepada rakan-rakan dalam PR, memerangkap sebahagian ahli PAS yang ‘lurus bendul’ dan memerangkap minda rakyat yang tidak memahami realiti politik sebenar.

PECAH BELAH PR AGENDA TERSIRAT UMNO

Agenda tersirat Umno adalah untuk memecahkan PAS daripada PR yang telah menjadi ancaman terbesar BN dalam pilihan raya umum 2013. Rakyat Malaysia mesti memahami bahawa perpecahan PR adalah pelaburan Umno yang sebenar dalam Pilihan Raya Kecil Chempaka.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lepas, PR telah mengusai 51 peratus undi popular mengatasi BN dan BN sebenarnya telah kalah di Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak yang telah menyelamatkan BN.

Kekalahan BN ini adalah berpunca daripada kesepaduan parti-parti dalam PR. BN sudah tentu mencari jalan untuk memecahkan PR. Itulah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan BN.

Maka pelbagai agenda telah dirangka dan dilaksana. Antaranya mensensasikan pentembungan PAS dan DAP dan pertembungan PAS dan PKR. Perbezaan pendirian parti dalam PR dipergunakan semaksima mungkin. Maka perbezaan 10 peratus dalam PR disensasikan menjadi 99 peratus. Menariknya, ada pimpinan dalam PR yang termakan dengan propaganda BN dan menyambut gerak tari mainan media arus perdana BN.

Kesimpulannya, setiap langkah Umno adalah langkah berstrategi. Umno mempunyai pakar strategi yang berfikir setiap hari untuk memberi kelebihan kepada mereka.

Saya selalu menyebut dalam ceramah walaupun Umno lemah. Mereka sebenarnya tidak bodoh. Umno sangat bijak mengatur strategi. Media dan kewangan mendokong strategi mereka. Tidak mungkin Umno mengambil langkah rugi jika untung ada dihadapan mereka.

Yang lebih penting PAS dan PR perlu bijaksana. Jangan mudah terperangkap dalam jerangkap samar yang dipasang oleh Umno dan Barisan Nasional. – HARAKAHDAILY 

Setiap langkah UMNO berstrategi -- Suhaizan Kaiat

Suhaizan berkata ia strategi UMNO melalui satu-satunya jalan untuk menyelamatkan BN selepas PR menguasai 51 peratus undi popular dalam PRU ke 13.

KUALA LUMPUR, 20 Februari:

UMNO didakwa mempunyai agenda tersirat untuk memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) yang kononya menjadi ancaman terbesar BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat sambil menyeru rakyat memahami bahawa strategi sebenar UMNO dalam Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka merupakan pepecahan kepada PR.

Katanya strategi UMNO melalui satu-satunya jalan untuk menyelamatkan BN selepas PR menguasai 51 peratus undi popular dalam PRU ke 13.

“Maka pelbagai agenda telah dirangka dan dilaksana. Antaranya mensensasikan pertembungan PAS dan DAP serta pertembungan PAS dan PKR.

“Perbezaan pendirian parti dalam PR dipergunakan semaksima mungkin. Maka perbezaan 10 peratus dalam PR disensasikan menjadi 99 peratus,” katanya.

Katanya alasan menghormati Allahyarham dan menjaga hubungan antara negeri dan pusat serta mengelakkan pembaziran yang digunakan UMNO hanya politik tersurat.

Jelas Suhaizan, tindakan UMNO membuat pusingan U secara tiba-tiba tidak mahu bertanding di Chempaka dilihat mempunyai agenda tersirat.

“Supaya kita tidak dianggap lurus bendul, maka kita perlu memahami apa yang tersirat di sebalik strategi terbaharu UMNO ini.

“Politik lurus bendul adalah politik yang bertentangan dengan politik budiman,” katanya yang dipetik melalui Harakah Daily.

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menyatakan pandangan mereka bahawa UMNO tidak perlu bertanding di DUN Chempaka berdasarkan beberapa alasan.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Khamis, akibat kanser prostat.

Sehubungan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada Rabu menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Chempaka.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, Nik Aziz yang merupakan Mursyidul AM PAS memenangi majoriti 6,500 undi dan mengekalkan kerusi selama 7 penggal sejak tahun 1986.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/20/setiap-langkah-umno-berstrategi-suhaizan-kaiat/#ixzz3SGdkLzwq

Wednesday, February 18, 2015

PAS ada ramai calon pertahan DUN Chempaka

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan meneruskan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) walaupun bertembung dengan tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka.

Persidangan Dun ditetapkan pada 16 hingga 19 Mac manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon PRK N.06 Dun Chempaka pada 10 Mac dan hari mengundi pada 22 Mac.

Timbalan menteri besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun sidang Dun agak mengganggu tempoh berkempen namun ia perlu diteruskan kerana sudah ditetapkan.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa terkilan kerana SPR tidak merujuk kerajaan negeri bagi menetapkan tarikh PRK.

"Sepatutnya SPR merujuk kerajaan negeri terlebih dahulu bagi mengetahui program penting sepanjang Mac di Kelantan.

“Tarikh persidangan Dun 16 hingga 19 Mac sudah lama ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim, hari ini.

Ditanya mengenai calon, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata parti itu mempunyai ramai calon untuk mempertahankan kerusi tersebut.

“Ada ramai yang layak bertanding namum begitu kita belum tentukan lagi sekarang,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai Umno Kelantan yang dilihat kurang berminat menyertai PRK tersebut.

“Saya tak nak ulas lagi pasal itu. Kita tunggu 10 Mac betul atau tidak Umno tak nak bertanding,” katanya. - HARAKAHDAILY

Tuesday, February 17, 2015

DUN Chempaka: UMNO "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong"?


FMT Reporters
Dengan sokongan rakyat kian merosot berikutan pemenjaraan Anwar, UMNO ingin tumpang semangkuk atas kematian Nik Aziz
PETALING JAYA : Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Shahbudin Husin hari ini bertanya jika UMNO tetap tidak akan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Chempaka setelah hasrat untuk tidak bertanding dipersoalkan banyak pihak.

Alasan yang diberi adalah keadaan memerlukan UMNO dan PAS untuk terus bekerjasama membantu rakyat dalam pelbagai program bantuan yang sudah diatur.

“Alasan lain ialah kononnya, sebagai penghormatan kepada Nik Aziz yang baru meninggal dunia.

“Baru disedari rupanya oleh kebanyakan pemimpin UMNO melalui reaksi mereka bahawa Nik Aziz adalah pemimpin agama yang hebat, banyak menyumbang kepada Islam dan mencorakkan sebahagian politik negara,” tambahnya Dalai entri blognya shahbudindotcom.blogspot.

Maka itu, kata Shahbudin, sebagai penghormatan, ramai pemimpin UMNO berpendapat tiada keperluan meletakkan calon di DUN Chempaka yang merupakan “kerusi kebal” bagi Nik Aziz sejak puluhan tahun dulu.

“Jangan salah faham, UMNO bukan takut kalah atau bimbang undinya lebih merosot, tapi kerana sayang dan kasih kepada Tok Guru Nik Aziz. Tapi Ibrahim Ali pun tak percaya hakikat ini…. ,” katanya seperti menyindir.

Beliau mendakwa, dengan sokongan rakyat kian merosot berikutan pemenjaraan Anwar, tentulah UMNO ingin tumpang semangkuk dengan kematian Nik Aziz.

“Tetapi UMNO tetap sebuah parti politik. Walau lurus, tidak mustahil kelingkingnya berkait. Di sebalik batu, mungkin ada sepit ketam sedang menunggu,” tambahnya.

Atas sebab itu, katanya lagi, PAS terang-terang menolak sikap baik yang ditunjukkan UMNO seperti yang dinyatakan Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli bahawa, jika betul hormat dan menyanjung Nik Aziz, sepatutnya sejak dari dulu lagi UMNO tidak meletakkan calon menentangnya.

Malah, Dr Hatta juga menyarankan jika UMNO tidak mahu meletakkan calon DUN Chempaka, mereka juga seharusnya berbuat demikian di Permatang Pauh.

Shahbudin yang meragui kesanggupan UMNO tidak mahu bertanding di DUN Chempaka itu berkata, jika UMNO faham dan ada maruah diri, mereka tidak akan bercakap lagi soal tidak mahu bertanding di DUN Chempaka.

Ini kerana, tambah beliau, PAS jelas tidak percaya dan tidak menunjukkan keinginan untuk berbaik-baik dengan UMNO.

“Hanya UMNO yang dalam kesempitan jadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’,” katanya.

UMNO, dengar nasihat Tok Him! Jangan lepaskan DUN Chempaka begitu sahaja


oleh Alyaa Alhadjri

SEKILAS PANDANG: Buat pertama kalinya, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali bercakap sesuatu yang munasabah, apabila beliau mengingatkan Umno bahawa bertanding dalam pilihanraya adalah objektif parti politik.

Sementara niat sebenar Ibrahim boleh dipersoalkan, kenyataannya memang tidak dapat dinafikan; Umno masih parti politik terbesar di Malaysia dan bukannya NGO seperti Perkasa.

“Sebagai parti politik, (Umno) berilah seribu alasan sekali pun, prinsipnya mesti bertanding (dalam pilihanraya),” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebooknya.

Ibrahim mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed 14 Februari lalu, bahawa Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding” dalam Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Chempaka, berikutan kematian Murshidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mustapa yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, Umno dan BN perlu kekal fokus dalam usaha membantu sejumlah 150,000 mangsa banjir besar yang melanda pantai timur Desember lalu.

“Saya berasakan jika BN bertanding, ia akan menyebabkan ketegangan dan perpecahan yang sering berlaku dalam PRK.

“Untuk elakkan pertelingkahan, lebih baik kita tumpukan pada usaha membantu membina kembali Kelantan pasca-banjir,” kata Mustapa yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan.
Ahli Parlimen Jeli itu berkata lagi, itu hanyalah pandangan peribadi yang akan dibincang dan diputuskan selepas pertemuan dengan Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Jawatankuasa Perhubungan Negeri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut menyuarakan sentimen yang sama, atas sebab rasa hormat kepada Tok Guru dan keperluan untuk fokus kepada usaha pemulihan banjir di negeri itu.

Namun, Ibrahim menyifatkan alasan yang diberikan Mustapa sebagai “kelakar”. Katanya, banjir sepatutnya menjadi sebab yang kuat untuk Umno bertanding, kerana ia memberikan peluang untuk membuktikan kepada pengundi bahawa pemimpin dan parti mana yang paling berkhidmat kepada mereka.

“Jangan bersifat hipokrit. Baik cakap terus terang, Umno Kelantan tidak bertanding kerana takut kalah. Budak pun boleh faham,” kata politikus veteran itu.

Nik Aziz memegang kerusi DUN Chempaka selama hampir 20 tahun, sejak tahun 1995. Namun, Ibrahim mengingatkan Mustapa bahawa ia disebabkan karisma peribadi ulamak itu dan bukannya tanda kekuatan PAS secara keseluruhan.

“PAS beria-ria mahu kerjasama dgn Umno dalam usaha bantuan banjir sebab tidak mampu untuk tanganinya sendiri. (Sebelum ini) PAS dengan angkuh tolak kerjasama atas nama perpaduan Melayu.

“Maka hari ini, banjir Umno yang urus, kerusi DUN pula secara percuma beri kepada Pas. Baik betul Tok Pa,” katanya lagi. Beliau merujuk kedudukan Mustapa yang menjadi pengerusi bersama dalam jawatankuasa banjir tersebut.

Seperti menyokong pandangan Ibrahim, agensi berita nasional Bernama 15 Februari lalu memetik pensyarah Pengajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib sebagai berkata, BN “tidak patut mengabaikan tanggungjawab sebagai parti politik” dengan melepaskan kerusi DUN Chempaka kepada PAS.

“BN tidak boleh kelihatan lemah dalam hal ini, juga tidak boleh meletak senjata lebih awal sebelum berjuan,” katanya.

Setakat ini, tiada petunjuk tentang calon PAS yang bakal menggantikan Nik Aziz. Namun pertembungan menarik boleh terjadi jika Ibrahim sendiri berani untuk “kembali bersemuka” dengan anak allayarham dan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Ibrahim yang bertanding atas tiket bebas pada PRU lalu gagal mempertahankan “kubu kuat”nya daripada Nik Abduh – walaupun berkhidmat di kawasan parlimen itu selamat lima penggal dalam tempoh 1986-2013.

Pemerhati segera mengaitkan seruan Mustapa dengan apa yang dilihat sebagai usaha untuk memupuk “perpaduan politik” antara Umno dan PAS di Kelantan, satu langkah yang ditentang keras Nik Aziz sepanjang hidupnya.

Malah sudah timbul kebimbangan di dalam PAS, bahawa pemergian Nik Aziz akan membuka pintu kepada perbincangan “kerjasama” antara parti Islam itu dengan Umno, terutama kepada ahli yang lebih muda yang tidak mengalami sendiri kesan perpisahan penuh trauma mereka pada 1977.

Krisis politik 1977 di Kelantan membawa kepada pengisytiharan darurat, dan PAS kemudiannya dibuang daripada gabungan BN.

PAS juga tewas dalam pilihanraya negeri pada Mac 1978 dan hanya kembali mentadbir negeri itu pada tahun 1990.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Umno-dengar-nasihat-Tok-Him-Jangan-lepaskan-DUN-Chempaka-begitu-sahaja#sthash.3UEB9DJD.dpuf

Sunday, February 15, 2015

PAS tetap sedia pertahan DUN Chempaka

KHAIRIL ABDUL RAHIM | 15 Februari 2015.
TEMERLOH: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS tetap bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka, Kelantan sama ada melalui pilihan raya kecil (PRK) atau sebaliknya.

“PAS bersedia dalam apa saja keadaan sama ada akan ada PRK Chempaka nanti menentang calon dari BN ataupun calon Bebas ataupun menang tanpa bertanding.

“Persoalan mungkin BN tidak meletakkan calon, dulupun pernah berlaku dalam PRK Penanti (Pulau Pinang),” katanya dalam sidang media selepas majlis Taklimat Tertutup antara barisan Jawatan Kuasa Harian PAS Pusat diketuai Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Jawatan Kuasa PAS kawasan-kawasan negeri ini di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai saranan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa BN tidak perlu meletakkan calon bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di negeri itu.

Pendapat tersebut turut dikongsi Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin

Sementara itu, mengenai calon PAS yang akan menggantikan tempat Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mohamad berkata Perhubungan PAS Kelantan dan Pusat belum bermesyuarat.

“Tunggulah, kita belum bincang lagi dan SPR juga belum umumkan kekosongan lagi,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat dan Setiausaha PAS negeri, Roslan Zainal.

Sementara itu jelajah pimpinan PAS Pusat ke seluruh negeri ini bermula dengan kuliah subuh hari ini, taklimat tertutup, jamuan rakyat di Bandar Pusat Jengka, ziarah, hi-tea dan ceramah umum serentak pada sebelah malamnya di Kuantan, Jerantut, Bera dan Kuala Krau. - HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-