Sunday, June 7, 2015

Pertemuan dengan UMNO 'haram' bukan ketetapan PAS - Hadi Awang

Hadi bertegas akan terus melakukan apa yang wajar selagi ia tidak melanggar batas dan syariat agama. - Foto TRP/Azrol Ali

KUALA SELANGOR, 6 Jun:

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS akan terus mengadakan pertemuan dengan UMNO walaupun ada pihak yang tidak senang dengan pendekatan itu.

Menurut beliau, tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan perjumpaannya dengan UMNO adalah berdasarkan perasaan cemburu.

“Malangnya ada yang cemburu, cemburu macam isteri tak benarkan suami pergi ke pasar, tak boleh berjumpa dengan perempuan apa sahaja, nak ke pasarpun tak boleh.

“Asal jumpa dengan UMNO sahaja tak boleh, diharamkan!

“Itu bukan pendekatan kita walaupun kita berada dalam Pakatan Rakyat,” katanya dalam ucapan Penangguhan Presiden PAS pada Muktamar Tahunan Ke-61 petang ini.

Pada Mac lalu, DAP menyatakan rasa kesal terhadap Hadi ekoran menjalankan kerjasama dengan UMNO berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini di dalam satu kenyataan berkata, beliau berasa kesal atas tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah Abdul Hadi yang bekerjasama dengan UMNO untuk melanggari semangat konsensus serta dasar bersama.

Susulan daripada itu, Hadi bertegas akan terus melakukan apa yang difikirkan wajar selagi mana ia tidak melanggar batas-batas dan syariat agama.

Dalam masa yang sama, Hadi buat kesekian kalinya memberi amaran kepada pihak luar untuk tidak mencampuri urusan PAS.

Katanya, ekoran campur tangan pihak luar kepada PAS selama ini menyebabkan kepimpinan mereka tercalar dengan imej yang negatif.

“Isu kepimpinan parti. Itu urusan dalaman PAS, kita berkempen orangpun berkempen pemilihan kita.

“Kesian rakan-rakan (ahli-ahli) kita yang menjadi mangsa, tidak ada ahli-ahli PAS yang melanggar hukum Syariah, tidak ada dalam pemimpin PAS yang menolak akidah Islam, kalau mereka tolak akidah Islam mereka tak masuk PAS.

“Tapi akibat salah laku, rakan-rakan (PKR dan DAP) yang menyebabkan kepimpinan kita tercalar,” jelasnya di dalam ucapan yang sama.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/06/pertemuan-dengan-umno-haram-bukan-ketetapan-pas-hadi-awang/#ixzz3cIOWenyg

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-