Monday, July 20, 2015

Pas: Selain GHB, fikirkan tahaluf dengan BN

Dr Rosli Allani Abdul Kadir

KOTA BHARU - Pas Kota Bharu mencadangkan muktamar khas diadakan bagi membincangkan konflik dalaman yang berlaku ke atas parti itu termasuk mengenal pasti hala tuju mereka dalam PR.

Pemangku Ketuanya, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, permasalahan dalaman Pas yang berlaku kini dibuka seluas-luas oleh semua pihak sama ada oleh bekas pimpinan mahupun mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam Pas.

“Media seakan menjadi medan muktamar dan ruang muhasabah yang cukup luas kepada Pas sekarang ini sedangkan isu pokok yang seharusnya menjadi tumpuan selain isu kegawatan ekonomi dan persoalan integriti Perdana Menteri yang dimainkan media dalam dan luar negara,” katanya.

Dalam masa yang sama katanya, fokus perihal penubuhan parti baru pula menjadi percakapan dan melarikan daripada kerja yang sebenar yang perlu dilunaskan Pas di semua peringkat.

Sehubungan dengan itu Rosli berkata muktamar yang dicadangkan boleh menjelaskan sejauh manakah akar umbi Pas mengharapkan agar PR diperteguhkan.

“Walaupun keputusan Majlis Syura Ulama menyerahkan perlaksanaannya pada jawatankuasa Kerja Pas Pusat, namun ahli perlu juga diberi ruang untuk menyatakan pandangan mereka, mengambil kira situasi sebenar di peringkat bawah,” katanya.

Selain itu katanya, muktamar itu juga boleh melihat sejauh mana persediaan ahli Pas dalam menerima tahaluf baru atau sebarang bentuk persefahaman mahupun kerjasama akan datang termasuk dengan pihak Umno atau BN sekiranya PR yang ada ini dimuktamadkan tiada lagi kewujudan pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-