KUALA LUMPUR, 17 Februari :
Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang sedang berada di Australia dilapor kini mempertimbangkan untuk membuat pendedahan mengenai punca dia dan bekas pegawai polis berpangkat Cif Inspektor di unit yang sama, Azilah Hadri, membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Bekas anggota unit elit polis yang sedang dalam pelarian itu memberitahu bahawa beberapa media Australia telah pun memohon untuk mengadakan sesi wawancara secara ‘terus terang’ dengannya.
“Saya belum putuskan untuk ditemubual,” Sirul dilaporkan berkata melalui perbualan telefon dengan portal berita Malaysiakini (pautan http://www.malaysiakini.com/news/289596) baru-baru ini.
Malaysiakini turut melaporkan Sirul kemungkinan bersedia mendedahkan segala-galanya jika wawancara itu menjadi kenyataan.
“Ya, saya pertimbangkan kemungkinan ini dengan serius,” ketika ditanya wartawan portal berkenaan.
Sirul yang sedang ditahan pihak imigresen Australia di Sydney dikatakan dihubungi beberapa stesen televisyen negara itu dan rundingan antaranya dan pihak berkenaan masih berjalan.
Malaysiakini juga mendakwa Sirul memberitahu dia tidak kenal mangsa pembunuhan itu mahupun penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang dilepas dan dibebaskan dalam kes itu.
“Saya bertindak atas arahan. Orang penting yang mempunyai motif masih bebas,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
“Ia bukan bermakna saya tidak sayangkan (pasukan) polis, tetapi saya bertindak atas arahan,” tegasnya.
Mengenai keadaannya di pusat tahanan, Sirul memberitahu keadaannya OK dan dia dibenarkan menggunakan telefon serta Internet.
“Saya biasanya baca Malaysiakini, Utusan (Utusan Malaysia) dan Harakah untuk ikuti perkembangan di kampung halaman,” Sirul dilaporkan bercerita kepada portal itu.
Bagaimanapun, dia yang berstatus duda berusia 43 tahun dikatakan bimbang mengenai dua anak remajanya di Malaysia yang berhenti sekolah, akibat kes dihadapinya.
Januari lalu, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati apabila disabitkan bersalah dalam kes tersebut oleh Mahkamah Persekutuan.
Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum itu, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk melindungi rancangan pihak tertentu.
Sirul kemudiannya tidak hadir di Putrajaya ketika Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan kerana berada di Australia.
Untuk rekod, undang-undang Austalia tidak membenarkan seseorang individu yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara asal.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/uncategorized/2015/02/17/sirul-dilapor-sedia-dedah-punca-altantuya-dibunuh-kepada-media-australia/#ixzz3S1HLWJ5h
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.