Showing posts with label Presiden PAS. Show all posts
Showing posts with label Presiden PAS. Show all posts

Friday, March 6, 2020

‘Saya balik jadi nelayan pun tak apa’ – Presiden PAS

Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Keutamaan PAS adalah memastikan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi, gejala sosial, perpaduan, pembangunan insan dan manusia yang mesti dipentingkan dan dititikberatkan.

Adapun berkait dengan pelantikan menganggotai Kabinet, PAS mengulangi penegasan bahawa menyerahkan sepenuhnya hal tersebut kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk melantik dalam kalangan semua yang layak.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahkan ketika dinyatakan bahawa banyak pihak mahukan beliau dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya menzahirkan sikap merendah dirinya terhadap cadangan itu.

“Saya terbuka kepada Perdana Menteri dan tidak mewajibkan saya dipilih. Kalau saya tak dipilih pun tak apa, saya balik jadi nelayan pun tak apa, tak jadi masalah. Saya nak bekerja untuk negara. Terbuka. Yang calonkan saya itu rakyat, orang biasa. Bukan orang biasa yang boleh calonkan, sepatutnya Perdana Menterilah yang mencalonkan.

“Sepatutnya orang itulah, bukan si anu si anu mencalonkan saya. Ada orang syok kalau orang calonkan dia. Saya tak syok orang calonkan saya,” ujarnya pada sidang media khas selepas Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.

Malah, beliau mengulangi sebagaimana kenyataan medianya sebelum ini untuk pelantikan itu mengambil kira kemajmukan rakyat, kalangan bukan-Islam, profesional termasuk juga daripada Sabah dan Sarawak, selain berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran.

Ahli Parlimen Marang itu juga sebelum ini menegaskan bahawa dalam hal tersebut PAS tidak ada sebarang syarat atau permintaan, selaim mengharapkan Kerajaan Persekutuan mengutamakan agenda rakyat dan negara.

“Memulihkan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin, meningkatkan tahap pendidikan, dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seterusnya menjaga prinsip Federalisma dengan Negeri-Negeri.

“PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk dan menyarankan Kerajaan untuk berlaku adil dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” ujar beliau dalam sidang media pertama selepas kemelut minggu lalu. 

– HARAKAHDAILY
   6/3/2020

Monday, July 22, 2019

Pesan Hadi: Jauhi pendakwah jahil murakkab, tentera syaitan

News | Diterbitkan Hari ini 4:55 petang


Kurang dari 12 jam selepas pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, berdepan bantahan penyokong pembangkang, hari ini Presiden PAS bersyarah panjang mengenai sifat agamawan yang didakwanya dikasihi "musuh".

Kata Abdul Hadi Awang pada ketika ini ada pendakwah yang gigih mencari populariti dan sanggup melakukan apa saja untuk menjual dirinya.

Menurut Abdul Hadi pendakwah terbabit akan mencari "pelanggan" seramai mungkin atau "bergantung" pada dahan yang banyak buah untuk memuaskan keinginan nafsu.

Tanpa menamakan atau mengaitkan kenyataan itu kepada sesiapa, Abdul Hadi berkata, antara ciri pendakwah sebegitu ialah gemar menyebarkan hukum yang dianggap luar biasa pada pandangan orang ramai.

Tujuannya, kata anggota parlimen Marang itu, ialah menarik perhatian umum.

"Ini sikap yang salah - kerana niatnya yang salah - walaupun (mengemukakan) pendapat yang paling kuat dalam perkara cabang, apatah lagi kalau pendapat (dikemukakan itu) yang nyata lemahnya," kata Abdul Hadi.

Tokoh yang kini menjadi presiden PAS paling lama dalam sejarah itu menjelaskan pada zaman sekarang ada pendakwah yang digunakan musuh untuk mencetuskan masalah dalam masyarakat Islam.

"Kadang-kadang dia sendiri tidak sedar dipergunakan (oleh musuh) kerana jahil murakkab (jahil berganda-ganda) dalam urusan dakwah," katanya.

Selamatkan agama dulu

Malam tadi program Wan Ji di Melaka tergendala apabila muncul sekumpulan orang awam - yang juga penyokong pembangkang - membantah ceramah berkenaan.

Bantahan terhadap bekas ulama pelapis PAS itu berlangsung di Masjid ar-Rahman,Kampung Parit Melana di Durian Tunggal. Gerakan Pembela Ummah Melaka didakwa menjadi pihak yang bertanggungjawab membuat bantahan berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Wan Ji berkata tindakannya yang tekal mengkritik PAS sejak akhir-akhir ini dipercayai mendorong penyokong parti pembangkang bertindak membantah ceramahnya di Melaka malam tadi.

Baca Darah munafik dah ditapis dari PAS, kata penyajak

Untuk rekod Wan Ji sebelum ini pernah menawarkan diri untuk berdebat atau berdialog dengan Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh, dalam isu 'fatwa' anggota parlimen Pasir Puteh itu mewajibkan kerajaan PH dijatuhkan.

Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak bersemuka selepas Nik Zawawi menolak dengan alasan beliau mahu berdialog dengan pihak yang setaraf, bukan dengan “budak-budak jalanan yang menghabiskan masa dengan sia-sia”.

Kata Abdul Hadi pada zaman ini ada kalangan pendakwah yang mencari keredaan musuh Islam sehingga ke tahap 100 peratus.
"Maka dibimbangi dia (pendakwah terbabit) menjadi anggota tentera syaitan yang panjang umurnya itu," katanya.

Sepatutnya, kata Abdul Hadi, umat Islam diselamatkan agamanya terlebih dahulu dengan budaya ilmu.

Namun katanya terdapat pendakwah yang bersikap menjadi hakim yang suka menjatuhkan hukuman dengan mudah tanpa melihat tahap kefahaman Islam seseorang.

Pendakwah sebegitulah, kata Abdul Hadi, boleh digunakan musuh supaya mencetuskan masalah dalaman umat Islam, sehingga berlaku perpecahan dan membawa kepada perang saudara dalam negara.

Katanya, walaupun dakwah itu menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk menegakkan agama, namun ia perlu mengambil kira tahap kemampuan pendakwah, selain khalayaknya, serta kaedah yang digunakan supaya benar-benar mejadi penyelamat manusia.

"Maka nyatalah apabila pendakwah itu atau kumpulannya dibiarkan oleh musuh Islam, atau dibela oleh musuh Islam, menandakan adanya kesalahan yang berlaku. Maka muhasabah hendaklah dilakukan terhadapnya (pendakwah terbabit)," katanya.

Sunday, April 1, 2018

Umno yakin rampas Marang dari Hadi

BERITA
Diterbitkan 1 Apr 2018

PRU14 I   Umno Marang menyatakan keyakinan akan merampas kerusi parlimen berkenaan daripada penyandangnya yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Wan Ku menyifatkan kawasan itu bukan lagi kubu kuat PAS dan percaya pengaruh parti Islam itu akan berakhir pada pilihan raya umum kali ini.

"Persaingan pastinya sengit namun saya yakin BN akan menang kali ini. Keyakinan ini berdasarkan tahap perpaduan dalam parti bersama semangat, komitmen ditunjukkan semua jentera parti.

"Ini termasuklah sayap wanita dan puteri serta veteran Umno yang konsisten berada pada tahap tinggi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Selain parlimen, Umno juga yakin dapat menawan kerusi DUN Rhu Rendang yang turut disandang Hadi.

"Berdasarkan reaksi rakyat, saya percaya Rhu Rendang akan menjadi milik BN dengan bantuan hampir 10,000 ahli Umno, pengundi atas pagar dan pengundi PAS yang tidak berpuas hati dengan parti mereka," katanya.
Dun Rhu Rendang dan Parlimen Marang sebelum ini dianggap kubu paling kuat PAS di Terengganu apabila kerusi tersebut dikuasai oleh presidennya.

Pada pilihan raya umum lalu, Abdul Hadi mempertahankan Marang dengan majoriti 5,124 undi dan Rhu Rendang dengan majoriti 2,819 undi. 

Beliau bagaimanapun pernah tewas kepada calon Umno, Abdul Rahman Bakar di parlimen berkenaan dengan majoriti tipis 163 undi pada PRU 2004.

Mengulas lanjut, Nik Dir yang juga pegawai penyelaras Dun Rhu Rendang berkata, Umno tidak pernah mengabaikan pengundi di kawasan itu meskipun tewas pada PRU lalu.

Katanya selepas berakhir PRU13, jentera parti terus digerakkan untuk turun padang dan mendekati anggota masyarakat termasuk golongan muda.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 33 keluarga di Rusila menerima bantuan membabitkan baik pulih rumah dan atap dengan perbelanjaan hampir RM2 juta di samping 100 penduduk uzur turut dibantu.

Wednesday, November 22, 2017

Parti Islam lebih bahaya daripada Parti Komunis?


KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan penyokong PAS tentang tuduhan yang pernah dilemparkan keatas parti itu oleh tokoh tertentu iaitu PAS yang menegakkan Islam lebih bahaya berbanding komunis.

Menurut beliau, individu yang melemparkan tuduhan itu keatas PAS terikut-ikut menggunakan istilah `lanun’ yang dipopularkan oleh golongan orientalis terhadap Islam selama ini.

“Malangnya masih terdapat kalangan yang berjenama penganut Islam tetapi terikut-ikut menggunakan istilah lanun yang dipopularkan oleh para Orientalis terhadap bangsa Islam yang menentang penjajah.

“Ia termasuk kenyataan mereka menyebut bahawa PAS yang menegakkan Islam lebih bahaya daripada Komunis. Hanya Melayu yang mudah lupa sahaja yang melupai kenyataan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata, individu yang membuat kenyataan itu bertindak serupa seperti beberapa tokoh politik Barat yang memberi amaran kononnya Islam jauh lebih bahaya berbanding komunis.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dilaporkan mendakwa parti PAS lebih berbahaya berbanding komunis.

– MYNEWSHUB.CC


Sunday, July 23, 2017

Umat Islam perlu bersatu elak diratah kuasa asing, kata Hadi

Bernama
July 23, 2017

Hadi berkata pada masa ini umat Islam "diratah" di seluruh dunia terutamanya melibatkan penduduk di Palestin dan beberapa negara Asia Barat yang lain.
KOTA BHARU: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak umat Islam seluruh dunia supaya bersatu bagi mempertahankan Islam daripada direndah-rendahkan pihak luar.

Beliau berkata pada masa ini umat Islam “diratah” di seluruh dunia terutamanya melibatkan penduduk di Palestin dan beberapa negara Asia Barat yang lain.

“Sekarang umat Islam diratah di seluruh dunia… umat Palestin; mereka adalah penduduk Baitulmaqdis, penjaga Baitulmaqdis. Sekiranya umat bersatu cahaya Islam tidak akan terpadam, ” katanya.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata demikian ketika menyampaikan pidato pimpinan Islam sedunia semalam, sempena malam kemuncak Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia ke-4 yang diadakan selama 3 hari bermula Khamis lepas.

Turut hadir Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika membacakan resolusi 20 perkara yang dicapai pada ijtima itu, berkata ijtima antarabangsa itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkutuk rejim Zionis dengan penutupan Masjid Al-Aqsa yang bertujuan untuk meroboh dan memusnahkannya.

Resolusi lain, beliau berkata menangani permasalahan dan isu umat Islam yang ditindas di negara-negara minoriti Muslim, mewujudkan permuafakatan antara negara minoriti dengan negara majoriti Muslim agar kekuatan Islam dapat digarap secara berkesan dan dapat menaungi umat Islam yang lemah.

Mempelopori usaha untuk mengharmonikan isu-isu khilafiyah di kalangan masyarakat supaya tidak memberi ruang kepada musuh untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam, katanya.

Tuesday, June 27, 2017

Kita tadah tin milo, dia tadah beg James Bond

by MT Webmaster
Dr Azman Ibrahim, Harakah
Angka £30,000 tak sukar untuk dikumpulkan oleh Sarawak Report kerana kufar dan yang sewaktu dengannya akan bersatu hati bagi menentang Islam dan perjuangan Islam.

PERHATIKAN siapa yang jadi agen Sarawak Report untuk tadah beg James Bond kutip crowd funding di Malaysia bagi mencari dana untuk lawan Presiden PAS di Mahkamah London.

Yang bantu itulah mereka yang manusia sehati dan sejiwa dengan Sarawak Report untuk berkonfrantasi dengan perjuangan Islam yang didukung PAS di Malaysia.

Angka £30,000 tak sukar untuk dikumpulkan oleh Sarawak Report kerana kufar dan yang sewaktu dengannya akan bersatu hati bagi menentang Islam dan perjuangan Islam. Kalau tak cukup, boleh minta dengan deretan nama-nama besar tauke barat dan Yahudi yang kaya raya. Angka sebanyak itu sekadar celah gigi saja.

Mereka yang sayangkan Islam perlu melihat bahawa fitnah 90 juta ini bukan ditujukan kepada batang tubuh Presiden PAS seorang diri dan bukan juga kepada parti PAS kerana namanya PAS tetapi kerana peranan yang dimainkan oleh PAS sebagai benteng Islam di bumi Malaysia. Maka kerana itu imej PAS perlu dirosakkan. Fitnah ini ditujukan kepada PAS kerana perjuangan Islam. Berjaya merosakkan imej PAS bermakna berjaya merobohkan sebahagian dari benteng Islam yang berdiri teguh di Malaysia. Kalau PAS sebuah parti sekular, pastinya PAS tak akan berhadapan dengan fitnah yang jijik ini.

Puak kufar penentang Islam

Tapi begitulah sunnah Allah. Dalam perjuangan getir ini, kalau kita merasa sakit maka musuh kita juga merasa sakit. Lebihnya di pihak PAS kerana kita ada Allah sebagai tempat berharap, apa yang mereka tak harapkan.

Kalau kita disindir tadah tin Milo, mereka pula tadah beg James Bond! Pokoknya kutip derma dari publik juga. Maknanya mereka pun sakit juga. Kalau kita tak tidur malam, apa kurangnya mereka.

Jangan ingat PAS ini parti Tok Lebai yang ahlinya ‘orang darat’ kilas kain pelikat berselipar Jepun. Bunyi Mahkamah London pun dah kecut perut. Nak jijak kaki di London pun sesat kebarat, apatah lagi nak failkan saman!

Untuk Rekod Presiden PAS pernah menang kes saman lawan Daily Mirror, sebuah akhbar berpangkalan di London pada tahun 2007 apabila akhbar yang berpangkalan di London tersebut menyiarkan gambar Presiden PAS dan mengaitkan Tuan Guru Presiden dengan beberapa siri keganasan dan pengeboman di United Kingdom. Akhirnya Daily Mirror terpaksa bayar ganti rugi dan mengemukakan permohonan maaf. Mungkin Sarawak Report miss dengan rekod ini.

Monday, April 10, 2017

KAMI kesal tindakan Nanyang Siang Pau bermain api

Oleh Wartawan BO
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengutuk keras tindakan akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau yang menerbitkan karikatur mengumpamakan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet.

Ketika KAMI memperjuangkan liputan media yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab ternyata Nanyang Siang Pau masih berada di takuk media primitif.

Lebih membimbangkan apabila isu yang diperolokkan serta dipersendakan ialah pindaan RUU Akta 355 yang menyentuh soal kepentingan penganut Islam di Malaysia.

Menyentuh soal sensitiviti penganut Islam oleh sebuah akhbar bukan Islam adalah tindakan bermain api yang sangat bahaya dan boleh menggugat keharmonian masyarakat pelbagai agama dalam negara.

Ternyata Nanyang Siang Pau terikut-ikut dengan gelagat ala sarkas sebahagian Ahli Parlimen ketika pembentangan Usul Pindaan RUU 355 pada Khamis lepas.

KAMI berharap agar pihak berkuasa Kementerian Dalam Negeri menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi mengambil tindakan terhadap Nanyang Siang Pau yang kelihatan jelas melanggar syarat-syarat penerbitan akhbar.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)

10 April 2017.

Friday, February 24, 2017

Tiada masalah jika Pas mahu sendirian

24 Februari 2017 | ARIF ATAN
Pakatan pembangkang mampu mencabar BN dalam pilihan raya akan datang dengan sokongan rakyat pelbagai kaum.

Sikap Pas yang masih enggan bersama-sama Pakatan Harapan biarpun dipujuk banyak pihak sebelum ini dilihat tidak mendatangkan masalah besar kepada gabungan parti pembangkang, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau dalam ucapannya di Ulu Tiram, Johor semalam turut menyifatkan program anjuran Pas yang menyokong pindaan Akta 355 pada 18 Februari lalu bukannya bertaraf himpunan sebaliknya sekadar majlis ceramah.

"Kalau sekarang (Pas) nak duduk sorang-sorang, silakan. Tiada masalah. Himpunan (RUU) 355? Jangan. Itu ceramah perdana ada nasi bungkus, bas, orang besar makan. Itu bukan demonstrasi.

"Sebab kalau demonstrasi di Malaysia ini, hang jangan lawan Abang Mat. (Saya) bukanlah pakar tapi balai polis di KL turun naik dah sebab itu polis-polis ramai jadi kawan saya," ujar bekas Timbalan Presiden Pas itu dengan nada berseloroh. 

Menurutnya yang berkecimpung hampir 40 tahun dalam Pas, parti tersebut sebelum ini sama sekali tidak pernah mendapat sokongan majoriti pengundi walaupun puluhan ribu menghadiri program yang dianjurkan.

"Di Kedah selepas peristiwa Memali pada tahun 1986, satu ceramah dibuat di sebuah kampung di Jerai. Penceramahnya adalah Presiden Pas, Yusof Rawa; Timbalannya, Fadzil Noor ketika itu dan Naib Presiden, Tok Guru Hadi bersama pimpinan Pemuda.

"Kehadiran ramai tak tahu puluhan ribu. Kereta terakhir (keluar) pukul 4 pagi. Punya ramainya. Bila datang pilihan raya tahun 1986, Pas hanya dapat satu kerusi di seluruh Malaysia iaitu di Pengkalan Chepa. Kedah langsung tak dapat," jelasnya.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu berkata, keputusan tersebut disebabkan pengundi bukan Melayu masih tidak meyakini Pas.

"Waktu itu orang Cina, India, Siam takut nak undi Pas. Memang kita (Pas ketika itu) ceramah ramai, tapi kerusi dapat satu di Pengkalan Chepa, di Kedah dapat tiga," ujarnya.

Bahkan, menjelang tahun 1990, jelasnya, projek besar keluarga Vincent Tan di Gunung Jerai yang mencecah kos RM4.5 bilion juga masih belum memberi kemenangan kepada Pas.

"Tanah-tanah orang Melayu di kaki bukit diambil. Bila kita dapat maklumat itu, Pemuda Pas gerakkan jentera, saya berceramah di kaki Gunung Jerai. Kehadiran puluhan ribu orang tapi datang pilihan raya, Dun (Dewan Undangan Negeri) tempat saya ceramah itu pun tak menang.

"Waktu itu Pas dengan Umno 50-50. Yang jadi penentu (undi) non-Muslim. (Pengundi) Cina 3,000 lebih memihak kepada BN, BN menang. Tahun 2008, orang Cina memihak kepada Pas maka BN kalah di Parlimen Jerai. Itulah hasil muafakat," tambah Mat Sabu lagi.

Thursday, November 24, 2016

Adenan Satem sekali lagi arah Ahli Parlimen Sarawak tolak RUU Mahkamah Syariah


KUCHING, 23 Safar 1438H, Rabu – Kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sarawak, termasuk yang beragama Islam diarahkan untuk tidak bersetuju terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

Arahan itu dinyatakan sewaktu pertemuan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem ketika sidang Dewan Undangan Negeri hari ini bersama Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri James Masing.

Dr Sim berkata, parti komponen BN negeri tidak akan menyokong RUU yang akan dibaca kali kedua di Parlimen minggu ini.

“SUPP memang membantah rang undang-undang itu kerana ia tidak seiring dengan intipati Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani.

“Ketua Menteri bersama BN Sarawak berkaitan rang undang-undang hudud ini. SUPP telah mengarahkan ahli parlimennya untuk menolak rang undang-undang itu apabila tiba masa untuk mengundi.

“Semua parti komponen BN negeri juga bersatu dalam hal ini,” kata Dr Sim pada sidang media di Kompleks DUN itu, hari ini.

Sarawak mempunyai 31 Ahli Parlimen merangkumi 25 dari BN, lima (DAP) dan seorang wakil PKR.

RUU itu dijangka akan dibentangkan esok oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Wednesday, October 26, 2016

Usul pindaan RUU355 tidak muncul, adakah Hadi Awang sudah dipermainkan Perdana Menteri?

KUALA LUMPUR, 26 OKT:   Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen hari ni mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah diperalat Perdana Menteri Najib Razak melibatkan ususl pindaan RUU355.

“Boleh kita tau, adakah (ada) udang di sebalik batu atau persetujuan sulit antara Marang dan Pekan (Perdana Menteri Najib Razak) supaya usul ini dinaikkan dan memecahbelahkan pembangkang supaya UMNO boleh terus tadbir negara ini?” soalnya mencelah perbahasan Abdul Hadi di Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Beliau menzahirkan rasa hairan kerana Presiden PAS itu seolah-olah merelakan diri diperalat oleh Najib Razak apabila usul tersebut dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat untuk dibahas, namun tidak muncul-muncul.

“Adakah Marang sedar bahawa tindakan itu telah memecahkan perpaduan pembangkang dan juga musnahkan harapan rakyat yang hendak menyelamatkan negara ini daripada genggaman UMNO?

“Ia juga telah menggugat asas pembentukan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya sambil menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan perlulah didaulatkan kerana ia merupakan asas persetujuan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia.

“Saya juga nak tanya Marang adakah YB sedar walaupun sekarang usul (itu) telah diturunkan walaupun ia telah dinaikkan sebelum ini, Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak takkan sokong kerana ia melanggar terma persetujuan membentuk Malaysia,” kata Pengerusi DAP Sarawak itu.

Hadi kemudian berkata naik turun usul persendiriannya itu merupakan urusan Speaker.

“Bukan urusan saya. Saya kemukakan usul, terpulang pada mereka nak letak nombor satu, tujuh, 40.

“Ada udang ke, ikan ke, buaya, saya tak tahu. Ini terpulang,” kata Presiden PAS itu.

 – Roketkini.com

Monday, November 9, 2015

Hadi berjaya batalkan saman cabar hudud

Hafiz Yatim
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berjaya membatalkan permohonan saman pemula empat individu yang memohon untuk mencabar usul pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen yang membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Keputusan itu dibuat hari ini oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Asmabi Mohamad yang memerintahkan bahawa permohonan itu perlu dibuat melalui semakan kehakiman dan bukannya melalui saman pemula.

Beliau juga memutuskan bahawa empat pemohon berkenaan - Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar, dan Hazwany Jamaluddin - tidak mempunyai locus standi (hak mengikut undang-undang) untuk membuat cabaran itu kerana tidak menyatakan kepentingan mereka dalam perkara itu.

"Mahkamah juga memutuskan bahawa Hadi telah memfailkan dengan betul rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 melalui rang undang-undang persendirian di Parlimen.

"Mahkamah juga mendapati bahawa keempat-empat mereka tidak boleh memohon injunksi ke atas seseorang pegawai kerajaan kerana setiausaha Parlimen adalah seorang pegawai kerajaan," kata peguam Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan, yang juga adalah setiausaha agung PAS, ketika dihubungi.

Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 yang cuba dibentangkan itu menurut saman pemula itu, bukan sahaja didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malahan dianggap mengelirukan bahkan dikatakan suatu cubaan untuk memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tanpa batasan.

Akta yang mahu dipinda oleh Hadi dan PAS adalah berhubung had hukuman kesalahan syariah yang sehingga hari ini hanya membenarkan enam sebatan rotan, tiga tahun penjara dan denda sehingga RM5,000.

Pindaan itu bertujuan untuk mengenakan hukuman yang lebih besar.

[Baca berita penuh]

Sunday, November 8, 2015

Azmin nafi dijemput sertai Pas

WARTAWAN SINAR HARIAN
Mohamed Azmin (kanan) beramah mesra dengan wakil Dewan Perniagaan Malaysia-China dan juga Bank Of China (Malaysia) Berhad, semalam.

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan mengatakan beliau dijemput untuk menyertai Pas sekali gus akan meneruskan kerjasama dengan Umno di Selangor.

Menurutnya, dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Perkara itu tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

“Dakwaan kata saya jumpa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang ada, malah saya pun ada jumpa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun perkara itu (pujukan menyertai Pas) adalah tak benar,” katanya ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menyokong dakwaan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengenai tindakan Abdul Hadi cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor melalui Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Usahawan Malaysia-China (MECC) kali kelima anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China dengan kerajaan negeri dan Bank Of China (Malaysia) Berhad di Dewan Jubli Perak, SUK di sini, semalam.

Mohamed Azmin yang juga menteri besar berkata, beliau sendiri tidak tahu-menahu berkenaan perkara itu.

“Saya tak nak cakap pasal politik, orang nak cakap apa pun cakaplah.

“Kita sebagai kerajaan negeri yang kukuh dengan barisan Exco serta wakil rakyat akan terus berkhidmat untuk rakyat di negeri ini. Itu fokus kita sekarang,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas gesaan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan Jabatan Audit Negara menyiasat Darul Ehsan Investment Group (DEIG), Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata, DEIG sentiasa bersedia untuk disiasat.

“Sudah banyak kali saya cakap DEIG belum beroperasi.

Kalau Abdul Khalid nak siasat juga, silakan.

Kita mengamalkan prinsip ketelusan dan ini adalah jaminan kerajaan negeri sejak awal lagi,” katanya.

Najib dan Hadi : Antara kepentingan parti dan peribadi

FMT Reporters

Kenyataan Presiden Pas berhubung isu tertentu menunjukkan percanggahan dengan barisan kepimpinan tertinggi parti itu sama seperti Najib
PETALING JAYA: Kemelut dalam kepimpinan tertinggi Pas sama seperti dalam UMNO.

Beberapa kenyataan yang menimbulkan percanggahan antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mereka yang di bawahnya, menunjukkan parti itu sedang haru biru.

Berhujah atas pendedahan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, penulis blog, Shahbudin Husin berkata, Ahli Parlimen Marang itu perlu meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin baharu yang boleh membawa perubahan kepada masa depan perjuangan Pas.

“Antara “kekeliruan” dan “haru biru” serta tindakan “buang tabiat” yang dibangkitkan Husam ialah percanggahan kenyataan oleh kepimpinan parti yang antaranya berkaitan isu 1MDB, kerjasama dengan UMNO dan hubungannya dengan Perkasa,” tulisnya di shahbudindotcom.blogspot

Sejajar dengan pandangan Husam, dia bersependapat untuk menyelamatkan parti itu, Abdul Hadi perlu diganti dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini merupakan pemimpin nombor dua dalam Pas.

Sekiranya pandangan itu diterima ia bermakna perwakilan parti itu akan melakukan pembaharuan pada pemilihan kepimpinan pada 2017.

Jika tidak, ia bermakna Pas akan terus terbeban dan terpaksa menanggungnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka pada 2018.

“Dalam konteks ini, Pas sebenarnya tidak jauh bezanya dengan UMNO. UMNO lebih awal dikesan perlu pertukaran presidennya kerana terbeban dengan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta sehingga rakyat yang meluat, membenci dan menolak kian meningkat hari demi hari.

“Tetapi Najib tetap cuba dipertahankan, malah pemilihan parti telah pun ditangguhkan sehingga pilihanraya 2018. Dalam masa yang sama, mereka yang menegur dipecat, disiasat dan kedudukan masing-masing dalam UMNO pula bakal disekat tidak lama lagi,” kata Shahbudin.

Monday, November 2, 2015

Kerjasama Dengan BN Demi Rakyat - PAS

KUALA LUMPUR - Pas bersedia berbincang dengan BN bagi menjalin kerjasama dengan perikatan itu dalam aspek kebajikan rakyat, kata Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Mengulangi pendirian kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan BN, beliau bagaimanapun menjelaskan kerjasama itu bukan untuk mencapai kepentingan politik.

"Kami (Pas) sentiasa menunggu jemputan daripada kerajaan sama secara rasmi atau tidak. Yang penting kerajaan panggil kami untuk berbincang. Kami mahu bagi sumbangan untuk rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Katanya, Pas terbuka untuk bertemu kerajaan serta bersedia menyumbang pelbagai idea bagi membela nasib rakyat di negara ini.

Ditanya kemungkinan kerjasama itu berniat meraih undi untuk pilihan raya umum akan datang, Nik Mohamad Abduh berkata: "Ini bukan langkah berunsur politik tetapi demi kebaikan untuk rakyat. Kami akan kekal sebagai pembangkang dan tiada niat untuk sertai BN."

Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk BN dalam perkara-perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pembangkang bagi memantapkan agenda pembangunan serta kemajuan rakyat.

"Sebelum ini Pas sentiasa terpinggir kerana Pas dianggap sebagai musuh. Kalau kerajaan mahu berubah, mesti ambil pandangan pembangkang untuk bincang isu-isu berkaitan," kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu. - Bernama

Thursday, October 29, 2015

PAS dan BN tidak mungkin akan bersatu, kata setiausaha agung

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bercakap kepada pemberita di luar Parlimen, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Oktober, 2015.

PAS menegaskan hari ini, pihaknya tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) seperti dilaporkan media sebelum ini, sebaliknya menegaskan ia akan tetap menjadi parti politik pembangkang.

Setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebut mengenai kerjasama membawa maksud kerjasama dalam perkara yang baik, dan bukannya kerjasama politik.

"Kami tidak akan kerjasama dengan BN di pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kami akan tetap menjadi pembangkang.

"Yakin tidak yakin, kalau perlu, kita bersendirian, kita akan bersendirian. Kita pernah bersendirian," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Baru itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan Hadi sebelum ini juga tidak merujuk secara spesifik mereka akan menjalinkan kerjasama politik dengan BN.

"Kita tidak semestinya tidak ada rakan politik. Mungkin ada rakan politik baharu. Tunggu dan lihat. Kalau bukan parti, mungkin individu.

"Kenyataan presiden bukan bererti PAS hendak bekerjasama dengan BN, apatah lagi kalau nak masuk BN, itu tidak pernah timbul.

"Kita masih berpendirian akan kekal sebagai pembangkang, dan kita kerjasama dengan semua parti, termasuk kerajaan persekutuan, DAP, untuk kebaikan. Tapi bukan kami sertai BN," katanya.

Takiyuddin berkata, kerjasama dalam perkara baik yang dimaksudkan Hadi itu adalah kerjasama membabitkan isu dan kepentingan rakyat.

"Kita kerjasama, beri pendapat, kami (PAS) tidak pernah mahu sertai BN melainkan BN jadi pembangkang," katanya.

"PAS tidak mahu kerjasama politik. Bertanding bersama tidak pernah. Kami kerjasama atas isu. Apa yang baik untuk rakyat, kami akan kerjasama. Itu saja," katanya. – 29 Oktober, 2015.

MENYUSUL LAGI

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-dan-bn-tidak-mungkin-akan-bersatu-kata-setiausaha-agung#sthash.qQhHEFO2.dpuf

Tuesday, October 20, 2015

Hentikan serangan jika bukan ancaman

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
Phahrolrazi (kiri) mengadakan pertemuan dengan Speaker Dun Kedah, Datuk Md Rozai Safian (kanan) di Wisma Darul Aman.
ALOR SETAR - Pas tidak perlu takut dengan perkembangan positif Parti Amanah Negara (Amanah) jika beranggapan ia bukan saingan dan ancaman kepadanya.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sesiapa sahaja bebas menyertai Amanah berdasarkan amalan sistem demokrasi di negara ini.

“Mungkin sudah banyak kali diramalkan bahawa parti baharu tidak akan berpanjangan dan tidak menjadi ancaman kepada mereka (Pas).

“Saya fikir kalau ini bukan ancaman, maka Pas tidak perlu bimbang dengan perkembangan Amanah kerana saya melihat serangan yang dibuat agak teruk dengan pelbagai label,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, jika Pas mengakui Amanah bukan saingan mereka, maka biarlah parti Islam baharu itu berkembang tanpa sebarang gangguan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, kelmarin, mengakui kewujudan Amanah bukan ancaman besar kepada Pas kerana sejarah membuktikan pada 1978, parti itu pernah berpecah sehingga sebahagian besar pimpinannya meletak jawatan dan kerajaan Kelantan tumbang.

Program yang dihadiri lebih 60,000 penyokong Pas dari seluruh negara itu diadakan bagi memupuk semangat istiqamah kepada ahli parti.

Mengulas mengenai program itu, Phahrolrazi menjelaskan bahawa Pas adalah sebuah parti yang berteraskan kepada ideologi doktrin.

“Menjadi kebiasaan untuk mereka mengadakan himpunan dari semasa ke semasa. Itu amalan biasa yang dilakukan Pas.

“Jika pertandingan pilihan raya berdasarkan himpunan teramai, maka Pas sudah menang dari sudut itu. Tetapi pilihan raya tidak berdasarkan kepada jumlah himpunan, ia berdasarkan jumlah undi,” katanya.

Pada perkembangan lain, Adun Pengkalan Kundor itu turut menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuknya mengosongkan kerusi Dun yang dimenangi pada PRU13 lalu.

“Dari segi undang-undang tidak menghendaki saya mengosongkan kerusi jika berpindah kepada parti lain kecuali di Pulau Pinang sahaja yang perlu mengosongkan kerusi.

“Kita sudah beri banyak kali hujah mengenai tiada keperluan untuk berbuat demikian atas pertimbangan beberapa faktor penting,” katanya.

Ini kerana jika kerusi Dun dikosongkan ia sudah tentu perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK) yang melibatkan pelbagai pihak dan kos tinggi.

“Rakyat beri mandat kepada kita dan ia berakhir sehingga Dun atau parlimen dibubarkan. Tetapi kalau kita melepaskan jawatan, bermakna kita menolak mandat yang diberikan rakyat.

“Ini bukan keputusan saya berseorangan, tetapi merupakan keputusan kolektif Amanah untuk tidak mengosongkan kerusi masing-masing,” katanya.

Phahrolrazi berkata, kemenangan mereka pada PRU13 lalu bukan mewakili Pas tetapi penyokong PR.

“Cuma PR tidak ada simbol tersendiri. Kalau ada simbol mungkin ia digunakan semasa pilihan raya.

“Ini hakikat yang perlu diterima kerana sebelum wujudnya PR, peluang untuk Pas menang sangat tipis berbanding hasil dalam pakatan yang dibentuk pada 2008,” katanya.

Menurutnya, kemenangannya itu bukan atas sokongan ahli Pas sahaja tetapi melibatkan penyokong PKR dan DAP yang merupakan parti komponen dalam PR.

Sunday, October 18, 2015

Tiada tempat bagi mereka yang ingin .main-main' dalam pas

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap di hadapan lebih 60,000 hadirin di program Himpunan H60K di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan, di sini hari ini. - Foto Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

KOTA BHARU, 18 Oktober:

“Tiada tempat bagi mereka yang ingin ‘main-main’ dalam Pas.”

Itu kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyindir sesetengah pihak yang meninggalkan parti itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah) baru-baru ini.

Beliau berkata demikan ketika berucap di hadapan lebih 60,000 hadirin di program Himpunan H60K di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan, di sini hari ini.

Katanya, sungguhpun parti Islam di luar negara dipimpin tidak kekal lama, dengan mengambil contoh di Mesir dan Indonesia, namun Pas masih teguh memimpin Kelantan sejak 1990 hingga hari ini.

“Parti Islam di Indonesia hanya tidak sampai setahun sudah digulingkan Presidennya, Sukarno. Di Mesir, Ikhwanul Muslimin digulingkan di mana pemerintahannya hanya bertahan setahun lebih.

“Tetapi parti Pas masih teguh 25 tahun memimpin Kelantan,” katanya yang mendapat laungan takbir daripada hadirin.

Menurutnya, semakin parti itu diuju menunjukkan kekuatan iman dalam diri setiap ahli.

Abdul Hadi juga sempat menyindir golongan yang meninggalkan Pas itu dianggap ‘si luncai terjun dengan labu-labunya’.

“Himpunan malam ini adalah untuk teguhkan ikatan kita sesama Islam.

“Kita tidak anggap perjuangan ini susah.

“Biarkan sesiapa yang tidak tahan, biarkan dia terjun dengan labu-labunya,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, biarpun parti Islam itu ditekan dan diasak bertubi-tubi, namun beliau menyeru untuk bertahan dan bekerja meneruskan perjuangan parti.

“Percayalah, perjuangan ini adalah cahaya daripada Allah SWT.

“Biarkan kita dikepung, dibuat macam-macam, kita akan terus bertahan.

“Teruskan bekerja, yakin dengan pemimpin-pemimpin yang setia dengan Bai’ah perjuangan ini,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/18/tiada-tempat-bagi-mereka-yang-ingin-main-main-dalam-pas/#ixzz3oqW6T4I7

Sunday, September 20, 2015

'Kerusi itu tetap kerusi PAS, PAS akan bertanding'

 Ditulis oleh Harakahdaily
DUNGUN: PAS menegaskan akan bertanding di kerusi yang 'dibawa lari' oleh wakil-wakil rakyat yang telah menukar parti dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mana-mana buat lari kerusi, kerusi itu tetap kerusi PAS. PAS akan bertanding. Kalau (mereka) nak bertanding juga, tiga penjuru," tegas Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Kampung Pulau Serai, dekat sini semalami.

Majlis dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Tuan Guru Abdul Hadi turut menerima 4,198 borang permohonan keahlian PAS daripada PAS kawasan-kawasan seluruh negeri yang disampaikan oleh Saiful pada majlis itu. Sebanyak RM16,002 derma disumbangkan oleh pada hadirin selain mata wang asing.

Mustafa juga berkata, PAS kemungkinan akan bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti berbanding PRU13 lalu.

"Kat mana, jabatan pilihan raya sedang kaji nak tambah daripada pilihan raya yang lepas," katanya lagi.

Saturday, September 12, 2015

Hadi: PAS menyalak pada 'babi' dalam bukit

Shakira Buang
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata proses 'bercakaran' sesama ahli berlaku dalam parti itu - serta parti lain - apabila pihak yang berkenaan tidak menggunakan sifat kemanusiaan sebenar.

Justeru, kata Abdul Hadi, PAS memilih "acuan Islam sebenar" untuk mengatasi kemelut itu selepas mendapati ideologi manusia gagal menyelesaikannya.

"Sebab itu kongres ini diadakan bagi mendidik (ahli) bertukar-tukar fikiran.

"Walaupun kita golongan lemah, kita bukan menyalak dekat bukit, tapi kita menyalak dekat ‘babi’ dalam bukit,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Rakyat - Membina Malaysia Sejahtera di Shah Alam, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kekuatan dan kesatuan dalam parti perlu diutamakan sebelum mencapai matlamat besar menjadi pemerintah selepas pilihan raya umum akan datang.

"Wawasan kita adalah wawasan kembali kepada Allah. Kita diajar oleh Islam bukan sekadar ke Putrajaya. Lepas Putrajaya kita mati, bertemu dengan Allah, menzahirkan dan diiktiraf, berbuatlah baik dan fikirlah baik-baik," katanya lagi.

Berikutan itu, kata Abdul Hadi, untuk dalam mencari penyelesaian daripada masalah yang berlaku, PAS akan tetap mempertahankan dasar perjuangannya dengan memartabatkan Islam sebagai panduan dalam mencari kebenaran.

Wednesday, September 9, 2015

Apabila politik dianggap peluang - Presiden PAS

 oleh HANNA ROSLI & IZWAN ABDUL HALIM
TANGKAK: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, hanya dengan melaksanakan Islam sahaja akan mampu menyelesaikan segala kemelut yang melanda negara mutakhir ini.

Ujar beliau, terjadinya isu kewangan RM2.6 billion, 1MDB, KWSP, Tabung Haji, Perwaja dan Mikka Holdings yang merunsingkan rakyat negara ini adalah natijah apabila politik dianggap sebagai satu peluang dan bukannya amanah.

Dalam ucapannya, Tuan Guru membandingkan isu-isu tersebut dengan mengemukakankisah keraguan dan pertikaian penduduk Madinah terhadap Khalifah Umar al-Khattab yang memakai jubah dari kain baharu diperolehinya.

Tegas beliau, PAS telah menunjukkan contoh pemerintahan Islam sebagaimana dilaksanakan di Terengganu dan juga di Kelantan oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, serta Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di Kedah.

“Tidak ada seorang pun pemimpin kami yang berlagak. Kita dah memerintah 20 tahun lebih di Kelantan, DAP baru sepenggal di Pulau Pinang. Baru sepenggal memerintah nak lawan hudud, nak tunjuk berlagak. Memerintah Pulau Pinang sekangkang kera nak tunjuk berlagak, nak lawan hudud. Belum lagi Putrajaya, kalau menang Putrajaya, kita tak tahu apa dia nak buat pada Islam?

“PAS ada maruah, ada harga diri. Kita bukan macam Umno tak berani nak lawan MCA dan MIC, kita lawan semua, kita pertahan, kita ada Istiqamah dengan Islam ini, ini beza PAS dengan parti-parti lain, mesti paham, kita sanggup tak menang 50 tahun lebih, kerana menang adalah satu amanah, bukan satu peluang,” katanya pada di Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 11), di sini, 5 September.

Beliau menegur segelintir ahli PAS yang merasa kemenangan menjadi lambat kerana PAS meninggalkan DAP sedangkan sudah hampir dengan Putrajaya.

Tegas Tuan Guru, PAS mahu menang dengan membawa Islam, sedangkan DAP menentang agenda Islam di bawa PAS.

Katanya, PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang menghimpunkan penyokong PAS dari kalangan masyarakat India dan Cina bukan Islam.

“Kita boleh bertanding bukan sahaja kawasan Umno, kawasan DAP pun kita akan letakcalon bertanding. Kita ada kekuatan sekarang, yang penting ialah, kita kerja kuat dan ikhlas.

Kita mahu kemenangan yang diisi dengan menunaikan amanah,” tegas beliau.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-