Saturday, July 4, 2015

Najib akan saman WSJ, lapor akhbar

Laporan The Wall Street Journal semalam yang mendakwa meneliti dokumen siasatan kerajaan Malaysia menunjukkan aliran wang masuk yang besar ke dalam akaun peribadi milik Datuk Seri Najib Razak. – 4 Julai, 2015.

Datuk Seri Najib Razak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar The Wall Street Journal berhubung laporannya semalam mendakwa berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri itu, akhbar Sinar Harian melaporkan hari ini.

Ia memetik setiausaha politik Najib, Datuk Muhammad Khairun Aseh, yang menyifatkan laporan itu sebagai fitnah jenayah.

“Laporan itu sungguh berniat jahat dan tidak berasas dengan sumber yang lemah dan meragukan.

“Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang," Khairun memberitahu Sinar Harian.

Semalam, WSJ memetik dokumen mengenai siasatan 1MDB yang kini dijalankan kerajaan Malaysia, yang menurutnya menunjukkan US$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan antara agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad, sebelum wang disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Akhbar itu berkata transaksi terbesar bernilai US$620 juta, manakala sebuah lagi akaun menerima US$61 juta pada Mac 2013, 2 bulan sebelum pilihan raya umum dijalankan.

Putrajaya menafikan laporan tersebut, dan bertegas Najib tidak pernah menggunakan mana-mana dana awam.

Dalam kiriman Facebook beliau semalam, Razak menyangkal apa yang disifatkanya dakwaan tidak berasas dan keterlaluan terhadap beliau dan keluarganya, mengatakan beliau tidak pernah mengambil dana untuk keuntungan peribadi daripada 1MDB atau mana-mana entiti lain.

Menurut Najib, dakwaan itu merupakan sebahagian kempen bersepadu sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik, dan merupakan rentetan serangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya "mewujudkan krisis" dengan membuat tuduhan melulu RM42 juta hilang dari 1MDB.

1MDB kini menjadi tumpuan penyiasatan beberapa pihak berkuasa, termasuk Ketua Audit Negara, Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dikritik hebat beberapa bulan kebelakangan ini berhubung beberapa isu, termasuk 1MDB, yang mengumpulkan RM42 bilion hutang selepas hanya 6 tahun penubuhannya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-akan-saman-wsj-lapor-akhbar#sthash.j3huwJBK.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-